Home
The President
 
 
 
 
President's policy Speech
PBS 21st Congress on 20 September 2006

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan syukur dan terima kasih kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa kerana dengan berkat dan izinNya kita dapat bersama-sama dalam satu majlis Perhimpunan Agung PBS yang kali ke-21 pada hari ini.

Seterusnya, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kita sekalian khususnya kepada ahli-ahli PBS kerana bersama meraikan ulang tahun yang ke-21 dalam perjuangannya. Sesungguhnya, ini adalah satu rekod dalam politik di negeri Sabah yang boleh dibanggakan.

Sememangnya 21 tahun itu merupakan satu jangkamasa yang lama. Bukan banyak parti yang boleh mencapai usia kematangan 21 tahun. Terima kasih di atas sokongan saudara-saudari sekalian sehingga kita maju dan dapat mencatatkan rekod ini. Jika direnung, rasanya PBS baru ditubuhkan kelmarin. Bagaimanapun, apabila diteliti kita akan sedar bahawa masa itu agak lama dan di sepanjang perjalanan tersebut, kita telah melalui pelbagai ranjau dan duri dan pengalaman pahit manis. Sebagai ilustrasi, seorang bayi yang dilahirkan pada bulan Mac 1985, kini sudah boleh mendaftar sebagai pengundi. Inilah sejarah kewujudan kita. Walaupun begitu, kita juga sedar dengan banyak cabaran yang akan kita tempuhi di hadapan kita.

Usia 21 Tahun Petanda Kematangan

Oleh itu adalah amat wajar bagi kita untuk menggunakan Kongres ke -21 ini sebagai satu peluang untuk;

  • Merenung semula apa yang telah kita lalui dan capai selama ini;
  • Menilai semula kedudukan kita, terutamanya dari segi pandangan para penyokong dan rakyat keseluruhan; dan
  • Merancang masa depan serta mengambil tindakan-tindakan yang perlu.

Dengan perkataan lain, inilah masa yang tepat bagi kita untuk merenung sejarah perjuangan kita dari mula, kedudukan kita sekarang dan halatuju kita di masa hadapan.

Seperti yang kita tahu, PBS telah ditubuhkan pada Mac 1985 ketika amalan demokrasi di Sabah sedang ditekan. Seperti pengalaman semasa melahirkan, kelahiran PBS juga merupakan sesuatu yang genting dan perit terutamanya bagi mereka yang terlibat dalam penubuhannya. Bagaimanapun, dengan berkat Tuhan Yang Maha Kuasa, PBS telah bertahan dan bertambah teguh dengan sokongan semua rakyat yang rindukan amalan demokrasi, keadilan dan kesaksamaan.

Semua ini dapat dicapai kerana kejujuran dan intipati perjuangan kita untuk melindungi dan mempertahankan demokrasi di Sabah di mana semua warganegara dapat memperolehi kebebasan, keadilan dan kesaksamaan.

Dalam tempoh hampir 10 tahun kita dalam kerajaan iaitu dari 1985-1994, kita berbangga kerana kita telah membuat sedaya yang boleh untuk berpegang teguh kepada idea perjuangan untuk memelihara martabat, kebebasan, keadilan, kesaksamaan dan perpaduan. Kita berkeyakinan bahawa kita telah menentukan satu standard dalam semua perkara ini. Kita juga sangat berbangga kerana kita telah dapat membawakan pembangunan di kawasan-kawasan luar bandar di Sabah pada ketika itu. Rekod perkhidmatan kita ini boleh dilihat dengan jelas oleh semua. Sesungguhnya, PBS amat berbangga dengan sejarah pembangunan dan pencapaian-pencapaiannya.

Namun begitu, kita tidak boleh bergembira semata-mata mengenangkan masa yang lepas. Pada masa ini, kita sedang berhadapan dengan perkara-perkara semasa yang harus kita renung dan tangani sebagai sebuah parti politik dalam kerajaan.

Cabaran-Cabaran Yang Berterusan

Saya percaya cabaran yang paling utama bagi kita pada hari ini ialah bagaimana untuk kekal relevan kepada para penyokong, negeri Sabah dan negara Malaysia. Seperti yang kalian ketahui, PBS pada masa ini merupakan sebahagian daripada parti komponen dalam Kerajaan Barisan Nasional. Kita mesti boleh memainkan peranan dalam membawa pembangunan kepada negeri dan negara kita, serta dalam masa yang sama memperjuangkan apa-apa isu yang kita percaya sebagai benar dan perlu dipertahankan.

Kita perlu ingat bahawa harapan dari rakyat untuk kita menangani isu-isu ini sangatlah tinggi. Kegagalan kita untuk mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya boleh mengakibatkan kita kehilangan sokongan daripada rakyat. Justeru itu, saya ingin menasihati semua wakil-wakil rakyat kita yang dipilih dan juga semua saudara-saudari sekalian supaya sentiasa berpijak di bumi nyata dan peka serta prihatin dengan permasalahan rakyat.

Saya ingin menyatakan di sini, selaku Presiden Parti Bersatu Sabah bahawa kita akan meneruskan perjuangan kita untuk membela masa depan rakyat Sabah dalam konteks Kerajaan Barisan Nasional. Selaku anggota dalam pentadbiran Kerajaan BN dan rakan kongsi dalam pentadbiran negeri ini, PBS akan terus memainkan peranan dan mengambil bahagian di dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penyelesaian isu-isu yang dekat di hati kita.

