Salam
hormat, Salam Sejahtera dan salam Bersatu kepada semua Saudara/Saudari,
para hadirin yang dihormati sekalian. Pertama sekali, marilah
kita memanjatkan ucapan kesyukuran kita kepada Tuhan Yang
Maha Kuasa kerana tentu sekali dengan berkatNya, Kongres
PBS yang ke 20 ini dapat kita adakan pada hari ini.
2.
Syabas dan tahniah kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa
Penganjur atas usaha dan kerjasama mereka menjayakan Kongres
kita ini melalui persediaan-persediaan yang telah dilakukan.
Juga terima kasih kepada semua Ahli-ahli Majlis Tertinggi,
Ketua-Ketua Bahagian, para perwakilan dan pemerhati atas
kecekalan, ketabahan, keazaman dan komitmen kita sekalian
meneruskan perjuangan melalui PBS.
3.
Sesungguhnya, kita semua harus berasa gembira pada Kongres
kali ini kerana Parti kita telah mencapai usia 20 tahun,
sejak ianya ditubuhkan pada 5 Mac 1985. Selama 20 tahun
Parti kita telah melalui banyak ranjau dan duri, ada yang
manis, ada yang pahit, ada yang sukar dan ada juga yang
agak mudah dicapai. Kongres ke-20 ini memberikan kita satu
ruang masa untuk merenung kembali sejarah perjuangan parti
yakni “dari mana asal kita” dan “ke mana
arah hendak dituju”. Sepanjang 20 tahun itu, memang
masyarakat kita telah banyak berubah. Perubahan sosial telah
berlaku dalam semua aspek, termasuk bidang politik, ekonomi,
sosial, teknologi, mahupun alam persekitaran.
PERJUANGAN
BELUM SELESAI
4.
Setiap tahun, PBS telah menganjurkan Kongres tahunan. Setiap
masa kita juga melalui proses-proses politik, termasuk Pilihanraya
(Parlimen dan Negeri). Kita juga sentiasa bersama dengan
rakyat di peringkat akar-umbi. Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN
PBS juga merupakan antara wakil rakyat yang begitu aktif
dan pakar berbahas dalam apa-apa isu penting yang menyentuh
tentang pembangunan dan keselamatan di Dewan rakyat ataupun
di Dewan Undangan Negeri. Pemimpin-pemimpin PBS juga sentiasa
proaktif dalam menyatakan pendirian di majlis-majlis umum
tentang beberapa isu utama seperti yang menyentuh tentang
kemiskinan, pengagihan sumber negara, pendatang tanpa izin
(PTI), masalah ekonomi dan sosial dan sebagainya.
5.
Justeru, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada
kita semua kerana menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah
bagi terhadap perjuangan Parti. Sesungguhnya kita harus
berbangga kerana kita telah sampai ke tahap di mana kita
sedikit sebanyak telah berjaya menimba hasil daripada perjuangan
kita selama ini. Bagaimanapun, kita juga perlu sedar bahawa
perjuangan kita belum selesai.
6.
Penyertaaan kita dalam proses permuafakatan dalam BN ini
juga dilandaskan kepada asas perjuangan parti sepertimana
yang termaktub dalam Perlembagaan PBS. Jika dilihat, beberapa
aspek perjuangan kita telah tercapai melalui BN. Kita dapat
lihat bahawa beberapa isu tertentu telah mendapat perhatian
yang serius dari Kerajaan. Dalam banyak perkara, PBS telah
dapat menyumbangkan idea-idea ke arah pembentukan dasar-dasar
Kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat. Dalam hal ini
perkara-perkara seperti menghormati hak-hak dan maruah rakyat
berbilang kaum, menentang kebanjiran pendatang-pendatang
tanpa izin dan keprihatinan kepada keperluan pembangunan
luarbandar ialah antara yang masih kita perjuangkan. Proses
perundingan dan pembinaan permuafakatan dalam BN ini masih
berterusan.
7. Sememangnya, beberapa perkara-perkara perjuangan lain
yang belum terlaksana sepenuhnya masih kita usahakan. Kita
masih kekal dan teguh dengan perjuangan kita untuk membebaskan
Sabah dari kehadiran dan pengeluaran dokumen-dokumen yang
meragukan yang dikeluarkan kepada pendatang-pendatang tanpa
izin (PTI). Kita sedia maklum bahawa kita masih mendapat
laporan bahawa PTI ini banyak terlibat dalam jenayah dan
mengakibatkan masalah-masalah sosial yang lain.
