Home
The President
 
 
 
 
President's Policy Speech
PBS 15th Congress on 20 November 2000

Salam hormat, salam sejahtera, salam Bersatu dan selamat datang ke Persidangan Perwakilan Parti Bersatu Sabah kali Ke-15.

2. Kita bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Kuasa kerana dengan rahmat dan berkatnya, kita dapat mengadakan Persidangan Tahunan kita sekali lagi pada hari ini. Kongres Parti Bersatu Sabah tahun 2000 ini amat bermakna sekali bagi kita sekalian kerana disamping memenuhi kehendak perlembagaan parti, para perwakilan akan merumus strategi dan persediaan parti melangkah ke hadapan. Dalam erti kata yang lain, Kongress ini akan membawa kita memasuki abad ke – 21 untuk meneruskan perjuangan suci murni kita ini.

3. Kepada para perwakilan dan pemerhati dalam Persidangan ini, sekali lagi saya ucapkan tahniah dan syabas kerana ketabahan dan semangat kita sekalian terus memegang obor parti kita untuk terus berjuang mempertahankan demokrasi dan hak-hak negeri kita. Kehadiran kita semua dalam Persidangan ini jelas menunjukkan bahawa rakyat tetap masih mahu meneruskan perjuangan parti kita. Ketabahan hati ahli-ahli parti untuk terus berjuang amat dihargai oleh pucuk kepimpinan parti dan justru sudah tentu akan menjadi landasan kita semua untuk meneruskan perjuangan.

Perjuangan Belum Selesai

4. Sejak pertemuan kita setahun yang lalu banyak perkara sudah berlaku, banyak dugaan kita lalui bersama dan banyak persoalan belum terjawab. Hari ini kita bertemu kembali di tempat yang sama bukan setakat memenuhi kehendak perlembagaan parti, atau setakat memilih susunan kepimpinan parti yang baru untuk penggal tahun 2000 - 2003. Kita datang dari seluruh pelusuk bumi Sabah untuk mengisytiharkan kepada dunia bahawa kita rakyat Sabah masih cinta kepada PBS, bahawa kita masih mahu berjuang dalam PBS, dan kita belum berpuas hati kerana perjuangan PBS belum selesai.

5. Kita amat berbangga sebagai ahli-ahli PBS kerana kita masih menjadi pilihan majoriti rakyat di negeri Sabah. Walaupun kita pernah kalah dalam pilihanraya tahun 1999 tetapi kekalahan kita bukan kerana kita kehilangan sokongan rakyat. Sebenarnya kita telah memenangi majoriti kawasan pilihanraya dimana pengundi-pengundi terdiri daripada masyarakat tempatan dan warganegara tulin. Saya tidak perlu menghurai lebih lanjut perkara ini tetapi kita semua sedia tahu bahawa banyak kawasan disyaki mengandungi pengundi-pengundi hantu yang sekaligus telah mengubah corak pengundian. Tidak dinafikan bahawa kita kecewa kerana PBS kalah teruk di kawasan-kawasan yang terdapat ramai pandatang haram, banyak kes kad pengenalan palsu dan ramai pengundi hantu terdaftar dalam buku daftar pemilih. Kita mempunyai bukti-bukti yang kukuh dalam perkara ini sepertimana yang kita telah bawa ke mahkamah untuk pembicaraan.

6. Kita juga telah kehilangan mandat memerintah kerana telah ditipu oleh pihak-pihak tertentu yang menggunakan taktik-taktik kotor untuk menjatuhkan PBS. Pilihanraya tahun 1999 terutamanya memperlihatkan bagaimana pihak lawan telah menggunakan wang, ugutan, sogokan, dan rasuah dengan secara terbuka untuk mempengaruhi pengundi-pengundi. Banyak penyokong-penyokong PBS telah terpengaruh dan tidak dapat bertahan apabila pihak lawan mengugut mereka sebagai pengundi dengan cara setelah menjanjikan peruntukan projek atau wang kepada mereka terus mengugut mereka dengan mengatakan bahawa yang dijanjikan itu akan di tarik balik sekiranya calon mereka gagal.

7. PBS juga telah menjadi mangsa kepada sistem pilihanraya yang telah di putar- belit untuk memihak kepada Barisan Nasional. Kita telah mengharungi konspirasi mendaftar pandatang asing sebagai pengundi, memindah pengundi secara haram, dan didalam beberapa tahun yang lalu, memindah sempadan pilihanraya untuk memberi kelebihan kepada calon-calon Barisan Nasional. Kita tidak boleh melupakan bagaimana PBS kehilangan dua kerusinya di Sook dan Langkon akibat pemindahan sempadan pilihanraya negeri waktu itu.

8. Walau bagaimanapun, mereka tidak dapat mematah semangat penyokong-penyokong PBS sepenuhnya. Pilihanraya 1999 membuktikan bahawa PBS masih mampu mendapat lebih kurang 213,000 jumlah undi atau 45% daripada jumlah undi keseluruhan. Berbanding dengan parti-parti komponen Barisan Nasional, PBS tiada tandingan. Kalau dikira bersama undi parti-parti pembangkang, Barisan Nasional, yang dianggotai oleh 8 buah parti politik di negeri Sabah, hanya mampu mendapat 240,000 undi, dan telah gagal memenangi undi majoriti secara mutlak. Sebagai parti politik yang memenangi paling banyak undi, PBS tetap unggul dalam politik negeri Sabah.

9. Rakyat Sabah semakin hari semakin sedar betapa sia-sianya bagi mereka mengundi calon-calon Barisan Nasional - yang gagal menegakkan keadilan dan gagal membawa pembangunan yang dijanjikan. Perjuangan PBS semakin lama semakin menjadi idaman rakyat berana ianya ikhlas untuk memperjuangkan nasib dan masa depan rakyat. Rakyat sedar bahawa PBS berjuang demi keadilan, kesaksamaan, demokrasi, maruah bangsa, hak kebebasan, kemakmuran dan kemajuan rakyat. Oleh itu, kekalahan kita dalam pilihanraya 1999 sama sekali tidak melemahkan semangat perjuangan kita untuk membela nasib rakyat.

10. Pagi ini kita berpeluang sekali lagi menaikkan bendera PBS, menandakan semangat kita masih berkobar-kobar dan siap sedia menyahut cabaran turun ke gelanggang pilihanraya sekali lagi dalam tahun 2004 untuk membuat perhitungan dengan pihak lawan. Mungkin kita tidak sehebat dengan pihak lawan dari segi kewangan, penipuan, kekejaman, janji-janji palsu dan lain-lain, tetapi kita berjanji bahawa PBS akan terus berjuang habis-habisan untuk menuntut kembali takhta kerajaan yang seharusnya milik PBS. Kita tidak gentar dengan politik wang, pengundi hantu, ugutan dan janji-janji palsu walupun kita mengharapkan semuanya itu tidak berlaku. Demi perjuangan rakyat yang murni, ikhlas dan jujur, kita tidak takut dihina, ditekan, ditindas dan dianiaya oleh rejim yang jahat dan kejam. Saya percaya rakyat Sabah tetap setia bersama kita. Satu hari nanti kita akan pasti menang!