Dalam ucapan saya seterusnya kali ini, saya ingin menyentuh beberapa isu yang bukannya baru bagi kita mahupun pentadbiran di negeri ini. Selama 20 tahun kita berkumpul dalam perhimpunan agung sebelum ini, perkara-perkara ini adalah antara yang kita sering perbahaskan. Namun saya percaya semangat setiakawan dalam BN akan terus memberikan ruang bagi perkara-perkara yang masih perlu diberikan perhatian serius dan khusus.

Pada kesempatan ini, saya ingin menyentuh satu perkara yang berkaitrapat dengan pentadbiran kerajaan dengan secara langsung. Kita membawakan hal ini ke hadapan bukan kerana kita ada sebab-sebab tertentu untuk memperkatakannya tetapi lebih kepada mengingatkan kita semua bahawa terdapat banyak cabaran-cabaran getir yang dihadapi dalam memastikan satu pentadbiran yang cekap dan berkesan serta membawa manfaat kepada rakyat. Perkara yang saya ingin sentuh di sini ialah gejala penyalahgunaan kuasa yang telah dibangkitkan oleh YAB Perdana Menteri sendiri kerana keinginannya supaya Malaysia mencapai tahap pentadbiran yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Salahguna Kuasa Dalam Masyarakat

Secara amnya, rasuah politik merupakan satu perbuatan menyalahgunakan kuasa awam atau mandat rakyat untuk mendapatkan sesuatu secara haram, secara sulit, dan untuk memenuhi nafsu peribadi.

Semua bentuk kerajaan adalah terdedah kepada gejala rasuah politik. Bentuk-bentuk rasuah politik ini termasuklah “penaungan politik” (political patronage), makan suap, ugutan, percubaan mempengaruhi keputusan secara tidak sah, penyalahgunaan wang atau sumber sesuatu jabatan/organisasi awam, kronisme dan nepotisme. Dalam banyak keadaan, rasuah politik ini boleh dilihat berlaku dalam urusan kakitangan kerajaan/parti pemerintah berhubung dengan orang awam.

Apakah kesan rasuah ini kepada suasana politik, pentadbiran dan institusi-institusi dalam sesebuah negara tersebut? Rasuah ini sesungguhnya mendatangkan cabaran. Ia boleh mencemarkan amalan demokrasi dan “good governance” kerana perbuatan ini cuba memintas prosedur-prosedur dan peraturan-peraturan biasa. Amalan rasuah di kalangan ahli-ahli perundangan akan menjejaskan proses akauntabiliti dan menjejaskan proses penggubalan dasar. Amalan rasuah di kalangan kakitangan pentadbiran awam pula akan membawa kepada proses pengagihan sumber kewangan dan perkhidmatan yang tidak sama rata.

Secara amnya, amalan rasuah akan menjejaskan keupayaan institusi kerajaan kerana prosedur-prosedur ataupun peraturan-peraturan tidak diendahkan, sumber-sumber kewangan disalahgunakan, dan kerana kuasa-kuasa yang diamanatkan kepada jabatan/kerajaan atau individu-individu berkenaan dikompromikan atau disalahgunakan. Dalam keadaan ini, rasuah boleh menjejaskan legitimasi ataupun “keunggulan” kerajaan kerana nilai-nilai demokrasi seperti amanah dan toleransi diabaikan.

Amalan rasuah ini juga boleh menjejaskan perkembangan ekonomi sesebuah negara kerana ia membawa bersamanya amalan-amalan negatif seperti penyelewengan, pemalsuan maklumat dan juga ketidakcekapan. Dari perspektif pihak swasta, amalan pemberian rasuah ini boleh meningkatkan kos pengurusan sesuatu perniagaan itu kerana mereka terpaksa membayar lebih, termasuk memberi suapan kepada kakitangan awam dan dalam usaha mereka untuk menyembunyikan amalan-amalan negatif tersebut daripada diketahui umum. Rasuah juga boleh membawa kepada keburukan-keburukan lain seperti kelewatan dalam proses membuat kerja dan kewujudan peraturan-peraturan yang aneh. Ia juga boleh mewujudkan suasana yang tidak adil kepada semua pihak, iaitu yang berkuasa dan berwang akan lebih dilayan dan yang miskin dan susah dikebelakangkan.

Rasuah ini juga boleh menyebabkan wang awam diselewengkan. Bukan pula dibelanjakan kepada pembinaan infrastruktur yang sebenar tetapi ada lagi perbelanjaan untuk membayar suapan. Rasuah juga boleh menyebabkan pihak-pihak tertentu dapat mengelakkan diri daripada mematuhi undang-undang ataupun peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, seperti yang telah ditentukan dalam sektor pembinaan ataupun sektor-sektor yang lain.

Inilah sebabnya kenapa beberapa negara di Afrika dan juga termasuk di Asia sendiri masih mengalami perkembangan ekonomi yang lembap, pentadbiran yang tidak cekap dan berkesan serta keadaan politik yang tidak stabil.

Kita menyentuh soal rasuah ini secara panjang lebar bukan kerana kita menganggap bahawa amalan rasuah berleluasa di Malaysia. Tetapi kita menimbulkan soal ini kerana ianya sebahagian daripada perjuangan PBS untuk mewujudkan sebuah negeri yang stabil, aman damai, adil dan saksama, prihatin, penyayang, cekap dan berkesan serta tidak membazir.