8.
Rakyat negeri Sabah amat berterima kasih kepada pihak penguatkuasa
Pusat yang turut dibantu oleh kerajaan negeri atas usaha
mengurangkan kemasukan pendatang tanpa izin dan sekaligus
mengurangkan kejadian jenayah serta ancaman-ancaman lain.
PBS berharap Kerajaan akan teruskan usaha ini kerana jika
tidak amatlah sukar bagi rakyat untuk menikmati kehidupan
yang aman dan damai. Sesungguhnya PBS tidak mahu usaha-usaha
dalam Ops Nyah Bersepadu itu dituduh sebagai “hangat-hangat
tahi ayam” atau bersifat sementara sahaja. Program
ini mesti diteruskan supaya kita boleh mencapai matlamat
“Sifar PTI” di Negeri Sabah dengan kadar yang
segera. Dalam masa yang sama, PBS meminta kepada badan-badan
penguatkuasa seperti Polis, Jabatan Pendaftaran Negara,
Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Badan Pencegah Rasuah
(BPR) supaya melaksanakan tugas-tugas mereka dengan tegas
dan menghukum mana-mana pihak yang terlibat dengan jenayah
bersekongkol dengan PTI ini.
9.
Kita perlu ingat bahawa didalam dunia yang semakin kecil,
dan dipercanggihkan lagi dengan kemajuan teknologi maklumat
dan komunikasi (ICT) masyarakat kita pada hari ini mengalami
perubahan sosial yang begitu dinamik sekali. Malah, dalam
urusan seharian yang walaupun nampaknya semakin dipermudahkan
oleh teknologi yang canggih, tetapi sebenarnya kehidupan
kita menjadi semakin kompleks. Kekompleksan dan perubahan
yang mendadak banyak berlaku dalam semua persekitaran politik,
ekonomi, sosial dan budaya. Perubahan ini sudah tentunya
akan mempengaruhi rupabentuk pengurusan negara kita Malaysia,
yang mana jika ia tidak difahami dan ditangani dengan baik,
akan menjejaskan masa depan kita semua.
KEMERDEKAAN
DAN PERPADUAN RAKYAT
Tuan
Tuan dan Puan Puan yang saya hormati sekalian,
10.
Pada 31hb Ogos 2005 baru-baru ini, kita telah menyambut
Bulan Kemerdekaan bermula di Semenanjung Tanah Melayu apabila
Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dari Koloni Inggeris pada
31 Ogos 1957. Pada 16 September 2005, hari terakhir Bulan
Kemerdekaan, sekali lagi kita diperingatkan dengan fakta
sejarah bahawa Negara Malaysia telah terbentuk selama 42
tahun sejak Negara kita Malaysia ditubuhkan pada 16 September
1963.
11.
Kita rakyat Malaysia amat bersyukur kerana rakyat yang berbilang
kaum, budaya dan kepercayaan hidup bersama dalam suasana
yang aman damai, bertoleransi, makmur, stabil dan bersatu
padu. Sejarah telah mengajar kita bahawa hanya melalui suasana
begini sahaja kita boleh bergerak ke hadapan dengan penuh
keyakinan. Kita harus bergerak untuk mewujudkan sebuah Negara
Malaysia yang ideal, sepertimana yang dicita-citakan dalam
Wawasan 2020.
12.
Kemerdekaan bermakna bahawa kita sebagai warganegara Malaysia
telah bebas dari sebarang belenggu penjajahan, bebas dari
diskriminasi, dan bahawa setiap warganegara Malaysia mempunyai
peranan dan tanggungjawab yang sama untuk membina negara
bangsa Malaysia. Tiada sebab mengapa, selepas 42 tahun pembentukan
Persekutuan Negara Malaysia, bahawa kita masih rasa segan
silu untuk tampil ke hadapan menawarkan diri untuk menjadi
pemimpin Negara dalam apa-apa aspek yang sesuai dengan pengetahuan
dan kemahiran kita masing-masing. Dalam pencapaian kemerdekaan
ini, kita juga perlu memastikan bahawa tiada seorangpun
di antara kita yang terpinggir dan merasa dianak-tirikan
apatah lagi didiskriminasikan dalam menikmati apa juga sumber
dan peluang di negara ini.