Tindakan Tidak Berprinsip Oleh Bekas Adun-Adun PBS

11. Saya juga amat kesal kerana pemimpin-pemimpin kita yang baru memenangi pilihanraya umum negeri tahun 1999 tidak belajar dari kesilapan yang lalu. Sekali lagi sejarah berulang apabila enam ADUN kita berpaling tadah dan menyertai Barisan Nasional walaupun mereka sudah bersumpah, berikrar dan berjanji untuk tidak meninggalkan perjuangan murni PBS, dan bahawa mereka akan meletakkan jawatan sebagai ADUN sekiranya mereka mungkir janji. Sebelum ini dua ADUN PBS juga telah menyertai Barisan Nasional. Yang menyedihkan,ialah kerana salah satu di antara mereka ialah pemimpin yang paling lantang menentang fenomena ADUN melompat parti. Beliau pernah menulis buku mengutuk perbuatan menjual diri kepada pihak lawan. Namun akhirnya, beliau sendiri pula melompat ke BN menggunakan strategi budaya politik katak untuk menipu rakyat bagi kepentingannya sendiri.

12. Selaku pengasas dan Presiden PBS, saya amat kesal kerana kali ini enam ADUN yang melompat menyertai BN telah diketuai oleh adik saya sendiri yang sebelum ini pernah berpaling tadah tetapi telah dimaafkan dan diterima kembali menyertai PBS. Tiada kata yang dapat saya lafazkan meminta maaf kepada rakyat atas apa yang terjadi di antara kami adik-beradik. Namun apa yang adik saya lakukan itu bukan atas kehendak saya. Saya memang tidak dapat menentukan kemahuan dan arah politik beliau. Apa yang jelas ialah bahawa saya tidak merestui tindakan beliau meninggalkan parti PBS bersama enam ADUN yang lain.

13. Saya ingin jelaskan bahawa saya serta Majlis Tertinggi PBS telah menerima beliau kembali ke dalam PBS dahulu kerana yakin bahawa beliau sudah insaf dan ikhlas untuk berjuang bersama dalam PBS. Kita ingin betul-betul menyatu-padukan rakyat Sabah dan bukan memecahkan. Oleh itu, kita telah menerima beliau dengan tangan terbuka. Kita masih ingat kenyataan beliau semasa Kongres PBS beberapa tahun yang lalu dimana beliau mengatakan bahawa beliau kembali ke dalam PBS secara ikhlas dan tanpa syarat. Kita juga masih ingat bagaimana beliau menitis airmata di hadapan tuan-tuan dan puan-puan memohon maaf.

14. Saya juga kesal kerana masih terdapat tuduhan bahawa kononya Dr Jeffrey dan lima ADUN PBS yang lain telah menyertai Barisan Nasional dengan restu saya. Apa pula sebabnya saya merestui tindakan ADUN-ADUN PBS untuk berpaling tadah? Adakah tuduhan tersebut masuk akal sedangkan saya masih menjadi Presiden parti, masih mencintai perjuangan PBS dan saya masih berjuang bersama-sama anda pada pagi ini? Saya sememangnya menafikan anggapan bahawa saya kononnya merestui tindakan Dr Jeffrey dan kuncu-kuncunya meninggalkan PBS. Saya telah berkali-kali membuat penafian akhbar mengenai perkara ini dan saya kesal kerana kumpulan Dr Jeffrey masih menggunakan nama saya sebagai alasan untuk mereka melompat ke BN

15. Saya ingin menasihatkan Dr Jeffrey supaya tidak menggunakan nama saya sebagai kuda tunggangan atau sebagai alasan untuk mendorong penyokong-penyokong PBS berpaling tadah. Saya sama sekali tidak merestui dan tidak bersetuju dengan tindakan mana-mana pihak meninggalkan perjuangan PBS. Saya ingin mengesyorkan kepada Dr Jeffrey supaya beliau meletak jawatan serta merta sebagai ADUN di kawasan Bingkor dan memberi peluang kepada rakyat untuk menentukan kedudukan beliau dalam pilihanraya kecil.

16. Kita amat sedih dan kesal kerana undang-undang anti-lompat untuk mengharamkan ADUN daripada melompat dari satu parti ke parti lain sesuka hati mereka telah dibatalkan melalui keputusan mahkamah. Dengan tujuan yang serupa demi mempertahankan hak pengundi-pengundi dan prinsip demokrasi keseluruhanya kita juga telah menggubal sistem dimana setiap calon PBS diminta membaca ikrar atau bersumpah untuk tidak meninggalkan parti apabila terpilih kelak dan juga menandatangani dokumen untuk meletak jawatan sekiranya engkar atau mungkir janji. Malang sekali, apabila perkara ini dibawa kepada perhatian Speaker Dewan Undangan Negeri, beliau tidak mengiktiraf surat perletakan jawatan dan juga tidak mengambil kira sumpah bertulis dan surat perletakan jawatan ADUN-ADUN yang berpaling tadah.

17. Saya tidak mahu menuduh sesiapa tetapi saya berani mengatakan bahawa beberapa ADUN yang telah berpaling tadah berbuat demikian kerana mengharapkan ganjaran bagi diri mereka. Mereka telah termakan janji-janji manis dan mungkin sogokan wang. Pendek kata mereka melompat kerana kepentingan diri, dan bukan kerana kepentingan rakyat. Sekiranya wang atau jawatan menjadi pertimbangan ADUN-ADUN tersebut untuk melompat dimanakah letaknya kepentingan rakyat?

18. Kita sebenarnya menuntut supaya undang-undang anti-lompat diperenalkan dalam Perlembagaan negara. Kita mahu undang-undang tersebut diperkenalkan baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan. Malangnya, pihak Barisan Nasional tidak menyokong saranan PBS, dan terus berselindung di bawah undang-undang sedia ada untuk menerima ADUN-ADUN yang melompat ke pangkuan mereka. Keengganan mereka untuk memperkenalkan undang-undang anti-lompat membuktikan bahawa mereka terlibat secara tidak langsung terhadap konspirasi untuk menjatuhkan PBS selama ini.

Pemililihan AMT Sessi 2000/2003

19. "Patah tumbuh, hilang berganti", kata satu pepatah Melayu. Syukurlah kita tidak ketandusan pemimpin-pemimpin yang jujur dan tabah untuk diberi kepercayaan meneruskan perjuangan parti. Seperti yang kita semua sedia maklum, dalam Persidangan Perwakilan tahun ini, pemilihan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi Parti untuk Sesi Tahun 2000/2003 akan kita adakan. Kita besyukur kerana rakyat sentiasa boleh mencari pengganti pemimpin-pemimpin yang tidak setia, tidak jujur dan yang telah meninggalkan kepentingan dan hak rakyat. Dalam Parti Bersatu Sabah dan dari penyokong-penyokongnya di masyarakat negeri kita ini, amnya, kita tidak kekurangan pemimpin baru yang berkebolehan, berwibawah, bersopan-santun dan tahan lasak berjuang untuk kepentingan rakyat.

20. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli-ahli PBS kerana terus menaruh kepercayaan kepada saya untuk memimpin parti kita ini sebagai Presiden. Saya difahamkan bahawa ramai rakan-rakan lain juga telah diberi kepercayaan oleh ahli-ahli untuk terus bersama memimpin parti dan menjalankan tugas dan tanggungjawab atas perjuangan kita yang murni ini ke tahap yang lebih tinggi dan bermutu. Kepada mereka ini juga, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas. Sudah tentulah kita semua mempunyai penuh kesedaran bahawa tanggungjawab dan tugas yang disandangkan kepada kita ini amat berat dan mencabar. Walaumacamanapun, kita akan berusaha bersungguh-sungguh demi menunaikan harapan ahli-ahli dan penyokong-penyokong kita dan generasi kita yang akan datang. Tanggunjawab dan kewajipan kita tidak akan disia-siakan. Sekali lagi terima kasih.

21. Kepada mereka yang akan bertanding untuk mengisi beberapa jawatan dalam parti, saya ucapkan selamat berjuang dan selamat bertanding.. Dalam sebuah parti yang percaya dan mengamalkan prinsip demokrasi seperti PBS, pertandingan itu merupakan satu proses kematangan. Para perwakilan akan menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk memilih pemimpin parti. Apa yang saya harapkan ialah bahawa calon-calon yang bertanding tidak terlalu ghairah untuk menjadi pemimpin semata-mata sehingga terlupa pula bahawa tujuan asal parti kita PBS ialah untuk menyatupadukan rakyat. Tujuan untuk bertanding ialah menawarkan diri menjadi pemimpin untuk kesinambungan perjuangan parti dengan penuh komitmen mengahapi cabaran politik dan ekonomi tanah air kita dan antarabangsa yang pasti akan menjadi amat mencabar dalam abad ke 21 kelak.

K-Ekonomi - Perkembangan Ekonomi dan Politik Antarabangsa

22. Keadaan ekonomi dan politik dalam negara kita sudah tentu dipengaruhi oleh perubahan ekonomi dan politik di peringkat antarabangsa yang mendadak dan amat mencabar sekarang. Untuk meneruskan perjuangan kita kepekaan terhadap peredaran masa dalam perancangan pembangunan era k-ekonomi amat penting. Keupayaan dan daya saing ekonomi kita harus menjadi pemangkin pembangunan perindustrian dan kemajuan ekonomi kesuluruhan. Penggunaan tenaga buruh yang tidak terlatih seperti rakyat asing di Sabah sudah pasti akan menjadi "obsolete" dan tidak boleh diamalkan lagi sebagai strategi pembangunan negeri dalam konteks globalisasi dan pemasaran moden.

23. Era ekonomi yang menjelang tiba di alaf baru adalah yang disebut luas oleh masyarakat ekonomi dunia pada masa kini iaitu K-Ekonomi. Ia adalah bentuk ekonomi baru di mana semua proses dalam sesuatu ekonomi akan berpandu ilmu Pengetahuan. Dalam konteks ini, arus ekonomi di seluruh dunia akan didominasikan atau dipengaruhi oleh kuasa globilasasi. Maka di sinilah wujudnya konsep-konsep ekonomi seperti "New Economic Order", "Global Village", "E-Commerce", "Information and Communication Technologi (ICT)", "Digital Divide", Internet dan sebagainya. Dalam sistem ekonomi baru yang akan wujud, kebanyakan transaksi seperti pemasaran, proses jual-beli, komunikasi, perolehan maklumat pasaran dan lain-lain akan dilakukan melalui internet.

24. Dalam bentuk ekonomi seperti ini, sudah tentulah ilmu pengatahuan (knowledge) adalah kuasa penentu dan mempengaruhi semua proses dan pergolakan aktiviti ekonomi. Ini memerlukan masyarakat ekonomi dan rakyat keseluruhan memiliki pendidikan teknologi, kemahiran teknikal dan kecelikan komputer. Jika kemahiran-kemahiran seperti ini tidak diperolehi maka rakyat jelata akan ketinggalan dalam arus perkembangan ekonomi baru. Mereka akan terpesong oleh apa yang disebut "digital divide" atau jurang digital dan akan terus ketinggalan dalam soal pembangunan ekonomi.

25. Maka adalah jelas bahawa masyarakat kita di Sabah dan Malaysia amnya hendaklah terus maju kehadapan dan mengejar ilmu pendidikan khasnya dalam bidang teknologi maklumat kerana inilah yang akan menentu kemajuan sesuatu bangsa dan negeri di alaf baru. Justeru itu, sambil kita berkumpul di sini dalam dua hari ini untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab parti kita, marilah kita bersama-sama menerima cabaran untuk maju kehadapan serta melangkapi diri melalui apa juga cara supaya kita tidak terpinggir daripada arus ekonomi yang bakal kita hadapi. Dalam soal ini, PBS akan mencari jalan bagaimana mempastikan supaya pemimpin dan ahli-ahli parti akan pekah kepada keadaan semasa dan mengambil peluang yang ada untuk menangkap ilmu dalam bidang yang saya telah sebut tadi.

Ramalan Ekonomi Negeri dan Negara

26. Walaupun kita diyakinkan bahawa ekonomi negara sudah pulih, tetapi keadaan sebenar tidak menunjukkan sedemikian. Peniaga-peniaga di Sabah masih lagi merasai bahang kegawatan ekonomi yang berlaku beberapa tahun yang lalu dan mungkin keadaan akan menjadi buruk sebelum ianya beransur pulih. Ini kerana tidak dapat dinafikan bahawa prestasi ekonomi kita amat bergantung kepada export bahan mentah seperti hasil pembalakan dan minyak kelapa sawit ke negara-negara rakan dagangan kita seperti Jepun dan Korea. Faktor-faktor ekonomi dalaman dan keadaan politik di negara-negara berkenaan tentunya akan terus mempengaruhi prestasi ekonomi negeri Sabah.

27. Pergolakan politik di negara-negara jiran terdekat kita seperti di Indonesia dan Filipina juga membimbangkan. Apa yang berlaku di situ akan mempengaruhi perkembangan ekonomi negeri Sabah. Sentimen pelaburan jangka pendek dan jangka masa panjang ke Sabah tentunya bergantung kepada kestabilan politik di rantau ini. Jika keadaan sekarang berterusan atau bertambah buruk, kita juga akan menghadapi masalah ekonomi. Kebanjiran rakyat asing mungkin bertambah dan jika ini berlaku, keadaan masalah sosial dan politik di Sabah akan bertambah buruk lagi. Oleh itu, kita doakan agar keadaan di negara-negara jiran kita ini akan dapat diselesaikan dengan aman dan secepat mungkin.