Pembasmian Kemiskinan Di Sabah

“Kemiskinan” adalah satu keadaan ekonomi di mana seseorang individu atau satu kumpulan masyarakat itu kekurangan dari segi kewangan dan keperluan-keperluan asas untuk mendapatkan makanan yang seimbang, air yang bersih, pendidikan untuk maju, dan rumah yang selesa untuk didiami. Kemiskinan juga dikaitkan dengan permasalahan seperti “jaminan pendapatan”, “kestabilan ekonomi” dan juga keupayaan untuk terus memperolehi keperluan-keperluan asas. Masalah kemiskinan ini memang boleh membawa kepada pelbagai masalah.

Peranan PBS dalam hal ini termasuklah membantu mengenal pasti punca-punca kemiskinan dan turut mencari jalan bagaimana mengatasi masalah ini. Pada dasarnya, kemiskinan ini disebabkan oleh kekurangan, kerosakan ataupun ketiadaan infrastruktur asas. Ia juga boleh disebabkan oleh faktor geografi di mana sesuatu komuniti itu mungkin tinggal terlalu jauh di pelosok kampung dan terasing pula dengan kelompok-kelompok yang lebih ramai. Ada juga kemungkinan disebabkan oleh amalan-amalan atau ikatan kebudayaan yang negatif.

Mungkin ada juga yang miskin kerana tiada seorang pun anggota dalam keluarga berkenaan yang mempunyai pendidikan atau kemahiran yang sesuai, dan oleh itu sukar mendapat pekerjaan. Mungkin juga kemiskinan dihadapi kerana beberapa anggota keluarga mengalami penyakit-penyakit tertentu sehingga mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada aktiviti-aktiviti mencari nafkah.

PBS sedar akan masalah-masalah ini. PBS tahu bahawa definisi Bank Dunia yang mengatakan bahawa seseorang itu miskin jika ianya memperolehi kurang daripada USD 1 ataupun RM4.00 sehari itu masih boleh didapati di kalangan beberapa keluarga di luar bandar Sabah. PBS juga sedar bahawa negeri Sabah adalah kaya dengan sumber asli. Negeri Sabah mempunyai saiz tanah yang luas; gunung yang tertinggi di Asia Tenggara, sungai yang panjang, besar dan bersih, hutan hujan tropika yang luas, ada sumber galian dan minyak, sumber flora dan fauna yang pelbagai, budaya semua etnik Sabah yang kaya dan indah, pantai cantik yang panjang pulau-pulau yang indah dan strategik, udara yang segar dan sebagainya.

Oleh itu, PBS amat percaya bahawa masalah kemiskinan rakyat ini boleh diatasi. Apa yang diperlukan ialah strategi pembangunan yang tepat dan peruntukan pembangunan yang mencukupi serta kerjasama masyarakat luar bandar untuk berubah sikap ke arah membantu diri sendiri, berdikari dan bekerja keras.

Pembangunan ekonomi Sabah ini sangat penting. Kebajikan dan pembangunan rakyat selaras dengan tuntutan dunia masa kini harus dipelihara. Oleh itu kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri harus bekerjasama menggembleng tenaga dan sumber untuk memastikan rakyat di negeri Sabah tidak terbiar miskin dan ketinggalan dalam arus pembangunan.

Misi Nasional Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9)

Pada Kongres ini, saya ingin menyingkap kembali tentang RMK9 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 31 Mac 2006 dan seterusnya telah diluluskan untuk dilaksanakan. Saya percaya kamu sekalian masih ingat dengan intipati-intipati utama serta telah membaca ulasan-ulasan orang awam selepas itu.

RMK9 ini adalah rancangan lima tahun untuk tempoh antara 2006-2010. Ini adalah salah satu daripada tiga rancangan lima tahun yang akan memacu Misi Nasional ke arah mencapai Wawasan 2020. Rancangan ini merupakan kesinambungan perancangan Kerajaan Malaysia untuk membentuk sebuah negara yang maju dari segi ekonomi, keseimbangan pembangunan sosialnya, memiliki warganegara yang bersatupadu, berbudaya, berpekerti mulia, berfikiran maju dan berpandangan jauh. Seperti yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri, ini pada akhirnya bertujuan “membina tamadun dan menjulang martabat negara Malaysia”.

Apa yang menarik dalam RMK9 ini ialah lima (5) teras utama yang menggariskan program-program pembangunan yang holistik, dan mampu merubah taraf hidup masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kawasan atau fahaman politik. Lima (5) teras itu ialah:

  • Meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara;
  • Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk “minda kelas pertama”.
  • Menangani masalah ketidaksaksamaan sosio-ekonomi secara progresif dan produktif.
  • Meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup.
  • Mengukuhkan keupayaan institusi dan keupayaan perlaksanaan negara.

Sememangnya RMK9 ini membuka ruang untuk kita mengenalpasti apa yang telah kita capai, mengenalpasti kelemahan dan seterusnya meletakkan kita ke atas landasan perjalanan ke arah mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

Jadi apakah ertinya RMK9 kepada kita di Sabah? Sabah, walaupun agak terpencil di kepulauan Borneo, tetapi ini tidak bermaksud kita terasing dan terkecuali daripada perkembangan proses globalisasi dunia yang secara amnya mengamalkan sistem kapitalisme dan perdagangan bebas. Dunia luar sedang berkembang. Negara-negara lain seperti India dan China sedang berkembang pesat. Jadi, Malaysia dan termasuk Sabah juga secara tidak langsung dipengaruhi oleh proses globalisasi dunia. Perkembangan makro dalam aspek politik, ekonomi, sosio-budaya dan teknologi dunia sentiasa mempengaruhi setiap kegiatan kita seharian.