13. Dalam masa yang sama, peranan kita dalam mengisikan
kemerdekaan itu, untuk terus membina satu Bangsa Malaysia
yang didasarkan oleh keindahan, keamanan, kemakmuran, kesepaduan
dan jaminan serta kedaulatan dan keselamatan, hendaklah
dilakukan dengan lebih gigih lagi. Aspirasi dan semangat
patriotisme inilah yang menjadi asas pengikat kepada kita
semua untuk bersatu-padu. Inilah sebabnya tema PBS pada
tiga (3) Kongres tahunan terus bertajuk “Patriotisme
Asas Perpaduan”. Kita mahu supaya semua ahli, penyokong
dan rakyat umum sekalian, terus memperkukuhan semangat patriotisme
dan sayangkan negara ini, dan sama-sama bersatupadu mencapai
matlamat-matlamat wawasan 2020.
Tuan-Tuan & Puan-Puan Sekalian
14.
Proses membangunkan negara yang berdaulat, selamat, aman
dan makmur memerlukan kerjasama semua pihak. Di Malaysia,
keluarga Barisan Nasional (BN) menyediakan ruang kepada
semua pemimpin-pemimpin dari pelbagai kumpulan untuk duduk
berbincang, berunding dan mencapai kata sepakat dalam merencanakan
pentadbiran Negara Malaysia.
15. Sebagai salah satu komponen BN, PBS memang mempunyai
peranan utama di dalam proses perbincangan ini. Untuk menyertai
proses musyawarah dalam BN dengan berkesan, pemimpin-pemimpin
PBS dari semua peringkat harus memahami matlamat pembangunan
negara Malaysia, masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat,
serta aspirasi yang dikejar. Pemimpin-pemimpin PBS juga
mesti faham dengan cara bagaimana jentera pentadbiran kerajaan
BN berfungsi supaya kita sedar masalah dan cabaran-cabaran
yang kita hadapi bersama.
PERMUAFAKATAN DAN PERKONGSIAN KUASA DALAM BN
16.
Saya percaya bahawa kita semua masih ingat dengan kemenangan
besar BN serta peranan dan sumbangan PBS dalam Pilihanraya
DUN dan Parlimen 2004. Selepas Pilihanraya tersebut, beberapa
pemimpin PBS telah dilantik dalam beberapa jawatan dalam
kerajaan sejajar dengan semangat perkongsian kuasa dalam
BN. Untuk itu, kita amat berterima kasih dengan Kerajaan
Pusat yang diterajui oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri
yang dipimpin oleh YAB Ketua Menteri kerana telah memberikan
kita ruang dan peluang untuk sama-sama duduk di Kabinet
kerajaan. Kini kita sudah dapat menyalurkan permasalahan
dan aspirasi rakyat secara langsung kepada kerajaan, dan
dapat pula mendapat maklumbalas dengan cepat.
17.
Dalam memperkatakan tentang perkongsian kuasa ini, PBS masih
menerima maklumbalas dan aduan-aduan daripada orang awam,
penyokong-penyokong dan ahli-ahli di peringkat akar-umbi,
malah di kalangan golongan profesional, ahli perniagaan,
kakitangan kerajaan dan akademik yang prihatin dengan cara
bagaimana pembahagian kuasa dan sumber-sumber ini diagih-agihkan
dalam Kerajaan BN. Ada yang berkata bahawa walaupun PBS
merupakan parti kedua terbesar dalam BN Sabah, ia masih
kurang mendapat bahagian yang sewajarnya. Ada di antara
wakil-wakil rakyat ADUN kita yang mengeluh kerana merasakan
bahawa kedudukan mereka tidak diberi perhatian dalam perlantikan-perlantikan
jawatan-jawatan politik di peringkat kawasan masing-masing.
Ada juga kakitangan kerajaan yang berkata bahawa mereka
kurang mendapat perhatian dari segi perlantikan, kenaikan
pangkat dan peluang-peluang latihan kerana mereka disyaki
menyokong PBS. Ada juga di antara kontraktor-kontraktor
yang diperkatakan cenderung menyokong PBS yang merasa tersisih
dalam pembahagian-pembahagian projek pembangunan.
18.