Penculikan Di Pulau Sipadan dan Pulau Pandanan

28. Kehadiran begitu ramai rakyat asing di Sabah sekarang menghalang para peniaga luar untuk datang melabur di negeri ini. Pendatang asing juga menimbulkan berbagai masalah sosial. Tidak dapat dinafikan mereka suka melakukan berbagai jenis jenayah dan juga merosakkan sumber makanan ikan kita kerana menggunakan bom untuk menangkap ikan.

29. Mereka juga terlibat dalam pengedaran dadah atau pil khayal yang boleh mempengaruhi malahan merosakkan aklak generasi muda kita. Perbuatan penyeludupan dan pemalsuan kad pengenalan berleluasa di kalangan rakyat asing. Ramai penghuni penjara di seluruh Sabah adalah terdiri daripada rakyat asing dan justru menggambarkan betapa mereka menimbulkan masalah sosial dan membebankan negara.

30. Kejadian penculikan di Pulau Sipadan dan Pulau Pandanan bukan sahaja telah memalukan negara kita di mata dunia tetapi jelas menunjukkan keselamatan rakyat di Negeri Sabah tidak terjamin. Rakyat asing bebas masuk ke Sabah untuk melakukan apa juga mereka suka. Kejadian itu telah memburukkan lagi keadaan ekonomi negeri Sabah, khususnya dibidang pelancungan, akibat pablisiti yang meluas ke seluruh dunia. Sudah sampai masanya Kerajaan Pusat bertindak tegas untuk menangani masalah ini. Rakyat Malaysia di Sabah sudah cukup lama menderita dan menanggung kesengsaraan akibat kebanjiran begitu ramai rakyat asing khusunya pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah yang semakin hari tidak lagi menghormati kedaulatan negara dan undang-undang negara kita.

31. Walaupun keselamatan negara dikatakan kini terjamin, rakyat di Sabah masih berada dalam ketakutan di bumi mereka sendiri. Baru-baru ini satu Majlis di Tawau yang dihadiri lebih kurang 2000 orang terpaksa dibatalkan kerana ada letupan bom dalam bangunan di mana Majlis itu diadakan. Di Lahad Datu rakyat takut keluar, terutama waktu malam, kerana ada khabar angin bahawa kumpulan Abu Sayyaf akan datang menyerang. Di Kota Kinabalu beberapa pegawai DBKK pula telah dicederakan oleh rakyat asing semasa mereka menjalankan tugas.

32. Menurut Perjanjian Malaysia pihak Kerajaan Persekutuan menjamin keselamatan negeri Sabah. Sesungguhnya Perkara 5 Perjanjian Malaysia jelas memperuntukkan bahawa penyertaan Sabah dalam Persekutuan Malaysia adalah dengan syarat bahawa kawalan ketat kemasukan rakyat asing ke negeri ini dimaktubkan dalam undang-undang negeri iaitu Akta Immigration. Persetujuan ini mesti dihormati dan dilaksanakan dengan sepenuhnya oleh pihak Kerajaan Persekutuan. Hak negeri Sabah tidak patut dilupakan begitu sahaja atau dijadikan bahan percaturan politik oleh Kerajaan Barisan Nasioanal.

Campurtangan Rakyat Asing Memilih Kerajaan

33. Sekali lagi saya mengingatkan kita semua bahawa pencapaian PBS yang kurang memuaskan dalam pilihanraya yang lalu itu bukan kerana perjuangan PBS tidak lagi relevan atau ditolak oleh rakyat. Penyertaan rakyat asing sebagai pengundi semasa pilihanraya umum negeri dan parlimen yang lalu di Sabah memang sudah menjadi rahsia terbuka. Seperti yang telah dilaporkan baru-baru ini dalam media-massa, Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya sendiri telah mengakui pengguguran pengundi hantu daripada Daftar Pemilih di Sabah selepas Pilihanraya Parliamen 1999. Sebanyak 96,667 nama pengundi hantu telah digugurkan daripada Daftar Pengundi di Sabah. Ini membuktikan bahawa apa yang PBS perjuangkan selama ini adalah benar dan bukan tuduhan melulu atau andaian semata-mata.

34. Jumlah pengundi hantu yang telah digugurkan adalah lebih besar daripada undi majoriti yang telah diperolehi oleh calon Barisan Nasional di beberapa kawasan. Misalnya di Lahad Datu (di mana kita semua maklum ada misteri peti undi ditemui dalam sungai), majority BN hanya 1234 sahaja. Tetapi jumlah nama pengundi hantu yang telah digugurkan adalah lebih daripada 3000 orang! Di Kawasan Sugud, kekalahan calon kita hanya lebih kurang 254 undi. Akan tetapi pengundi hantu yang telah digugurkan lebih daripada 751! Di Petagas, calon BN menang dengan majoriti lebih kurang 3000 undi. Selepas pilihanraya tidak kurang daripada 6000 nama pengundi hantu telah digugurkan!

35. Pengguguran nama-nama pengundi hantu ini hanya dilakukan selepas pilihanraya dan bukan secara kebetulan sahaja. Pengundi-pengundi hantu itu, yang juga dinamakan sebagai pengundi luar, telah diatur oleh Barisan Nasional, khususnya Parti UMNO, untuk mengundi dan membantu kemenangan BN semasa pilihanraya. Kewibawaan Suruhanjaya Pilihanraya bertindak hanya selepas pilihanraya boleh dipersoalkan dan keputusan pilihanraya umum negeri tahun 1999 itu dipertikaikan. Jika nama-nama pengundi hantu itu telah digugurkan sebelum pilihanraya, hari ini PBS pasti, dan bukan Barisan Nasional, menerajui pentadbiran Negeri Sabah.

36. Beberapa petisyen pilihanraya telah difailkan oleh calon-calon PBS untuk membatalkan keputusan beberapa pilihanraya. Akan tetapi pihak Makhamah tidak mahu terlibat membersihkan pengundi hantu dari dalam Buku Daftar Pemilih. Tafsiran peruntukan undang-undang juga mengelirukan. Di samping itu, pembicaraan petisyen itu sangat lembab dan kita sukar mengatahui bilamasa pembicaraan akan selesai. Walaupun kita percaya keputusan petisyen-petisyen itu memihak kepada kita, pilihanraya kecil mungkin tidak perlu diadakan jika tempoh Dewan Undangan Negeri yang masih ada itu kurang daripada tiga tahun sebelum berakhirnya tempoh itu. Justru itu, kebanyakan petisyen kita telah ditarik semula.

37. Kita memang mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pilihanraya menggugurkan nama-nama pengundi dari Buku Daftar Pemilih. SPR patut mengambil tindakan berterusan untuk menggugurkan semua nama-nama pengundi hantu yang masih ada dalam Buku Daftar Pengundi dan mempastikan rakyat asing tidak lagi didaftar sebagai pengundi di Sabah di masa akan datang. Usaha oleh SPR membersih atau menggugurkan nama-nama pengundi hantu daripada Buku Daftar Pemilih tidak akan bermakna jika petualang yang tidak bertanggungjawab terus mendaftar rakyat asing sebagai pengundi di Sabah. Pihak SPR patut mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab mendaftar rakyat asing sebagai pengundi kerana perbuatan mereka bukan sahaja mencemar kewibawaan SPR sendiri tetapi menggugat keselamatan negara kita.