Dalam aspek meningkatkan nilai tambah dalam bidang pembuatan, perkhidmatan dan pertanian, memang banyak yang kita boleh lakukan di Sabah. Negeri kita adalah berasaskan tani, dan RMK9 ini memberi kita peluang dan galakan untuk melihat potensi pertanian ini untuk dikomersilkan, bukan sahaja untuk kegunaan tempatan tetapi juga untuk dieksport. Masih banyak yang kita boleh buat untuk meningkatkan nilai tambah untuk kelapa sawit, getah, halia, buah-buahan, tumbuhan herba, kayu-kayan, rumpai dan ikan di laut. Kita perlu menambahkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah kerana ini boleh membantu menjana kegiatan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

RMK9 ini juga telah memberi kita satu lagi inspirasi, iaitu menggalakkan kita meneliti potensi ICT dan bio-teknologi. Ini memang istilah-istilah sains yang tidak kita kenali dulu tetapi kini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Kita tidak mahu Sabah ketinggalan dalam ICT dan menjadi mangsa “digital divide”, iaitu kita terbelakang dari segi pengetahuan ICT. Kita juga mahu mencari jalan bagaimana potensi flora dan fauna kita dapat dimajukan melalui peningkatan penyelidikan bio-teknologi.

Dalam teras kedua RMK9, Kerajaan mahukan semua rakyat untuk meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan. Kita mahu supaya rakyat, khususnya yang tinggal di luar bandar supaya dapat akses kepada pendidikan dan mendapat latihan-latihan yang berkualiti. Kita bersyukur kerana dalam RMK9 ini soal pendidikan di Sabah mendapat perhatian yang serius. Bagaimana pun, kemudahan itu hanya akan sia-sia jika kita sendiri tidak memanfaatkan dan menggunakan kemudahan-kemudahan ini dengan sepenuhnya. Statistik menunjukkan bahawa di Sabah, kadar celik huruf masih lagi belum mencapai 100% berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Sebagai pemimpin-pemimpin masyarakat, pergunakanlah peluang RMK9 ini untuk memastikan tiada lagi yang buta huruf di Sabah pada 2010.

Menyentuh tentang pendidikan, Sabah memang kekurangan dalam serba-serbi. Pengangguran di kalangan belia juga masih kelihatan di luar-luar bandar terutama kepada mereka yang tercicir dalam pelajaran di sekolah rendah atau pun sekolah menengah kerana pelbagai sebab. Akibat daripada pembangunan ekonomi di desa yang agak lembap, maka berlakulah penghijrahan tenaga-tenaga muda kita untuk pergi bekerja di kilang-kilang di Semenanjung Malaysia atau pun menjadi buruh-buruh kasar di Singapura.

Walaupun kita tidak menghalang migrasi pekerja ini tetapi ini merupakan satu kerugian kepada kawasan-kawasan luar bandar itu kerana tenaga-tenaga muda mereka sudah berhijrah ke tempat lain. Kita harap dalam perlaksanaan RMK9 ini belia-belia kita, khususnya yang berasal dari luar bandar dan Bumiputera Minoriti diberi peluang yang luas untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), institut-institut latihan kemahiran dan diberi biasiswa dan bantuan kewangan untuk mendapat latihan baik di dalam mahupun di luar negeri.

Sambil kita melihat aspek ekonomi RMK9, kita juga tidak harus lupa dengan aspek pembangunan sosio-budaya. Kita berterimakasih kepada Kerajaan Malaysia kerana dalam RMK9 ini perhatian juga diberikan untuk memelihara warisan seni dan budaya serta nilai-nilai murni yang dimiliki oleh pelbagai sukukaum di Malaysia. Kita percaya bahawa melalui pemeliharaan budaya dan nilai-nilai murni ini, kita akan dapat memupuk masyarakat yang berbudaya, bertoleransi dan memiliki kekuatan moral untuk melawan pengaruh-pengaruh jahat. Justeru itu kita berharap semua jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan yang berkenaan bersama-sama datang membantu kita dalam memelihara warisan budaya dan nilai-nilai murni yang dimiliki oleh rakyat Sabah.Pemuliharaan warisan budaya yang telah diperturunkan dari nenek-moyang kita perlu dihargai.

Pembangunan Luar Bandar

Satu lagi yang ditekankan dalam RMK9 ialah pembangunan luar bandar. Kerajaan Persekutuan telah mengiktiraf bahawa Sabah dan Sarawak harus diberi perhatian dalam soal pembangunan luar bandar. Ini tidak menghairankan kerana kebanyakan tempat di Sabah masih lagi bersifat luar bandar. Pusat-pusat pentadbiran dan kegiatan ekonomi kita belum lagi boleh digelar bandar-bandar besar. Walaupun telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1963, dan telah melalui beberapa Rancangan Malaysia, penduduk-penduduk luar bandar kita masih lagi kelihatan ketinggalan dalam banyak aspek.

