Tuan Speaker,
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama
Yang Dipertua Negeri Sabah atas ucapan dasar yang disampaikan
di dewan yang mulia ini pada 16 April 2007 yang lalu.
Ucapan TYT telah menyentuh semua aspek dan agenda pembangunan
negeri Sabah seperti yang digariskan dibawah RMKe9 dan
Halatuju pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah. Tidak
syak lagi ucapan tersebut telah menghuraikan secara komprehensif
halatuju yang akan memacu negeri Sabah ke arah kemakmuran
dan kecemerlangan hinggalah mencapai status negeri maju.
Tuan Speaker,
Pada hemat saya, tumpuan perbahasan atas usul terima kasih
selama dua hari bermula Selasa lalu terus memberi penekanan
kepada isu-isu yang diutarakan semasa perbahasan Bajet
2007 penghujung tahun lalu.
Sejauhmana melibatkan Kementerian saya, isu-isu seperti
pembasmian kemiskinan, paras kemiskinan yang tinggi,
penyediaan dan penambahbaikan kemudahan asas khususnya
Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Elektrik Luar Bandar
terus diutarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat.
PROGRAM-PROGRAM UTAMA
Siling peruntukan RMKe9, peruntukan untuk tahun ini termasuk
program-program utama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan
Negeri telah banyak disentuh dalam penggulungan atas ucapan
Bajet 2007 mahupun usul terima kasih di tahun lalu. Namun
demikian beberapa program utama perlu juga disentuh memandangkan
program-program tersebut adalah antara usaha yang dilaksanakan
oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan kearah mencapai objektif-objektif
menseparuhkan kadar kemiskinan dan mensifarkan kemiskinan
tegar menjelang tahun 2010 disamping meningkatkan kualiti
hidup penduduk luar bandar melalui peningkatan liputan
kemudahan asas.
Tuan Speaker,
Dengan peruntukan pembasmian kemiskinan Kerajaan Negeri
sebanyak RM12 juta tahun ini Kementerian saya akan meneruskan
pelaksanaan program Mini Estet Sejahtera atau MESEJ pada
tahun ini. Disamping meneruskan sembilan (9) projek MESEJ
yang telah bermula, beberapa lokasi baru akan dimulakan.
Dengan peruntukan tersebut Kementerian saya melalui pejabat-pejabat
daerah akan terus melaksanakan projek-projek peningkatan
pendapatan dalam bidang pertanian, ternakan dan akuakultur
khusus bagi golongan miskin tegar.
Peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM27 juta dibawah
peruntukan khas pembasmian kemiskinan juga akan mula
dibelanjakan bagi tujuan pelaksanaan Program Penempatan
Masyarakat Setempat (PPMS) di lokasi-lokasi MESEJ yang
telah bersedia untuk dimulakan. Jumlah tersebut tidak
termasuk peruntukan atau sumbangan FELDA bagi lokasi-lokasi
yang telah dikenalpasti.
Peruntukan Kerajaan Persekutuan yang disebutkan juga melibatkan
sejumlah RM21.0 juta untuk pembinaan rumah KIRT iaitu
sebanyak 1,000 buah kesemuanya tahun ini dibawah Program
Bantuan Rumah (PBR).
Tuan Speaker,
Satu program pendekatan bersepadu Kerajaan Persekutuan
yang dijangka akan mendatangkan impak yang besar kearah
usaha membasmi kemiskinan tegar sedang berjalan rancak
di salah satu kawasan lubuk kemiskinan negeri ini iaitu
Pulau Banggi. Program Berimpak Besar ini yang dikenali
juga sebagai projek Agropolitan dan lonjakan mega melibatkan,
pada keseluruhannya pembukaan tanah seluas 4,500 hektar
untuk tanaman getah, pembinaan projek jalan luar bandar,
bekalan air luar bandar dan bekalan elektrik luar bandar
disamping pembinaan 200 buah rumah dibawah PPMS dan penternakan
ikan dalam sangkar. Projek yang pada keseluruhannya akan
menelan belanja RM166 juta ini berupaya mengeluarkan
lebih kurang 1,000 orang miskin tegar dan merupakan model
pembangunan luar bandar bersepadu yang boleh direplikasikan
di lain-lain kawasan lubuk kemiskinan negeri ini.