38. Saya juga minta semua pemimpin-pemimpin parti di semua peringkat meneruskan usaha mengenal pasti nama-nama pengundi hantu yang didaftar di kawasan masing-masing. Diantara sekarang dan hingga pilihanraya akan datang, ahli-ahli dan penyokong-penykong parti mesti melipat gandakan usaha masing-masing dalam hal ini untuk mempastikan kemenangan parti kita dalam pilihanraya akan datang.

39. Sementara itu, SPR juga mesti berlaku adil kepada semua gulungan masyarakat di Sabah semasa kajian persempedanan bahagian-bahagian pilihanraya akan datang. Dalam konteks ini, PBS minta agar Kawasan-Kawasan DUN Langkon dan Sook dikambalikan. Demikian juga Kerusi Parlimen untuk Pensiangan diwujudkan semula. Ini perlu untuk memastikan rakyat di kawasan-kawasan berkenaan akan mendapat perkhidmatan wakil-wakil rakyat dengan lebih berkesan lagi.

PBS Suara Rakyat Sabah di Malaysia

40. Tidak dapat dinafikan bahawa hanya PBS sahaja parti yang berani dan iklas mengetengahkan kepada Kerajaan Persekutuan masalah yang dihadapi oleh rakyat Negeri Sabah. Kita laku ini dengan niat yang baik dan murni demi rakyat di negeri ini dan juga negara. Sebagai contoh, tanpa PBS yang berjuang bersungguh-sungguh dan berterusan, nama-nama pengundi hantu itu tidak digugurkan malahan mungkin rakyat tidak sedar wujudnya pengundi hantu di Sabah.

41. Sesungguhnya banyak lagi perjuangan PBS yang belum selesai untuk menuntut pembangunan ekonomi negeri yang saksama serta menuntut hak dan keadilan untuk masyarakat keseluruhannya. Barisan Nasional hanya menumpukan kegiatan pembangunan di bandar-bandar besar sahaja. Pembangunan tidak seimbang diantara luar bandar dan di bandar. Pelaksanaan pembangunan dijalankan tanpa kejujuran atau bertanggungjawab kepada rakyat keseluruhannya.

42. Selepas pilihanraya, parti yang membentuk Kerajaan harus menumpukan perhatian terhadap pembangunan negeri dan tidak sepatutnya terus berpolitik dan menindas pula rakyat yang tidak sehaluan fahaman politik dengan parti pemerintah. Akan tetapi sejak Barisan Nasional berkuasa, inilah yang berlaku di Sabah. Mereka yang tidak sehaluan dengan pemimpin-pemimpin parti dalam Barisan Nasional ditindas dan diketepikan.

Hubungan Sabah-Kuala Lumpur

43. Saya merasa kesal kerana isu hubungan Sabah-Kuala Lumpur terus dijadikan bahan politik oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional untuk melega-legakan kita dengan pemimpin-pemimpin Kerajaan Pusat. Pemimpin-pemimpin BN telah dijangkiti syndrom politik: "dengan Kerajaan negeri mempunyai hubungan baik dengan Kerajaaan Pusat, negeri kita senang mendapat pembangunan". Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sentiasa menghasut rakyat di Sabah bahawa hanya dengan mempunyai hubungan baik dengan Kuala Lumpur kita boleh maju. Mereka ini tidak boleh diharap atau dipercayai.

44. Hasrat Kerajaan Negeri untuk berhutang pula dari orang awam untuk membiayai pembangunan negeri membuktikan bahawa hubungan erat dengan Kuala Lumpur bukan jaminan untuk Sabah mendapat peruntukan kewangan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan. Sesungguhnya pengumuman Kerajaan Negeri untuk mendapatkan pinjaman dari orang awam melalui bond atau bank-bank tempatan merupakan satu tamparan hebat kepada hubungan Sabah-Kuala Lumpur di bawah satu bumbung rumah Barisan Nasional.

45. Nampaknya hubungan intim ini tidak dapat dimanfaatkan oleh BN Sabah untuk mendapat peruntukan kewangan tambahan tetapi hanya sekadar mendapatkan kebenaran untuk berhutang daripada Kerajaan Persekutuan dan ini bukan sahaja memalukan negeri tetapi mengeciwakan rakyat Sabah. Dalam meneruskan perjuangan, kita tidak patut terpengaruh dengan propaganda pemimpin-pemimpin Barisan Nasional bahawa kononnya menuntut hak kita seperti yang termaktub dalam Perlembgaan Persekutuan adalah tindakan berkonfrantasi dengan Kuala Lumpur. Sedangkan itu yang dituntut adalah hak kita!

46. Kita semua sedar bahawa hubungan baik dan erat diantara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan itu penting. Tetapi hubungan itu mesti berasaskan hubungan dua hala yang saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain. Sebagai sebahagian negara Malaysia yang mengamalkan pentadbiran berasaskan Persekutuan, tidak dapat dielakkan Sabah perlu menuntut haknya kerana kepentingan atau keadaan semua negeri dalam negara berpersekutuan tidak sama diantara satu sama yang lain.

47. Waktu pejajahan dahulu, kita tidak boleh bersuara. Tetapi negeri kita ini adalah sebahagian daripada negara yang merdeka dan pemimpin-pemimpin kita patut bebas mengeluarkan pandangan tentang hal-hal pembangunan negara keseluruhanya. Seberang kemunduran pembangunan negeri Sabah pasti akan menggambarkan kegagalan pihak Kerajaan Pesekutuan menunaikan tanggongjawabnaya untuk membangun negara keseluruhannya dan justeru itulah kita terus merayu untuk pembangunan yang seimbang di Sabah.

Pembangaunan Hak Semua Rakyat

48. Harus diingati bahawa menurut Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Pusat antara lain bertanggungjawab keatas hal keselamatan dalam negeri dan keatas hal pembangunan infrastruktur pendidikan serta hal-hal berkaitan dengan perubatan, penyediaan prasarana lebuhraya jalanraya sejak merdeka. Berikutan pengambilan Lembaga Letrik Sabah oleh Kerajaan Persekuan, misalnya, penyediaan rangkaian bekalan letrik di seluruh Negeri Sabah adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat. Justru tidaklah menghairankan Sabah amat memerlukan banyak lagi peruntukan kewangan untuk pembangunan, terutama penyediaan rangkaian parasarana seperti jalanraya, bangunan-sekolah-sekolah, bekalan letrik di luar bandar dan sistem pengairan untuk pertanian.

49. Semasa pentadbiran PBS, walaupun telah menghadapi berbagai tekanan politik oleh Kerajaan Barisan Nasional, kita telah berusaha dengan sedaya upaya melaksanakan program dan perancangan pembangunan yang menyeluruh dan seimbang. Banyak kemajuan telah kita laksanakan dalam berbagai bidang, terutama di luar bandar. Rangkaian jalan raya di kampung-kampung secara langsung dan tidak langsung telah dapat menaikkan taraf hidup rakyat dan negeri keseluruhannya dan inilah yang telah diutamakan oleh Kerajaan PBS.