Kita masih mengharapkan agar kita mendapat sistem jalan raya yang baik, bekalan elektrik yang mencukupi dan bekalan minuman air bersih. Kita juga masih memerlukan insentif atau program-program untuk memajukan industri-industri ekonomi di kawasan desa. Walaupun Sabah kaya dengan sumber asli seperti tanah yang subur, tumbuh-tumbuhan yang banyak, alam sekitar yang bersih dan indah, kita masih belum dapat mengekploitasikan sepenuhnya sehingga kesemua sumber ini boleh memberi keuntungan dan faedah kepada penduduk desa. Apa yang kita mahu ialah supaya tiada lagi jurang perbezaan pendapatan di antara kawasan-kawasan bandar dan desa. Kita harap sasaran kerajaan untuk meminimakan kadar kemiskinan tegar di Sabah akan tercapai dalam RMK9 ini.

Perkara Ketidakseimbangan Antara Wilayah

Satu lagi cabaran dalam RMK9 ini ialah bagaimana merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah yang masih ketara. Kita bersyukur kerana YAB Perdana Menteri begitu prihatin dengan kadar pertumbuhan ekonomi di Sabah dan Sarawak sehinggakan pada RMK9 ini kita bakal diperuntukkan sejumlah dana yang agak besar iaitu kira-kira RM17 bilion bagi negeri Sabah. Bagaimanapun, kawasan Sabah dan Sarawak ini sangatlah luas, dan peruntukan-peruntukan yang diberi itu pun masih boleh dianggap kecil.

Seperti yang kita semua tahu, Sabah adalah rakan yang aktif dalam merealisasikan gagasan pembentukan Malaysia di awal tahun 1960an kerana pemimpin-pemimpin kita pada masa itu mengharapkan pembangunan di Sabah dan Sarawak nanti akan setanding dengan pembangunan yang ada di Semenanjung Malaysia. Cabaran bagi kita ialah apakah harapan ini boleh direalisasikan secepat mungkin? Kita mohon agar Kerajaan Pusat memberi agihan peruntukan yang lebih banyak untuk membolehkan rakyat Sabah turut sama mengambil bahagian dalam semua kegiatan ekonomi membina negara kita, Malaysia.

Kita juga mahu supaya lebih ramai anak tempatan kita diserapkan masuk dan seterusnya dilatih agar memegang jawatan-jawatan utama dalam Jabatan-Jabatan Persekutuan. Kita juga mahu harga barangan di Sabah dan Sarawak ini dapat dikawal agar ianya tidak begitu jauh berbeza daripada harga barangan di Semenanjung Malaysia kerana ia akan membebankan rakyat dan meningkatkan jurang ketidakseimbangan. Kita juga mahu supaya Kerajaan Pusat melalui kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang berkenaan memperbaiki iklim pelaburan di Sabah supaya lebih ramai pelabur-pelabur luar dapat datang membantu memajukan ekonomi Negeri.

Kita memang sedar bahawa Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sabah telah membuat banyak usaha ke arah memajukan negeri ini dari segi ekonomi, menyediakan kemudahan-kemudahan sosial, dan memperkasakan pemikiran rakyat agar lebih aktif dalam kegiatan sosioekonomi harian. Sungguh pun begitu, masih banyak perkara yang perlu dibuat. Apa yang kita rancang dalam halatuju Sabah itu memang sejajar dengan program-program dalam RMK9. Dengan sumber asli yang kita ada, Sabah sebenarnya mempunyai potensi yang tinggi ibarat intan berlian yang belum digilap. RMK9 memberi kita ruang untuk menggilap intan-intan berkenaan.

Isu Penambahbaikan Sistem Penyampaian

Saya berpendapat, cabaran RMK9 yang utama ialah “delivery system”, iaitu bagaimanakah kecekapan dan keberkesanan jentera pentadbiran awam melaksanakan program-program pembangunan yang dirancangkan itu dengan telus, cekap dan berkesan. Kita tidak mahu, ada banyak peruntukan tetapi tidak dilaksanakan mengikut sasaran dan masa yang ditetapkan. Kita juga tidak mahu ada rancangan-rancangan pembangunan yang tergendala. Kita memang sedar bahawa perkhidmatan awam kita sama ada di jabatan-jabatan Persekutuan mahupun pentadbiran negeri memang berusaha gigih untuk memperbaiki “delivery system”. Tetapi saya percaya masih banyak yang perlu diperbaiki.

Satu lagi cabaran ialah bagaimanakah kita, sama ada secara individu, keluarga, kampung, daerah atau pun sebuah parti politik dapat memahami intipati RMK9 ini dan seterusnya mengambil usaha-usaha proaktif untuk menyahut aspirasi kerajaan tersebut. Ini penting kerana peruntukan kewangan yang berbillion-billion serta program yang indah-indah tidak akan bermakna jika rakyat tidak dapat menyertai sepenuhnya dalam semua aspek perlaksanaan program-program tersebut.

Justeru itu, kita semua, pemimpin-pemimpin seperti Wakil-Wakil Rakyat, Menteri-Menteri, Pembantu-Pembantu Menteri, Setiausaha-Setiausaha Politik, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah government-linked companies (GLC), serta Ketua-Ketua Komuniti haruslah meletakkan kepentingan rakyat secara keseluruhan sebagai satu keutamaan. Kita mesti wujudkan program-program yang boleh membawa “common good” kepada semua. Kita mesti bersatu hati dan bekerjasama dalam membawa kemajuan di tempat kita masing-masing. Jika kita membantu jiran kita meningkatkan taraf-hidup mereka, esok mereka juga boleh membantu kita dalam apa juga keperluan.