Walaupun pendekatan in situ atau setempat akan terus dilaksanakan
bagi projek-projek pembasmian kemiskinan bertujuan meningkatkan
pendapatan bagi kelompok miskin tegar, projek yang disebutkan
sebentar tadi mempunyai impak yang ketara disamping bersifat
mapan ataupun dengan izin, sustainable.
PERBAHASAN
Tuan Speaker,
Menyentuh kepada perbahasan, pertimbangan keatas pengusaha-pengusaha
tanah untuk diambil sebagai peserta MESEJ seperti yang
dicadangkan oleh Ahli Yang Berhormat dari kawasan Sook
bagi MESEJ Kg. Bunang, Sook akan dibuat berdasarkan kelayakan.
Inginlah ditekankan bahawa Program MESEJ bertujuan menyelesaikan
masalah miskin tegar di sesuatu kawasan atau lokaliti.
Oleh itu KIRT berdaftar adalah sasaran program tersebut.
Sekiranya pengusaha tanah di sekitar kawasan berkenaan
layak, mereka harus memohon untuk pertimbangan dibawah
pendaftaran terbuka miskin tegar yang wujud di setiap
pejabat daerah negeri ini. Memandangkan program MESEJ
juga melibatkan peruntukan rumah dibawah PPMS iaitu satu
program Kerajaan Persekutuan untuk miskin tegar setempat,
kelayakan peserta adalah satu pra-syarat utama.
Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini khususnya Yang Berhormat
dari Tungku yang membangkitkan isu berkait PPMS MESEJ
Kg. Nala, pembinaan setiap PPMS di lokasi MESEJ adalah
berdasarkan pelan susunatur.
Saya bersimpati dengan isu atau masalah bekalan air yang
dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari Klias; sejauhmana
melibatkan Bekalan Air Luar Bandar, Kementerian saya
akan berusaha agar perhatian sewajarnya diberikan keatas
keperluan tersebut.
Tuan Speaker,
Ahli Yang Berhormat dari Moyog antara lain mencadangkan
agar setiap kawasan pilihanraya diperuntukkan kuota yang
sesuai dengan keperluan setempat bagi pembinaan rumah KIRT
dibawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Persekutuan. Sebenarnya
kelulusan Kerajaan Persekutuan membina 1,000 buah rumah
KIRT dibawah peruntukan khas pembasmian kemiskinan dalam
tahun 2007 merupakan satu lonjakan daripada jumlah rumah
yang dibina dalam tahun-tahun sebelumnya iaitu 2004 hingga
2006 di semua daerah seluruh Sabah sebanyak 1,183 buah
rumah bina baru dan 426 rumah yang dibaikpulih dibawah
Program Bantuan Rumah, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat.
Saya yakin pihak berkenaan akan memberi perhatian khusus
terhadap perkara ini. Namun demikian, haruslah diingat
bahawa Program Bantuan Rumah juga perlu memberi keutamaan
kepada kes-kes yang mendesak seperti KIRT yang uzur dan
berusia 65 tahun keatas (berjumlah 5,482) disamping golongan
Orang Kurang Upaya (berjumlah 4,015) berdasarkan banci
miskin tegar setakat Jun 2006. KIRT yang terdaftar berjumlah
23,589.
Tuan Speaker,
Menyentuh pembangunan luar bandar melalui pendekatan Lembaga
Kemajuan Wilayah seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Yang
Berhormat yang sama, saya percaya sebab-sebab yang dinyatakan
oleh saya di Dewan Yang Mulia ini di sidang belanjawan
tahun 2005 mengapa pendekatan tersebut tidak sesuai dilaksanakan
di negeri Sabah adalah cukup jelas. Situasi di negeri yang
disebutkan oleh Ahli Yang Berhormat berkenaan adalah berbeza
dengan keadaan di negeri Sabah dari banyak segi atau aspek.