50. Kerajaan sekarang tidak perlu bermegah-megah tentang pelaksanaan projek kerana rakyat lebih tahu menilai mana satu Kerajaan yang benar-benar memenuhi kekosongan pembangunan negeri ini sejak merdeka. Di samping itu, membawa pembangunan negeri ini adalah tanggungjawab Kerajaan, dan kerajaan harus bersikap adil dan berjiwa rakyat. Sesungguhnya kesinambungann pembangunan negeri ini adalah menjadi tanggugnjawab Kerajaan Negeri.

51. Semasa pilihanraya 1994, Barisan Nasional telah menabur berbagai janji pembangunan termasuk janji Sabah Baru yang menjanjikan bahawa dalam tahun 2000 ini tiada lagi kemiskinan di kalangan rakyat di Sabah. Janji Sabah Baru juga termasuk janji membekalkan sebuah rumah didirikan untuk setiap rakyat di Sabah juga menjelang tahun 2000!. Semua jalanraya di luar bandar akan di aspal. Landasan Kereta Api yang baru sejauh 200 batu dan juga jalanraya baru sejauh 2000 batu akan juga dibina. Setiap rakyat di Sabah boleh membaca (Sifar buta huruf). Seluruh negeri Sabah akan diterangi dengan cahaya letrik dan seorang doktor bagi setiap 2500 orang di Sabah menjalang akhir tahun 2000. Semasa pilihanraya 1999, Barisan Nasional juga telah menabur berbagai janji pembangunan.

52. Tetapi janji-janji manis Barisan Nasional itu tidak ditunaikan. Rakyat Sabah terutama mereka yang tinggal terpencil di luar bandar, merasa amat keciwa bukan sahaja kerana Kerajaan Barisan Nasional telah gagal membina jalan-jalan raya baru di kampung-kampung tetapi semua jalanraya yang telah PBS bina dahulu dan sudah rosak teruk kerana hakisan tidak pula diperbaiki atau diselengara. Demikian juga talian air graviti yang PBS buat dahulu di kampung-kampung kini sudah rosak tetapi tidak diperbaiki oleh Barisan Nasional.

53. Banyak keperluan-keperluan penduduk bukan sahaja di luar bandar tetapi juga di estate-estate perumahan di bandar juga tidak di ambil perhatian oleh Kerajaan Negeri. Perlu diingatkan bahawa tanggungjawab Kerajaan bukan sahaja membina jalanraya baru tetapi juga yang lama diselengarakan. Inilah sikap pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang suka bercakap bohong dan berjanji manis tetapi cakap tidak serupa bikin.

Kerajaan Barisan Nasional Hampir Muflis

54. Keaadan sebenar di Sabah sekarang bukan pula menunjukkan kemiskinan telah berkurangan tetapi Kerajaan Barisan Nasional miskin dan papa. Sesungguhnya Ekonomi Negeri Sabah di bawa Barisan Nasional sekarang hampir muflis. Hasil pendapatan negeri Sabah untuk tahun hadapan dijangka turun mendedak. Seperti yang terkandung dalam ucapan Ketua Menteri Sabah semasa membentang Belanjawan Negeri Sabah tahun 2001 di Dewan pada 3hb. November, 2000, untuk membiayai Belanjawan 2001, Kerajaan Negeri terpaksa mencari pinjaman daripada bank-bank atau menggunakan Sabah Development Bank untuk mengeluarkan bond supaya mendapat kewangan. Persoalannya, mengapa pula Kerajaan tidak minta bantuan daripada Kerajaan Persekutuan seperti yang dilaung-laungkan?

55. Memang pemimpin-pemimpin PBS telah berkali-kali menyuarakan pandangan bahawa bukan begitu senang Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan kewangan tambahan kepada Sabah kerana terikat kepada syarat-syarat yang telah dibincang dan dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia. Cara pemberian dan jumlahnya juga telah ditetap dan digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan dan ini tidak boleh diubah sesuka hati menurut kehendak mana-mana pihak. Namun Kerajaan Negeri boleh dan patut berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji kenaikan semua pemberian kewangan kepada Kerajaan Negeri oleh Kerajaan Persekutuan menurut peruntukan dalam Perlembagaan.

56. Di samping itu pula, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional di Sabah harus berjimat cermat dan jujur mentadbir sumber kewangan negeri. Kerajaan Negeri mesti mempunyai vision untuk mempelbagaikan sumber-sumber kewangannya. Kita tidak boleh berterusan menipu rakyat dengna mengatakan bahawa kita boleh bergantung semata-mata kepada Kerajaan Persekutuan untuk maju tanpa usaha diri sendiri. Sebaliknya, Sabah sebagai sebuah negeri di Malaysia, dan Kerajaan Negeri mempunyai peranan sendiri dan perlu memainkan peranannya menyumbang ke arah merealisasi Wawasan 2020 iaitu impian Malaysia untuk mencapai taraf negara maju.

Prestasi Perkhidmatan Awam dan Pengurusan Ekonomi

57. Seperti telah didedahkan oleh Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri, agensi-agensi awam tidak mampu membayar kepada Kerajaan Negeri hutang masing-masing berjumlah RM1.15 billion. Agensi-agensi awam patut menjalankan pentadbiran masing-masing dengan amanah dan menjadikan institusi mereka sebagai agensi Kerajaan Negeri mendapat kewangan sendiri melalui dividen. Lembaga Pengarah setiap agensi awam patut mengamalkan pendekatan mesra dengan para peniaga atau "business friendly approach" dan tidak patut menghalang kemajuan para pelabur, terutama pelabur tempatan agar Kerajaan mendapat pulangan dalam bentuk dividen hasil setiap tahun. Dan inilah yang telah kita lakukan semasa mentadbir negeri ini dahulu.

58. Tidak dapat dinafikan bahawa kemerosotan hasil pendapatan Negeri Sabah sekarang berpunca daripada kegagalan Kerajaan Barisan mentadbir sumber kewangan negeri atau mengawalselia kewangan agensi-agensi awam dengan sempurna. Ini amat ketara dalam kes yang telah dilaporkan dalam media tempatan dimana sejumlah RM70 juta royalti balak hanya dapat dikutip melalui bantuan pihak Badan Pencegah Rasuah. Kes ini hanyalah sebahagian kecil daripada kecurangan pentadbiran Barisan Nasional yand tidak diketahui oleh rakyat. (This case may be only a tip of the ice berg of malpractices by the Barisan Nasional Administration)

59. Kerajaan Negeri juga telah membiarkan SLDB menjual sahamnya dalam syarikat Sapi Plantation Sdn untuk orang perseorangan tertentu mendapat keuntungan lebih RM130 juta sekelip mata sahaja. Lembaga Pelabuhanan-Pelabuhan Negeri Sabah pula telah mendapat pinjaman kononnya tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri. Ini menghairankan kerana Kerajaan Negeri tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab itu.