Sesungguhnya, pucuk pimpinan PBS amat prihatin dengan maklumbalas-maklumbalas
seperti ini dan akan menelitinya setiap satu. Kita juga
berharap agar maklumbalas-maklumbalas seperti ini dikaji
dengan mendalam oleh pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai
dalam Kerajaan. Pendirian PBS adalah jelas – kita
tidak mahu ada rakyat (lebih lagi pada anak-anak watan),
yang merasa terpinggir, diketepikan dan dinafikan hak-hak
mereka atau peluang yang wajib diberi kepada mereka. Kita
juga tidak mahu ada kelompok-kelompok tertentu yang cenderung
memonopoli peluang-peluang yang ada dan tidak bertimbangrasa
kepada keperluan dan kepentingan warga-warga lain di Malaysia
yang tercinta ini. Kita semua perlu mengambil iktibar daripada
bimbingan YAB Perdana Menteri, bahawa di Malaysia, “nobody
gets all, nobody gets nothing”. Bagi PBS, “kek
kemakmuran” (economic cake) Negara harus dibesarkan
dan dikongsikan dengan adil dan saksama oleh semua warganegara.
PERANCANGAN
PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA
19.
PBS sesungguhnya monyokong penuh prinsip Dasar Ekonomi Baru
(DEB) yang digubal pada tahun 1970. Kita percaya bahawa
perlaksanaan DEB adalah satu-satunya hasrat kerajaan untuk
memperseimbangkan kedudukan sosio-ekonomi masyarakat Malaysia
supaya mereka dapat hidup dengan lebih saksama, bersatupadu,
aman dan damai. Kita perlu sedar bahawa pembangunan sosio-ekonomi
di kalangan masyarakat mempunyai matlamat penting iaitu
mewujudkan keharmonian dan perpaduan menerusi pengagihan
pendapatan dan kekayaan negara secara saksama.
20.
Sebagai peringatan kita, matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB)
adalah untuk mengurangkan dan seterusnya membasmi kemiskinan
dengan memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan kepada
semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Keduanya ialah
untuk menyusun semula masyarakat untuk mengurangkan serta
menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.
Kedua-dua matlamat ini amatlah murni dan sangat diperlukan.
21.
Namun demikian, cabaran utama dasar-dasar pembangunan ekonomi
negara (seperti DEB) ialah dari segi perlaksanaan yang efisyen
dan berkesan. Sehingga kini masih terdapat jurang yang sangat
ketara dari segi kedudukan ekonomi di kalangan masyarakat
Malaysia.
22.
Sebagai parti yang rapat dengan rakyat, PBS merasa bertanggungjawab
untuk membawa perkara ini ke hadapan supaya keluhan-keluhan
ini dapat difahami dalam perspektif yang betul. Ini penting
supaya tiada anggota masyarakat Malaysia yang merasa terpinggir
dan kecewa dengan apa juga program pembangunan Kerajaan.
Tuan
Tuan dan puan yang dihormati sekalian
23.
Kita percaya dan berkeyakinan bahawa Kerajaan prihatin dengan
ketidakseimbangan kedudukan ekonomi ini dan akan terus menangani
isu ini dengan lebih serius. Kita juga berkeyakinan bahawa
Kerajaan akan melaksanakan dan mengambil pelbagai langkah
bagi mengurangkan ketidakseimbangan antara bandar dan luar
bandar.
24.
Kita mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya usaha untuk
memoden dan memperkomersialkan aktiviti pertanian para pekebun-pekebun
kecil menerusi pelbagai program dipertingkatkan. Bantuan-bantuan
kewangan dan mikro-kredit yang strategik dan mudah diperolehi
haruslah diperbanyakkan.
RANCANGAN
MALAYSIA KESEMBILAN (RMK9)
25.
Penyertaan tuan-tuan dan puan-puan sekalian sangat dituntut
setiap kali kita membincangkan tentang perancangan pembangunan
negara. Pada masa ini Kerajaan sedang menyediakan dokumen
“Rancangan Malaysia Ke-9”, yang mana akan menggariskan
strategi dalam semua aspek pembangunan negara untuk lima
tahun lagi bermula pada 2006 hingga 2010.
26. PBS amat menghargai peluang untuk mengemukakan idea
dan input yang sewajarnya untuk dimasukkan dalam RMK9 ini.
PBS amat menyokong agar RMK9 ini meneruskan program-program
pembangunan ekonomi yang bertujuan “membasmi kemiskinan
tanpa mengira kaum” dan “menyusun semula masyarakat”
agar semua lapisan masyarakat mempunyai peluang untuk menyertai
apa juga aspek ekonomi.