Jentera pentadbiran Kerajaan Negeri memiliki jabatan-jabatan
dan agensi-agensi terlibat sepenuhnya dengan pembangunan
hampir kesemua sector disamping kehadiran jabatan-jabatan
dan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang sedia ada yang
berupaya memacu pembangunan di sesuatu wilayah atau daerah
melalui pendekatan bersepadu.
Disamping itu pembangunan sesuatu wilayah tidak semestinya
ditangani melalui pendekatan LKW. Contohnya ialah Program
Berimpak Besar ataupun lonjakan mega yang sedang dilaksanakan
oleh Kerajaan Persekutuan di Pulau Banggi seperti yang
disebutkan sebentar tadi dimana pendekatan bersepadu
berbagai agensi berupaya menukar wajah pulau tersebut
termasuk menangani kemiskinan dalam sedikit masa lagi.
Pendekatan yang sama di lain-lain kawasan adalah dialu-alukan.
Tuan Speaker,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Moyog dan Dewan
Yang Mulia ini, Kerajaan Negeri telahpun mengemukakan cadangan
alternatif kepada cadangan LKW Wilayah Utara Sabah iaitu
pendekatan Integrated Rural Development Project atau IRDP.
Pendekatan tersebut sebenarnya pernah diperkenalkan oleh
Kerajaan Persekutuan di negeri Sabah pada satu ketika dulu.
Dengan merangkumi komponen-komponen pelbagai sector, konsep
atau pendekatan IRDP amat sesuai dilaksanakan di negeri
ini dimana pendekatan bersepadu diselaraskan melalui Jawatankuasa
Bertindak Bersama peringkat negeri ataupun wilayah dan
peringkat daerah atau sub-wilayah.
Berkait bekalan elektrik bagi Kg. Togudon di kawasan Moyog
yang dibangkitkan, kampung tersebut dan kampung-kampung
di sekitarnya antara lain seperti Kibunut, Tipangoh Ulu,
Moyog dan Notoruss ada termasuk dalam senarai cadangan
projek BELB (grid dan solar) dalam RMKe9.
Tuan Speaker,
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat
dari Kunak atas penghargaannya kepada Kementerian saya,
inginlah dimaklumkan kepada Ahli yang Berhormat berkenaan
bahawa memang terdapat sebuah MESEJ Atas Air di Kg. Pangi
Kunak bagi pemeliharaan ikan dalam sangkar yang telahpun
dimulakan oleh Kementerian ini untuk 15 orang peserta
miskin tegar dengan kos RM117,980.00. Peruntukan tersebut
akan ditambah melalui peruntukan Kerajaan Negeri. Selain
itu peruntukan FELDA yang disalurkan melalui Unit Perancang
Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM6.635 juta
akan dibelanjakan bagi penambahan projek itu disamping
pembinaan 150 buah rumah dibawah PPMS dengan peruntukan
FELDA tersebut.
Pada satu ketika dahulu satu kawasan juga telah di kemukakan
melalui pejabat daerah untuk pelaksanaan MESEJ bagi tanaman
sawit. Walaubagaimanapun cadangan MESEJ tersebut tidak
diteruskan kerana masalah tapak yang dihadapi dan sehingga
kini belum ada cadangan baru.
Bagi projek-projek peningkatan pendapatan seperti penanaman
ubi kayu termasuk pusat pemprosesan, Kementerian saya
sedia menimbangkannya tertakluk kepada cadangan tapak
yang sesuai oleh agensi pembimbing melalui pejabat daerah
dan peserta-peserta yang layak. Disamping itu sebelum
cadangan pembinaan pusat tersebut dapat ditimbang, komitmen
peserta dalam penanaman bahan tersebut dengan jumlah
yang mencukupi dan berterusan adalah pra-syarat utama
bagi memastikan pusat pemprosesan dapat beroperasi sepenuhnya
dan mengelak daripada pembaziran.