Usaha Memperkasakan Peniaga Bumiputera

Sebagai sebuah parti berbilang kaum, kita sentiasa berusaha untuk memperjuangkan kepentingan dan hak setiap kaum di negara ini bukan sahaja yang menjadi anggota parti tetapi juga semua warganegara Malaysia. Peranan kita sebagai sebuah parti berbilang kaum telah kita jalankan dengan begitu baik dan berkesan sekali. Ini terbukti apabila parti kita terus mendapat sokongan yang padu dari pelbagai golongan masyarakat dan kaum. Namun demikian kita amat menyedari kewujudan ketidakseimbangan dari segi pembangunan dan kemajuan di kalangan pelbagai kaum di negeri dan negara ini.

Saya sebenarnya amat tidak berpuashati dengan tahap pencapaian golongan Bumiputera dalam bidang perniagaan. Bolehlah dikatakan masih belum ada breakthrough yang ketara dalam hal ini. Sebagai sebuah parti yang prihatin kepada nasib setiap warga Malaysia, Parti Bersatu Sabah dalam perjuangannya sentiasa dan akan terus menyokong sebarang usaha yang mengarah kepada pembangunan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berjaya.

Menceburi bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah oleh itu bakal-bakal usahawan perlu disokong dan dibimbing sehingga mereka mencapai satu tahap keyakinan menerokai bidang ini dengan lebih mendalam. Usahawan-usahawan Bumiputera yang telah berjaya, perlu membuka diri mereka dan bersedia menghulurkan bantuan untuk memberi bimbingan pada bila-bila masa diperlukan. Pendekatan seperti ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru tetapi telah diamalkan oleh kaum-kaum lain yang telah mencapai tahap kejayaan yang tinggi dalam bidang perniagaan. PBS akan menyokong dengan sepenuhnya semua usaha yang dijalankan oleh kerajaan untuk memperkasakan kedudukan usahawan bumiputera dalam ekonomi negara.

Isu Pendatang Tanpa Izin

Walaupun isu pendatang tanpa izin (PTI) ini bukanlah satu isu yang baru dan telah saya sentuh banyak kali dalam ucapan-ucapan dasar saya pada kongres-kongres sebelum ini, tetapi saya merasakan amat perlu untuk menyentuh mengenai perkara ini sekali lagi. Ini penting untuk mengingatkan dan menyakinkan semua anggota parti dan warga Sabah amnya bahawa Parti Bersatu Sabah tidak pernah dan tidak akan berganjak daripada pendiriannya untuk mencapai matlamat tiada PTI di negeri Sabah.

Masalah PTI ini bukanlah suatu masalah yang hanya dihadapi oleh negeri Sabah sahaja tetapi masalah ini turut dihadapi oleh banyak negara di dunia termasuklah negara-negera maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan sebagainya. Namun keperluan untuk menyelesaikan masalah ini di negeri Sabah amatlah kritikal kerana isu PTI ini mendatangkan pelbagai implikasi negatif kepada keadaan politik dan sosial negeri Sabah. Masalah PTI semakin hari semakin membawa masalah-masalah yang kompleks, dan banyak tenaga kita yang terpakai semata-mata memikirkan soal keselamatan, masalah jenayah, pengundi hantu, MyKad palsu, IMM13 palsu dan sebagainya. PBS sendiri telah memperjuangkan penyelesaian kepada masalah berkaitan dengan PTI ini sejak penubuhannya pada tahun 1985. Kita sedar pihak-pihak lain juga menuntut hal yang sama.

Pemimpin-pemimpin kita sama ada di Dewan Undangan Negeri mahupun di Parlimen sentiasa menekankan tentang pendirian PBS mengenai isu PTI ini. Kerajaan Persekutuan mahupun anggota-anggota komponen Barisan Nasional yang lain sedar bahawa PBS sentiasa tegas dan tidak akan bertolak-ansur mengenai isu PTI. Sejak dahulu lagi, PBS sentiasa bersikap proaktif apabila menyentuh mengenai isu ini. Kita banyak mengemukakan cadangan-cadangan dan tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah PTI. Bahkan kita menawarkan diri untuk bekerjasama dengan berkongsi maklumat dengan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan agar masalah ini dapat diselesaikan. Pada masa kini kita tidak berhenti untuk terus memberi cadangan dan sokongan kepada mana-mana program yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah PTI di negeri Sabah. PBS berharap agar program-program yang pernah dilakukan sebelum ini misalnya Operasi Nyah Bersepadu I dan II diteruskan.

Walau pun kita agak kecewa sedikit kerana setelah sekian lama, isu PTI ini masih belum dapat diselesaikan tetapi kita gembira kerana langkah-langkah yang lebih meyakinkan telah diambil oleh Kerajaan Persekutuan khususnya untuk menyelesaikan isu ini. Penubuhan Jawatankuasa Kabinet baru-baru ini untuk menangani PTI yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri menunjukkan keseriusan kerajaan dalam hal ini.