27.
Sesungguhnya PBS tidak mahu mendengar pandangan-pandangan
serong yang mengatakan bahawa kononnya “orang Melayu
monopoli perkhidmatan awam dan politik”, “orang
Cina kuasai ekonomi di bandar-bandar”, “orang
India kekal di ladang-ladang”, dan “orang-orang
asli dan anak-anak Negeri di Sabah dan Sarawak hanya dibiarkan
sahaja di kampung-kampung, di tepi-tepi pantai dan di kawasan
perbukitan atau di tengah-tengah hutan rimba”. Dasar-dasar
pembangunan negara selama ini sesungguhnya bertujuan untuk
melibatkan semua golongan, tanpa mengira kaum, dalam semua
aspek pentadbiran kerajaan dan pengurusan ekonomi negara.
28. Walau bagaimanapun, kita juga berhak mengetahui setakatmana
kah kini pencapaian dasar-dasar ekonomi ini dalam membantu
kumpulan sasaran. Ini penting diketahui supaya kita dapat
memberi maklumbalas dan input-input yang perlu dalam RMK9
sekaligus memperbetulkan apa-apa kesilapan dalam perlaksanaan
program-program yang terdahulu.
29. PBS sedar bahawa antara isu yang sering diperkatakan
ialah “pemilikan equiti 30 peratus untuk Bumiputera”,
yang harus dicapai oleh Kaum Bumiputera (yang termasuk Bumiputera
Islam dan Bumiputera Bukan-Islam) yang bermastautin di Semenanjung,
Sabah dan Sarawak, selama 30 tahun bermula pada tahun 1970.
Mengikut laporan, ada dikatakan bahawa setakat ini pencapaiannya
belum pun sampai 20 peratus.
30. Ada juga yang mengatakan bahawa pemilikan ekuiti itu
hanya tertumpu kepada kelompok-kelompok elit tertentu sahaja.
Ada juga yang menghujah bahawa “affirmative action”
untuk membantu golongan Bumiputera ini tidak dinikmati dengan
memuaskan di kalangan Bumiputera Bukan Islam di Sabah dan
Sarawak. Ada juga yang berkata bahawa langkah positif ekonomi
ini tidak harus tertumpu pada “pemilikan saham-saham
dalam syarikat” , “amanah-amanah saham”
yang lain, tetapi juga harus mencakupi bidang-bidang pembiayaan
biasiswa pendidikan, peluang-peluang pekerjaan dalam perkhidmatan
awam dan agensi-agensi kerajaan.
31.
Melalui RMK9 ini berbagai-bagai kerja kontrak dan perolehan
kerajaan dijangka akan dilaksanakan di Sabah. Untuk memastikan
penyertaan Bumiputera minoriti di Sabah, PBS mencadangkan
agar Kerajaan Pusat dapat memberikan peluang yang lebih
luas kepada golongan Minoriti Bumiputera dalam mendapatkan
kerja-kerja kontrak dan perolehan Kerajaan selaras dengan
hasrat pemilikan 30% ekuiti tersebut.
32.
Kita tidak ingin mempertikaikan pemberian kerja-kerja kontrak
dan perolehan Kerajaan Persekutuan di Sabah kepada kontraktor-kontraktor
dari Semenanjung Malaysia, sepertimana yang kelihatan diamalkan
pada masa ini. Namun, PBS berpendapat bahawa kontraktor-kontraktor
terutama sekali dari kaum Bumiputra minoriti haruslah diberi
peluang, ataupun didorong membentuk pakatan strategik dengan
syarikat-syarikat dari Semenanjung untuk melaksanakan kerja-kerja
kontrak Kelas A, B, D ataupun F. Dengan cara yang demikian
Bumiputra minoriti juga akan merasa bangga kerana dapat
turut bersama dalam menggerakkan pembangunan negara ini.
33.
Di dalam RMK9 ini, PBS juga memohon kepada Kerajaan supaya
melibatkan rakyat Negeri Sabah, khususnya kumpulan minoriti,
dalam semua program untuk meningkatkan keupayaan “human
capital”. Usaha-usaha untuk membina keupayaan (capacity
building) yang khusus perlu disasarkan kepada golongan-golongan
yang terbelakang dan terpinggir selama ini.
34.