60. Sabah Bank Bhd juga dibiarkan oleh Kerajaan Negeri dijadikan sebagai lembu tenusu (a milking cow) oleh orang-orang tertentu yang mempunyai pengaruh politik dan kini terpaksa dijual kerana mempunyai kadar pinjaman lapuk (non performing loan) yang tinggi.

61. Kerajaan PBS telah berusaha bersungguh membeli semula Sabah Bank daripada Bank Negera demi maruah negeri. Kerajaan BN Negeri, yang dikatakan mempunyai hubungan erat serta persefahaman baik dan boleh duduk semeja dengan pucuk kepimpinan Kerajaan Persekutuan, wajar meminta agar Sabah Bank dan Sabah Finance yang mempunyai rangkaian perniagaan di seluruh negara, dikekalkan oleh Kerajaan BN Negeri Sabah. Kerajaan BN Negeri juga patut meminta kebenaran Bank Negara untuk mencari rakankongsi sendiri seperti yang telah dilakukan oleh Sarawak. Rakyat Sabah merasa amat kecewa kerana Sabah Bank dan Sabah Finance Bhd telah ditelan oleh MultiPurpose Bank melalui penggabungan insitituisi kewangan.

Tanah Rakyat Dikebas-Kebas

62. Nampaknya Kerajaan Barisan Nasional ini tidak bertanggungjawab kerana membiarkan orang-orang individu menggunakan kedudukan mereka mengaut keuntungan sedangkan kutipan hasil negeri kita merosot. Kerajaan Barisan Nasional juga tiada patriotisme untuk melindungi nama dan mertabat Negeri Sabah. Pendek kata pemimpin-pemimpin Barisan Nasional tidak lagi peduli maruah Negeri Sabah dan hanya bermegah dengan hubungan baik mereka dengan pemimpin-pemimpin persekutuan untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Penggiliran Jawatan Ketua Menteri

63. Penggiliran jawatan Ketua Menteri mempunyai kesan buruk terhadap morale di kalangan pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam. Ini kerana bila Ketua Menteri selaku ketua pentadbiran negeri bertukar, ada sahaja perubahan baru berlaku kerana sekali air bah sekali pantai berubah. Akibatnya, pegawai-pegawai Kerajaan Negeri bukan sahaja tidak bersemangat untuk menjalankan tugas tetapi tidak boleh menumpukan perhatian dan masa untuk menjalankan tugas masing-masing dengan berkesan. Sudah tentu dalam keadaan seperti ini, pelaksanaan projek-projek Kerajaan menjadi tidak licin bahkan kucar kacir.

64. Sebab inilah PBS telah berkali-kali menyuarakan pandangannya dan mendesak supaya jawatan Ketua Menteri disandang menurut Perlembagaan Negeri dan bukan secara bergilir-gilir atas kehendak pucuk kepimpinan Barisan Nasional. Tetapi mereka yang berkepentingan dalam penggiliran jawatan Ketua Menteri itu berdegil dan mahu dasar ini diteruskan tanpa mengambil kira akibatnya terhadap negeri kita.

65. Sekali lagi saya bagi pihak rakyat negeri Sabah mendesak supaya sistem penggiliran Ketua Menteri yang tidak demokratik dan tidak menguntungkan rakyat dihapuskan. Kita menuntut supaya jawatan Ketua Menteri ditentukan oleh proses demokrasi, bukan lantikan Perdana Menteri. Kita menolak sebarang campur tangan pihak luar dalam proses pemilihan Ketua Menteri selain daripada patuh dan mengikut kehendak Perlembagaan Negeri dan berasaskan keputusan rakyat dalam pilihanraya.

66. Selama ini bukankah perlantikan ketua Menteri Sabah sudah menjadi hak orang perseorangan? Kita mencabar kepada parti UMNO negeri Sabah untuk turut menyokong suara rakyat untuk menghapuskan dasar penggiliran Ketua Menteri Sabah. Kita mahu Ketua Menteri yang dipilih oleh rakyat. Yang penting ialah proses pemilihan tersebut berdasarkan suara rakyat melalui pilihanraya dan parti yang mendapat undi terbanyak berhak menerima mandat untuk memerintah dan melantik Ketua Menteri.

Masalah Yang Dihadapi Oleh Kakitangan Perkhidmatan Awam

67. Tuduhan oleh Kerajaan Negeri bahawa Pegawai-Pegawai Daerah telah mensabotaj pelaksanaan projek-projek Kerajaan sangat tidak bertanggungjawab. Saya percaya bahawa seperti juga semua rakyat, kebanyakan pegawai-pegawai kerajaan ingin melihat negeri ini maju. Kemajuan hanya boleh dicapai jika pemimpin-pemimpin Kerajaan mempunyai daya usaha untuk mencari sumber kewangan dan berkewibawaan mengamalkan slogan kepimpinan melalui teladan. Masalahnya ini tidak wujud dalam pentadbiran Barisan National sekarang.

68. Kenaikan pangkat dalam Perkhidmatan Awam juga tidak lagi dilakukan menurut kekekananan atau kecekapan pegawai tetapi berasaskan siapa yang mempunyai hubungan erat dengan pemimpin-pemimpin BN. Hubungan renggang di kalangan kakitangan awam dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional, jika berterusan, akan menambah kemerosotan hasil negeri. Moral dan semangat kakitangan awam dalam menjalankan tugas harian mereka juga akan terus terjejas. Keadaan Perkhidmatan Awam seperti ini merugikan Kerajaan dan juga rakyat negeri ini. Pastinya ini akan memburukkan lagi prestasi perlaksanaan Rancangan Malaysaia Ke-Lepan di Sabah oleh Kerajaan Negeri kelak.

Rancangan Malaysia Ke-Lapan

69. Belanjawan Negeri tahun 2001 yang dikatakan memberi nafas baru untuk memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi negeri menghampakan. Ianya jelas membuktikan kelemahan dan kegagalan pentadbiran Barisan Nasional melaksanakan pembanguan di Sabah. Kerajaan hanya mampu membelanjakan 56.87% daripada RM3, 242.59 juta untuk melaksanakan keseluruhan Rancangan Malaysia Ketujuh. Keadaan ini amat merugikan negeri Sabah dan tidak patut berlaku.

70. Kita semua masih ingat bahawa semasa Rancangan Malaysia Ke-Enam, banyak cadangan pembinaan bangunan-bangunan sekolah di Sabah tidak dilaksanakan. Saya percaya keadaan yang sama telah berlaku semasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-Tujuh ini. Ini malang kerana kalau tiada bangunan sekolah, bagaimanakah pemimpin-pemimpin Barisan National mengharapkan kanak-kanak kita boleh mendapat pendidikan dan mendapat ilmu pengetahuan untuk membolehkan mereka menghadapi berbagai cabaran dan persaingan dalam era k-ekonomi sekarang.