Namun kita berharap agar badan-badan kerajaan berkenaan misalnya Polis dan Imigresen sentiasa mengutamakan dan mempercepatkan siasatan dan tindakan kepada kes-kes yang membabitkan PTI, selain daripada langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan. Pada masa kerajaan PBS dahulu kita juga pernah mencadangkan dengan sokongan sepenuhnya oleh Wakil-Wakil Rakyat melalui usul di Dewan Undangan Negeri Sabah pada masa itu supaya Suruhanjaya DiRaja bagi menangani isu PTI ditubuhkan. Kita masih kekal dengan pendirian agar Suruhanjaya ini ditubuhkan dan penyiasatan yang terperinci dapat dijalankan dan seterusnya langkah penyelesaian konkrit dapat dilaksanakan.

Kepada pemimpin-pemimpin parti di pelbagai peringkat saya menyeru tuan-tuan untuk turut membantu kerajaan menangani masalah PTI ini. Sebagai pemimpin-pemimpin parti di peringkat bahagian dan cawangan kita boleh membantu dengan menyalurkan maklumat-maklumat sama ada kepada parti ataupun terus kepada pihak berkuasa yang berkenaan sekiranya tuan-tuan mengesyaki kehadiran PTI di kawasan masing-masing. Selain itu kita haruslah menjauhi daripada memberi perlindungan atau membantu PTI mendapatkan dokumen-dokumen pengenalan diri secara haram. Sekiranya anda mengesyaki ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan aktiviti sedemikian, ia haruslah dilaporkan kepada pihak berkuasa dengan segera. Usaha untuk menangani masalah ini sebenarnya terletak di bahu semua warganegara Malaysia.

Halatuju Kerajaan Negeri Sabah

Kerajaan Negeri Sabah telah menetapkan halatuju pembangunan negeri ini. Satu dokumen telah dikeluarkan yang dinamakan “Halatuju Sabah”. Halatuju ini menekankan pembangunan sektor pertanian, pelancongan dan pengilangan sebagai teras untuk menjana ekonomi di negeri Sabah. Sesungguhnya, ini bukanlah baru bagi PBS. Semasa Kerajaan PBS dahulu kita juga telah memperkenalkan “Sabah Action Blueprint”, di mana kita juga telah merencanakan pembangunan sektor pertanian, pelancongan dan industrialisasi pemperosesan hiliran untuk sumber-sumber asli di Sabah.

PBS menghargai usaha kerajaan, pihak swasta dan usahawan-usahawan persendirian yang telah turut membantu memajukan sektor pertanian dan industri makanan di Sabah. Seperti yang ditekankan tadi, tanah Sabah adalah luas dan subur. Oleh itu sektor pertanian yang kita telah warisi dari turun temurun diteruskan, bukan lagi dengan menggunakan teknologi lama tetapi dengan menggunakan mekanisma baru.

Kita berbangga kerana Sabah telah terkenal di seluruh dunia sebagai sebuah negeri yang mengeluarkan banyak hasil kelapa sawit. Ini satu penghormatan besar dan harus dibalas dengan pendekatan yang sewajarnya. Bagi PBS, industri kelapa sawit ini sangat baik dan ia amat berpotensi untuk menjana ekonomi negeri Sabah, sekaligus mengeluarkan kita daripada belenggu kemiskinan. Lebih-lebih lagi bila kelapa sawit ini telah dikenalpasti sesuai untuk diproses secara hiliran kepada beberapa produk-produk makanan, farmasi, ubat-ubatan, perabot, baja, dan “bio-diesel”.

Saya menyeru agar saudara-saudari sekalian dapat merenung, mengkaji, dan mencari peluang bagaimana setiap kita dapat melibatkan diri, sekaligus mendapatkan keuntungan dari sektor kelapa sawit dan sektor-sektor lain.

Jika saudara-saudari kurang berminat dengan kelapa sawit, apa kata kalau kita berkongsi sedikit kenyataan tentang industri getah di sabah. Saya dapat melihat senyuman di kalangan beberapa perwakilan di sini yang merasa gembira kerana harga getah sangat tinggi pada masa kini. Jika dahulu, harga getah kepingan sebanyak 70 sen sekilo, kini harganya telah mencecah RM5.00 sekilo.

Kesinambungan industri getah di Sabah ini sangat penting untuk kita semua. Bekalan getah asli di seluruh dunia semakin berkurangan dan getah-getah hanya dibekalkan oleh negara-negara India, Thailand, Malaysia dan Indonesia. Para pekebun kecil juga amat memerlukan industri ini kerana ini merupakan salah satu sumber “ATM” atau “ Automatic Teller Machine”, untuk mengeluarkan wang kepada mereka bila-bila masa diperlukan. PBS akan terus menyokong usaha kerajaan memperluaskan kawasan tanaman getah di Sabah khasnya di kawasan-kawasan yang mundur dan berpendapatan rendah.

Perancangan Strategik Parti

Seperti yang ditekankan, PBS memang memerlukan satu barisan kepimpinan yang bersatu padu, berpengetahuan, berwawasan, faham dengan persekitaran politik semasa, jujur, ikhlas, berintegriti, tidak rasuah, tidak main-main, dan serius dalam membantu parti mencapai matlamat-matlamat perjuangannya. Perjuangan murni PBS menuntut agar kita semua, sebagai individu atau pun kumpulan, berusaha memajukan diri secara positif dan menyusun organisasi kita supaya lebih teguh dan kuat. Dalam hal ini PBS juga memerlukan suatu perancangan dan pengurusan strategik.