Kerajaan Barisan Nasional telah menetapkan sebagai matlamat
supaya pada 2009, tiada lagi rakyat Malaysia (baik di Semenanjung,
Sarawak ataupun Sabah) yang tinggal di bawah paras kemiskinan
tegar. Ini suatu berita yang baik. Justeru, PBS mahu pemimpin-pemimpin
dan kakitangan-kakitangan Kerajaan yang terlibat secara
langsung dalam perlaksanaan dasar-dasar ini supaya melaksanakan
program-program RMK9 dengan penuh kecekapan, keihklasan,
ketelusan dan keberkesanan. Ini penting supaya matlamat
negara ini tercapai dengan sepenuhnya seperti yang dirancangkan.
35.
Di Sabah, strategi pembangunan dari kerajaan Persekutuan
boleh diselaraskan dengan Halatuju Kerajaan Negeri, yang
menekankan pembangunan di sektor pertanian, pelancongan
dan pembuatan. Kita gembira kerana Kementerian Pelancongan
Persekutuan sentiasa bergerak aktif dalam membantu perancangan
pembangunan pelancongan di Negeri ini. Begitu juga dengan
Kementerian Pertanian Persekutuan serta agensi-agensinya
patut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian Negeri untuk
membangunkan sektor pertanian di Sabah selaras dengan aspirasi
Kerajaan yang meletakkan pertanian sebagai “3rd engine
of growth”. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan
Perindustrian (MITI) juga diharapkan dapat bekerjasama dan
sentiasa mengadakan perbincangan dengan Kementerian pembangunan
Perindustrian Negeri supaya banyak barangan dan perkhidmatan
Sabah dapat diekspot ke luar negeri. Kita amat berharap
agar di dalam ikatan kerjasama ini pihak Kerajaan Persekutuan
akan memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk membantu
memajukan sektor-sektor tersebut pada RMK9.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan
36.
Keberkesanan perlaksanaan dasar-dasar pembangunan di bawah
RMK9 ini tertakluk kepada keupayaan kakitangan-kakitangan
Kerajaan dalam menjalankan amanat mereka seharian. Oleh
itu peranan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Persekutuan
dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah sangat penting
dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang bersih, cekap
dan amanah agar mencapai matlamat yang ditetapkan. Untuk
mendapatkan sumber tenaga kerja dalam perkhidmatan awam
yang cekap, kreatif, inovatif, berwawasan, adil dan saksama,
adalah amat penting agar perkhidmatan awam di peringkat
Persekutuan dan Negeri ini dianggotai secara seimbang oleh
segenap kaum di Malaysia. Hanya dengan demikian aspirasi
setiap kaum dapat disalurkan dan direalisasikan. Senario
dalam perkhidmatan awam masa ini kurang menggambarkan keseimbangan
tersebut. Dan, ketidakseimbangan ini harus diperbetulkan.
37.
Selain ekonomi, RMK9 juga perlu mengambilkira soal pembangunan
pendidikan dan pembangunan sumber manusia. Kemudahan-kemudahan
pendidikan kemahiran ini sangat diperlukan kerana ramai
belia-belia di Sabah yang kurang kemahiran-kemahiran teknikal,
seperti dalam industri pembinaan, ICT, pengilangan, automotif
dan sebagainya. Lantaran itu, ramai di antara mereka yang
tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Selaras dengan kehendak
YAB Perdana Menteri untuk meningkatkan “human capital”,
PBS menyarankan agar lebih banyak kolej komuniti dibina
di Sabah dalam RMK9. Kolej–kolej komuniti ini boleh
menawarkan kursus-kursus jangka pendek, sederhana dan panjang,
dan memenuhi keperluan semua golongan, termasuk orang dewasa,
belia-belia, wanita dan surirumah-surirumah.
38.
Sememangnya Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri boleh menggubal
dasar-dasar pembangunan yang baik. Namun, jika rakyat tidak
menyahut seruan-seruan tersebut dan melakukan tindakan proaktif
untuk memajukan diri sendiri maka kesemua dasar itu tidak
akan memberi menafaat yang semaksimanya.
Tuan-tuan
dan Puan-puan sekalian,
SUMBANGAN
WANITA DALAM PEMBANGUNAN
39.
Seperkara lagi yang penting untuk memajukan perjuangan PBS
ialah tentang kedudukan dan peranan wanita dalam pembangunan.