Berkait Bantuan Khas Orang-Orang Susah yang dibangkitkan
oleh Ahli yang sama, sebenarnya peruntukan tersebut disalurkan
oleh Kementerian saya kepada Jabatan Kebajikan Am mulai
tahun lalu. Peruntukan RM50 ribu bagi setiap kawasan
untuk tahun ini akan dikeluarkan dalam sedikit masa lagi.
Sehubungan itu kerjasama semua Ahli Dewan Yang Mulia
ini adalah diminta agar mengemukakan penyata laporan
perbelanjaan bagi tahun lalu sekiranya belum dilakukan.
Tuan Speaker,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Kawang dan Dewan
Yang Mulia ini, kebolehmungkinan (feasibility) penyambungan
bekalan air retikulasi bagi kampung-kampung yang masih
menggunakan sistem alternatif melalui graviti dan lain-lain
adalah tertakluk, antara lain, kepada kapasiti pengeluaran
air. Namun demikian, cadangan-cadangan dari pejabat daerah
dan Jabatan Air setempat akan sentiasa dikaji oleh pihak
berkenaan bagi maksud penyediaan bekalan air sistem retikulasi.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Bingkor dan Dewan
Yang Mulia ini, Kementerian saya tidak pernah menyatakan
bahawa program MESEJ akan menyelesaikan sepenuhnya masalah
miskin tegar di sesuatu kawasan mahupun berupaya dengan
sendirinya mensifarkan miskin tegar menjelang 2010. Namun
demikian program tersebut yang mana adalah, dengan izin,
target specific berupaya melibatkan ramai juga golongan
miskin tegar di kawasan berkenaan disamping mempunyai
impak yang besar dan mapan kerana pembukaan ladang melibatkan
juga pembinaan penempatan dan kemudahan asas sekaligus
merobah corak aktiviti pertanian kepada yang lebih tersusun
dan diurus dengan baik.
Bagi golongan peladang atau penanam getah yang miskin pula,
termasuk pembahagian bibit getah, inginlah dimaklumkan
di Dewan Yang Mulia ini bahawa pembasmian kemiskinan
merupakan usaha dengan izin, multi-agency yang juga melibatkan
Jabatan dan Agensi-Agensi Kerajaan yang lain bagi golongan
sasar masing-masing. Saya percaya cadangan Ahli Yang
Berhormat berkenaan akan mendapat perhatian sewajarnya
Kementerian yang berkenaan.
Tuan Speaker,
Ahli Yang Berhormat dari Kuala Penyu haruslah peka bahawa
tidak semua pembangunan di sesebuah daerah dikendalikan
oleh Pejabat Daerah, walaupun pejabat daerah adalah dengan
izin, privy kepada pelbagai projek dan program yang dilaksana
melalui mekanisme pemantauan yang ada khususnya Jawatankuasa
Tindakan Daerah.
Sejauhmana pembangunan yang melibatkan Kementerian saya,
sejumlah RM220,055.00 dibelanjakan dalam tahun 2006 bagi
pelaksanaan 21 buah projek pembangunan kecil. Disamping
itu lebih RM290 ribu diperuntukkan awal tahun ini dibawah
program pembasmian kemiskinan bagi tambahan projek ternakan
ikan dalam sangkar di Menumbok dan projek menternak kambing
di 10 buah kampung dalam daerah tersebut.
Dibawah program amenity dan ekonomi desa pula Kementerian
saya membelanjakan hampir RM123 ribu tahun lalu bagi
program ekonomi dan prasarana desa. Sejumlah RM206,500.00
diperuntukkan awal tahun ini bagi projek ternakan ikan
dalam sangkar di Kg. Palu-Palu, Kuala Penyu.