71. Kalau ada peruntukan kewangan untuk pembangunan, tiada sebab mengapa Kerajaan Negeri tidak boleh melaksanakan semua projek yang patut dan yang telah dirancangkan terlebeh dahulu. Peratusan kampung-kampung di kawasan luar bandar di Sabah yang mendapat bekalan letrik masih rendah berbanding dengan keadaan di Semenanjong di mana 99% kawasan luar bandar menikmati bekalan letrik. Dengan tiada bekalan letrik, kanak-kanak di luar bandar di Sabah akan terus ketinggalan dalam pengetahuan teknologi maklumat serta perkomputeran dan apa lagi mengenai penggunaan internet sebagai cara berkomunikasi.

72. Perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke-Lapan akan bermula awal tahun 2001. Saya harap pencapaian negeri kita dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-8 kelak adalah lebih baik. Tetapi memandangkan Kerajaan Negeri terpaksa mencari pinjaman untuk membiayai pembangunan negeri, kemungkinan besar pencapaian perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke-Lapan di Sabah akan lebih teruk daripada yang lalu. Dalam keadaan kita sekarang di mana kita tidak dapat mengatur dan melaksanakan program pembangunan maka adalah harapan kita agar Kerajaan Negeri akan bersungguh-sungguh tetapi berhati-hati melaksanakan Rancangan Malasysia Ke- Lapan itu kelak.

Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar

73. Pentadbiran BN bukan sahaja telah menjejaskan agensi-agensi awam, tetapi dasar pembangunan negeri juga tidak mengambil kira kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Pembangunan di Teluk Likas, misalnya dilaksanakan bertentangan dengan pandangan rakyat yang tidak bersetuju dengan cadangan pihak Kerajaan itu. kecantikan asli Teluk Likas patut dikekalkan untuk memenuhi keperluan prasarana orang ramai membawa keluarga mereka berkelah dan tempat para nelayan menangkap ikan.

74. Pihak Kerajaan patut mendengar rayuan semua rakyat di Sabah yang prihatin tentang pemeliharaan alam sekitar dan mahu cadangan pembangunan Teluk Likas dibatalkan. Saya khuatir pembangunan Teluk Likas jika diteruskan, bukan sahaja menjejas alam sekitar tetapi akan menyebabkan keadaan banjir kilat yang kerap berlaku di sekitar kawasan Likas akan bertambah buruk.

75. Saya juga ingin menyentuh tentang cara BN menjalankan kegiatan pembalakan di Sabah yang sangat ketera hanya mementingkan keperluan jangka pendek memuaskan hawa nafsu pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Contohnya pembalakan di Kalabakan yang dijalankan tanpa mengambil kira keperluan pengawalan alam sekitar hingga telah diarah pula oleh Kerajaan Persekutuan dihentikan. Perkembangan ini tidak baik kerana ianya bukan sahaja mencerminkan Kerajaan Negeri tidak mementingkan alam sekitar akan tetapi boleh menimbulkan berbagai implikasi yang tidak sihat terhadap pembangunan industri pelancongan kita. Sesungguhnya kecantikan alam sekitar negeri Sabah bukan sahaja penting dikekalkan dan dimanfaatkan untuk pembangunan industri pelancongan tetapi demi mempastikan tedahan air di seluruh negeri tidak terjejas. Ke arah ini, Kerajaan juga patut dan haruslah bersungguh-sungguh membasmikan kegiatan pembalakan haram yang sudah diketahui umum sedang berleluasa di Sabah. Perbuatan ini bukan sahaja menjejas alam sekitar tetapi merugikan dan menyumbang kearah kekurangan hasil pendapatan negeri. Ini kerana mereka yang membalak secara haram tidak membayar royalti kepada Kerajaan.

Peranan Pemuda dan Wanita

76. Untuk meneruskan perjuangan kita ini, sudah tentulah Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita memainkan peranan penting. Ini kerana seperti yang pemimpin-pemimpin PBS sentiasa tekankan, perjuangan PBS adalah untuk menjamin hak-hak negeri Sabah demi kepentingan generasi muda. Justeru itu, saya amat menghargai dan mengharapkan Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita akan terus bersungguh-sungguh berusaha untuk menjelaskan perjuangan PBS kepada belia dan beliawanis kita kerana mereka adalah pemegang obor dan pewaris kepada perjuangan suci murni Parti Bersatu Sabah.

77. Demikian juga Pergerakan Wanita PBS terus memainkan peranan penting untuk memberi penjelasan kepada kaum wanita tentang perjuangan kita. Kita semua sedar bahawa sebahagian besar daripada para pengundi kita terdiri daripada kaum Wanita. Oleh itu, untuk memastikan kemenangan kita dalam Pilihanraya akan datang, penyertaan kaum wanita dalam PBS amat penting. Oleh itu Pergerakan Wanita penting mempergiatkan usaha dari meneruskan satu strategi khas untuk membawa lebih banyak lagi kaum Wanita menyertai Parti kita.

Panggilan Untuk Terus Berjuang

78. Dalam ucapan dasar saya pada kali ini, saya telah sengaja menyentuh begitu banyak perkara dengan secara luas dan terperinci. Tujuan semuanya ini ialah memperingatkan kita bahawa dunia di sekeliling kita sudah berubah yang begitu pantas sekali. Saya juga mendedahkan kepada kita semua bahawa banyak hal-hal sekeliling kita yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Barisan Nasional yang kita tidak boleh terima kerana salah, memboros, mengeliru, membohong, mengancam, dan merosakkan masa depan rakyat negeri Sabah.

79. Dalam konteks inilah pentingnya supaya kita semua mengerti, memegang dan meneruskan perjuangan parti kita. Perjuangan kita adalah ikhlas dan suci murni dan ia adalah senjata utama kita untuk menghadapi dan mengatasi segala cabaran dan rintangan yang kita hadapi sebagai rakyat negeri Sabah di alaf baru ini. Kitalah harapan bangsa, anak dan cucu-cicit kita untuk mempastikan supaya masa depan negeri Sabah lebih selamat dan terjamin bagi kita semua.

80. Akhir sekali saya ingin mengambil peluang ini untuk menyedarkan generasi muda kita agar memahami hakikat bahawa Sabah telah menuntut hak-hak dan keistimewaannya sendiri apabila kita menyertai pembentukan Malaysia dahulu. Inilah perjuangan PBS selama ini. Generasi muda, terutama golongan professional dan mereka yang benar-benar komited wajar bertindak proaktif dan menyertai perjuangan murni PBS kerana masa dapan negeri ini terletak di tangan generasi muda. Sememangnya, golongan muda akan mewarisi negeri dan negara kita yang tercinta ini. Maka bangkitlah dan perjuangkanlah masa depan mu kerana negeri Sabah perlu dilindungi dan dipulihkan daripada segala ancaman yang memburukkan keadaan dan menggugat potensi, maruah dan keselamatannya dan juga masa depan negeri ini. Ingatlah, Perjuangan kita Belum Selesai lagi.

Bersatu Membela Negeri Sabah di Alaf Baru.

Selamat Bersidang

 


 
 

 

 

 

Copyright © Sabah United Party (Parti Bersatu Sabah), Malaysia. All rights reserved.
First published: 22-SEP-1997   Updated: 07-MAY-2003 Email: webmaster