Dalam dunia yang semakin canggih ini, semua golongan adalah
diperlukan untuk memainkan peranan masing-masing. Golongan
wanita yang membentuk lebih kurang separuh daripada jumlah
penduduk di negara ini bukan sahaja penting untuk diberi
perhatian dari segi pembangunan tetapi juga merupakan golongan
yang mampu memberikan sumbangan bakti dalam pelbagai bidang.
40. PBS memang mengiktiraf kemampuan golongan wanita. Semasa
memerintah, PBS kita telah memberikan ruang dan peluang
untuk golongan wanita memegang jawatan-jawatan tinggi dalam
parti, kerajaan, mahupun di sektor swasta. Pendirian PBS
tetap sama seperti dahulu. Malah, kini PBS amat menggalakkan
agar golongan wanita sentiasa berusaha mempertingkatkan
pengetahuan, kemahiran, integriti dan kualiti kepimpinan.
Ini penting supaya mereka lebih berkeyakinan untuk tampil
ke hadapan dan menawarkan diri untuk memberi khidmat bakti
pada negara. Kita amat bertuah di Malaysia kerana peranan
wanita sentiasa diberi pengiktirafan dan diterima sebagai
rakankongsi dalam apa juga kegiatan.
KEPERLUAN
UNTUK PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT (LIFE-LONG LEARNING).
41.
Seperkara lagi yang ingin saya sentuh di sini ialah keperluan
kita untuk terus belajar dalam semua bidang kemasyarakatan.
Kita telah sampai ke zaman “knowledge society”
(masyarakat berpengetahuan) dan sesiapa yang tidak berusaha
untuk menambahkan pengetahuan dan kemahiran-kemahiran pasti
akan ketinggalan. Pada Kongres tahun lalu, saya telah menekankan
tentang pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Saya
juga ada menyentuh tentang kemahiran berbahasa Inggeris
dan kaitannya dengan ICT. Sesungguhnya, agenda PBS dalam
menggalakkan semua ahli untuk mahir dalam bahasa Inggeris
dan ICT ini masih berterusan. Kita tidak mahu ahli-ahli
dan penyokong-penyokong kita ketinggalan dalam arus sains
dan teknologi ini. Saya mencadangkan agar para pemimpin
di bahagian-bahagian supaya mempelajari asas komputer dan
internet kerana ini telah menjadi satu saluran komunikasi
yang sangat cepat, efisyen, murah dan berkesan.
42.
Sebagai Presiden Parti, saya juga mahu supaya pemimpin-pemipin
PBS di semua peringkat agar menyokong sepenuhnya langkah
Kerajaan untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris.
Kita semua dan lebih-lebih lagi golongan belia harus dan
sepatutnya dapat menguasai sepenuhnya bahasa Inggeris. Kefasihan
dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa dunia sejagat,
sudah pasti akan membuka peluang kepada kita semua untuk
melibatkan diri dalam apa juga kegiatan di seluruh dunia
dalam apa juga peringkat. Sesungguhnya, PBS amat prihatin
dengan masa depan kita semua serta anak-cucu kita kemudian
hari.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan sekalian
CABARAN-CABARAN
MASA DEPAN
43.
Sesungguhnya, cabaran yang kita hadapi sebagai sebuah parti
politik memang banyak. Perjuangan politik kita sememangnya
dipengaruhi oleh faktor-faktor luar negeri dan juga perubahan-perubahan
dinamik dalam negara. Walaubagaimanapun, di mana ada masalah,
di sana juga mungkin ada kesempatan. Dalam kita mengusahakan
pembangunan negara, pemimpin-pemimpin PBS di semua peringkat
boleh mengasah bakat, kemahiran dan pengetahuan supaya dapat
turut sama menyelesaikan masalah-masalah ini. Kita sebagai
parti juga berpeluang untuk tampil ke hadapan dan menawarkan
diri untuk berada di barisan hadapan untuk mempertahankan
kedaulatan, keselamatan dan seterusnya mengusahakan pembangunan
sosio-ekonomi negara.
44.