Perbelanjaan yang disebutkan sebentar tadi tidak termasuk
peruntukan Kerajaan Persekutuan. Kementerian saya akan
meneruskan program-program pembangunan yang memberi faedah
kepada rakyat di kawasan Kuala Penyu dalam tahun ini.
Tuan Speaker,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Kawasan Lumadan
pendaftaran KIRT di setiap daerah merupakan proses berterusan
atau terbuka berdasarkan garispanduan yang telah dikeluarkan
oleh Kementerian Kemajuan Luarbandar dan Wilayah. Bagaimanapun
perakuan sewajarnya kepada Kementerian berkenaan di peringkat
persekutuan adalah tertakluk kepada penelitian terperinci
di peringkat daerah dan lokaliti termasuklah pengesahan
butir-butir yang dinyatakan dalam borang berkenaan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Balung sememangnyalah
setiap program membasmi kemiskinan khususnya kemiskinan
tegar dipantau untuk mengetahui impak berbanding objektif
utamanya iaitu peningkatan pendapatan secara mapan atau
berterusan. Impak keseluruhan program-program tersebut
diketahui melalui bancian yang dilaksanakan keatas golongan
sasar.
Dari segi peratus perbelanjaan sebenar peruntukan pembangunan
luar bandar seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Yang
Berhormat dari Tanjung Batu, jumlah tersebut bagi program-program
pembangunan dibawah Kementerian saya bagi tahun 2006
adalah seperti berikut:-
Jumlah peruntukan: RM44,829,000.00 (empat puluh empat juta
lapan ratus dua puluh sembilan ribu)
Perbelanjaan: RM39,420,850.00 ataupun 87.94 peratus.
* perbelanjaan sebenar oleh agensi pelaksana adalah berdasarkan
flimsy Jabatan Bendahari Negeri iaitu RM38,893,644.46.
Tuan Speaker,
Berkait penubuhan daerah penuh atau kecil seperti yang
dicadang oleh Ahli Yang Berhormat dari Gum-Gum inginlah
dinyatakan di Dewan Yang Mulia ini bahawa penubuhan pusat
pentadbiran tidak semestinya dapat menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan
yang diharapkan oleh masyarakat setempat selain mempunyai
halangan dari segi keberkesanan kos. Disamping itu kutipan
hasil dan juga keupayaan jabatan-jabatan dan agensi Kerajaan
untuk menubuhkan cawangan di setiap daerah atau daerah
kecil perlu juga dikaji memandangkan perkara tersebut adalah
asas kepada rasional penubuhan sesuatu daerah atau daerah
kecil. Pada satu ketika dahulu kajian penubuhan daerah
kecil mendapat bantahan kerana boleh menjejas rancangan
meluaskan kawasan perkadaran PBT yang sedia ada. Sehubungan
itu sebarang cadangan sedemikian memerlukan penghalusan
dari berbagai aspek.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Membakut MESEJ
Kg. Binsuluk dirancang untuk pelaksanaan dalam tahun
ini juga tertakluk kepada kelulusan kawasan cadangan
oleh Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah dan pengukuran
kawasan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Sugut MESEJ bertujuan
membasmi kemiskinan tegar setempat ataupun dengan izin,
pockets of poverty melalui kegiatan ekonomi yang mapan.
Pendekatan bagi membasmi kemiskinan tegar melibatkan
ramai KIRT memerlukan kaedah berskala besar seperti yang
sedang dilaksanakan di Pulau Banggi menerusi program
lonjakan mega. Sehubungan itu adalah dicadangkan agar
Jawatankuasa SPKR daerah yang diterajui oleh Pegawai
Daerah dapat mencadangkan Program Berimpak Besar untuk
dilaksanakan di kawasan yang sesuai bagi pertimbangan
pihak Kerajaan Persekutuan.