PBS haruslah sentiasa menjadi sebuah “learning organization”
di mana PBS harus menyesuaikan diri dengan perkembangan
semasa. Dalam hal ini, setiap pemimpin, ahli dan kakitangan
juga harus menerima hakikat bahawa pembelajaran sepanjang
hayat (life-long learning) itu penting sepertimana saya
telah tekankan tadi. Kita semua harus bersedia belajar dan
menerima idea-idea baru demi meningkatkan keupayaan kita
dalam organisasi PBS ini. Kita semua harus menjadi peribadi
yang dinamik. Dalam masa yang sama kita harus memperkukuhkan
jentera pentadbiran PBS kerana melalui organisasi inilah
kita boleh menyumbang kepada pembangunan Negara dengan lebih
berkesan.
45.
Dalam usaha kita memperkukuhkan PBS, kita harus bersifat
terbuka dan sentiasa bersedia mendengar kepelbagaian idea-idea
dari ahli-ahli yang lain. Kita harus mampu mengupas sesuatu
isu itu dengan jelas, analitikal dan objektif. Oleh itu,
kita harus menggalakkan idea-idea baru ke dalam Parti kita.
Kita juga harus berusaha menambahkan keahlian parti dan
menggalakkan mereka yang mempunyai kelayakan akademik yang
baik dan mempunyai pengalaman yang luas untuk menyertai
PBS.
46.
Ini amat penting kerana PBS perlu berhadapan dengan cabaran-cabaran
yang lebih besar di masa hadapan. Ini termasuklah dalam
hal mewujudkan barisan pemimpin pelapis dalam PBS. Kita
mahu supaya mereka yang muda dan baru menceburkan diri dalam
politik dapat dibimbing supaya mereka dapat menjiwai perjuangan
murni PBS. Kepada pemimpin veteran, janganlah bersikap terlalu
‘konservatif” sehingga sukar untuk didekati.
Seperti yang seringkali saya katakan, jadilah seperti “Guru
Kuntau/Silat atau sifu Tai Chi”, yang sentiasa bersedia
membimbing dan menurunkan ilmu kepada anak-anak muridnya.
47.
Sesungguhnya PBS adalah sebuah Parti yang dinamik dan merupakan
“learning organization” dan tidak takut kepada
apa juga perubahan yang berlaku dalam persekitarannya. PBS
teguh dalam perjuangan dan sentiasa bijak menyesuaikan diri
dengan perubahan semasa. PBS rela bersaing dengan organisasi
lain dari segi kemahiran, mutu kepimpinan dan sumbangan-sumbangan
idea kepada Kerajaan. Oleh itu, kita semua haruslah teguh
dalam perjuangan dan komited terhadap tanggungjawab masing-masing
demi mencapai matlamat perjuangan parti.
48.
Untuk mencapai kesemua ini, sokongan tidak berbelah-bagi
dari semua lapisan pemimpin amatlah diharapkan dan dihargai.
Marilah kita sama-sama bersatu padu dalam perjuangan kita.
Tingkatkan jumlah keahlian dan kualiti kepimpinan PBS di
kawasan tuan-tuan dan puan-puan masing-masing. Serapkanlah
tenaga-tenaga muda, golongan wanita dan golongan profesional
ke dalam jawatankuasa-jawatankuasa kecil di peringkat Bahagian
dan Cawangan. Ini tentu sekali penting kerana cabaran-cabaran
di masa hadapan memerlukan kualiti kepimpinan yang jitu
dan berwawasan.
PENUTUP
49.
Di dalam KONGRES PBS KE 20 ini, saya berharap agar kita
akan sekali lagi berpeluang untuk memahami semua aspek perjuangan
PBS. Perbahasan mengenai isu-isu yang disebutkan dalam Kongres
ini bukan sahaja akan menambahkan pengetahuan kita masing-masing
tetapi ini sudah tentunya akan membantu kita dalam merancang
apakah bentuk dan program pembangunan yang perlu kita laksanakan
di kawasan masing-masing.
50.
Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan supaya dapat
merenung dan mengkaji isi kandungan ucapan ini dan membahaskannya
dengan sepenuh hati. Apa-apa yang kita bincangkan di KONGRES
ini akan menjadi sebahagian daripada perancangan PBS dan
idea-idea yang bernas yang datang daripada tuan-tuan sekalian
mungkin akan diserapkan dalam perancangan pembangunan negeri.
51. Marilah kita terus teguh dalam perjuangan dan berusaha
dengan gigih ke arah mencapai objektif-objektif PBS sambil
membantu kerajaan Barisan Nasional merealisasikan pembinaan
sebuah Negara Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Sekian,
terima kasih dan selamat bersidang.
BERSATU!
BERSATU! BERSATU!