Berhubung pelaksanaan MESEJ saya mengucapkan terima kasih
kepada Ahli Yang Berhormat dari Liawan atas sokongan
beliau. Pada prinsipnya seberapa yang boleh perancangan
program tersebut tidak bertujuan melibatkan kawasan-kawasan
yang sudah diduduki.
Bagaimanapun pelaksanaannya adalah tertakluk juga kepada
kawasan tanah Kerajaan yang belum bermilik dan mencukupi
serta tersedia disamping mengambilkira aspek keberkesanan
kos kerana program tersebut melibatkan juga penyediaan
kemudahan asas dibawah komponen PPMS.
Tuan Speaker,
Dengan penjelasan-penjelasan yang mampu diberi sebagai
jawapan ataupun input kepada isu-isu yang dibangkitkan
disepanjang perbahasan usul ucapan terima kasih, saya menaruh
harapan pencapaian ataupun prestasi program-program dan
projek Kementerian saya mahupun pihak Kerajaan Persekutuan
yang berkenaan akan mengatasi pencapaian dibawah RMKe8.
Atas keyakinan dan harapan sedemikian adalah menjadi hasrat
kita semua untuk memastikan kejayaan dan pencapaian sepenuhnya
Halatuju pembangunan dan kemajuan Negeri Sabah dan RMKe9.
Let us tackle poverty together kita mempunyai rekod
yang tepat statistic KIRT
Pitas 2,566 KIRT (bawah 60) 1,618, ada kumpulan yg produktif,
ada yang kurang Aupaya, ada yang tidak produktif, perlu
diberi tumpuan oleh ahli YB sekalian.
(YB
Philip Lasimbang apa criteria kurang upaya?) Jwb
criteria ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan, adalah
baik seminar yang kita cadangkan kelmarin, adalah tujuan
kita mengumpulkan analisis maklumat2 ini, harapan kita,
kolum produktif
Tongod KIRT
Kota Belud
Papar 1,928 KIRT
Tuaran 1,805 KIRT
Semporna 1,383 KIRT
Nabawan 1,386 KIRT
Tenom 1,193 KIRT
Beluran 1,146 KIRT
Kudat 1,032 KIRT
Ranau 931 KIRT
Tawau 835 KIRT
Sandakan 899 KIRT
Kota Marudu 616 KIRT
Kunak 676 KIRT
Tambunan 496 KIRT
Penampang 455 KIRT
Keningau 407 KIRT
Beaufort 328 KIRT
Kinabatangan 236 KIRT
Membakut 275 KIRT
Lahad Datu 209 KIRT
Kota Kinabalu 283 KIRT
Kuala Penyu 205 KIRT
Sipitang 153 KIRT
Paitan 68 KIRT
Telupid 72 KIRT
Pensiangan 10 KIRT
Labuk Sugut 1 KIRT
Jumlah KIRT Sabah 23,589, Produktif 14,092, Tidak Produktif
5482, OKU 4015. Hasil bancian hingga 30 Jun 2006.
Basalie bekalkan senarai KIRT kepada semua daerah dan
wakil rakyat agar dapat membantu mengenal dan mengesan
serta apa jua bantuan.
Lasimbang
Adakah ini dalam website KPLB supaya boleh akses, supaya
kita boleh focus.
Jwb Sebenarnya senarai ini ada dalam Pejabat Daerah,
kita juga mengarahkan agar semua YB dilibatkan agar YB
dapat membantu dan mengenalpasti dalam lawatan2. Bila mesyuarat
SPKR (Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat) peringkat
daerah dapat dibincangkan dan diatasi. Ahli2 YB perlu jumpa
DO atau ADO untuk menerima senarai2 berkenaan, kalau ada
masalah beritahu kementerian.
Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat
menyambut Hari Vesak bagi penganut ugama Buddha dan selamat
menyambut Pesta Kaamatan kepada masyarakat Kadazandusun-Murut.
Tuan Speaker,
Saya mohon menyokong.
Terima kasih.