Perancangan strategik ini merupakan satu proses di mana kita sentiasa jelas dengan objektif-objektif utama parti dan merencanakan strategi-strategi untuk mencapai objektif-objektif tersebut. Kita mahu mencapai kesemua objektif ini secara menyeluruh, melihat jangka panjang dan mengambil kira persekitaran luaran yang mikro dan makro dan meninjau apakah yang akan berlaku kepada parti kita suatu masa kelak. Perancangan strategik ini cuba “mencipta” suatu keadaan di masa hadapan yang kita impikan dengan cara melihat dan cuba mengadaptasikan diri kita dengan perubahan yang berlaku di persekitaran.

Justeru itu, di dalam perjuangan kita tersebut, kita akan dapat melihat betapa perancangan strategik ini boleh membantu kita dalam mentadbirkan parti. Dalam pengurusan parti, kita ingin melihat kemajuan yang menyeluruh dalam semua bidang termasuklah perancangan kewangan, sumber tenaga manusia, latihan para pemimpin di semua peringkat, penggunaan kemudahan teknologi maklumat dan bagaimana kita dapat meyakinkan rakyat supaya menyokong perjuangan kita.

Kita mahu supaya Parti kita berkemampuan untuk mencapai objektif-objektif seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, dan berkeupayaan serta dinamik untuk berdaya-saing dalam arena poltik di negara ini.

Sesungguhnya, kita mahu supaya parti kita cekap dan berkesan. Berkesan kerana kita mempunyai keupayaan untuk merealisasikan pencapaian matlamat-matlamat parti. Dalam masa yang sama kita juga mahu supaya kita “efisyen” atau cekap dalam pengurusan kita. Maksudnya, dengan sumber-sumber kita yang sentiasa terhad, kita mampu merealisasikan pencapaian terhadap matlamat-matlamat parti dengan betul dan berkesan. Dalam hal ini, kita amat memerlukan satu jentera dan barisan pemimpin parti yang “efficient”, yang mampu melaksanakan tanggungjawab dan amanat rakyat dengan betul, telus dan berintegriti.

Dalam pentadbiran parti ini, baik di peringkat Ibu pejabat, bahagian dan cawangan, adalah amat baik jika kita dapat mengamalkan “good governance’, yakni kita serba telus dan “accountable” dalam apa juga yang dilaksanakan. Begitu juga dengan cawangan-cawangan parti seperti Ahli Majlis Tertinggi, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan wanita. Kita mahu pentadbiran yang cekap, berkesan dan telus. Ini penting kerana kita adalah politik yang diasaskan oleh rakyat dan kita sentiasa diperhatikan oleh mereka sama ada apa yang kita buat itu betul, telus, sesuai ataupun sebagainya.

Memang diakui bahawa bukan mudah untuk mencapai kesemua ini dengan keadaan yang serba kekurangan. Namun kita tidak boleh lupa dengan perjuangan kita. Oleh itu, adalah amat perlu bagi kita untuk menggalakkan penyertaan semua dalam perancangan parti dan membuat semua kegiatan kita mengikut lunas-lunas Perlembagaan dan peraturan-peraturan yang berkaitan, telus, responsif, sentiasa membina “consensus” atau permuafakatan, adil dan saksama, bertanggungjawab, cekap dan berkesan.

Apabila kita menyentuh tentang penglibatan dalam pembuatan keputusan, kita juga mahu penyertaan golongan wanita untuk sama-sama berganding bahu dengan kaum lelaki untuk sama-sama mencapai matlamat perjuangan parti. Di Malaysia kini, bilangan kaum wanita adalah hampir sama dengan lelaki. Tidak seperti di beberapa negara lain, kaum wanita di Malaysia pun sangat bertuah kerana mereka diberi ruang dalam semua bidang untuk melibatkan diri dan turut sama membangunkan tanahair kita yang tercinta ini. Sesungguhnya, inilah yang kita mahu di dalam PBS.

Pemilihan Dalam Parti 2006

Menurut Perlembagaan Parti, tahun ini adalah tahun pemilihan bagi PBS. Sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, PBS memang menggalakkan proses pembentukan barisan kepimpinan melalui proses pemilihan. Bagaimanapun dalam peluang kita untuk menawarkan diri dalam pelbagai jawatan, baik dalam Jawatankuasa Induk, Pergerakan Pemuda ataupun Wanita, ada beberapa garis panduan yang kita harus ambil perhatian.

Pertama, ialah kita harus sedar bahawa tujuan kita mengadakan pemilihan ialah untuk membolehkan para ahli dapat menawarkan diri untuk memegang tanggungjawab dan menjalankan kerja-kerja parti. Jadi kita menawarkan diri untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab, dan bukannya semata-mata untuk mendapat jawatan-jawatan tertentu sahaja.

Kedua, kita perlu sedar bahawa pertandingan itu berada dalam suasana kekeluargaan, yakni kita bertanding sesama ahli yang juga kita anggap sebagai adik-beradik. Kita ingin bertanding kerana kita ingin mengetengahkan cara kepimpinan dan komitmen kepada kerja-kerja parti yang mungkin lebih baik sedikit ataupun ada nilai tambah berbanding dengan saudara-saudara kita yang lain.

Sebenarnya apa yang kita ingin capai daripada proses pemilihan PBS ini ialah untuk mendapatkan satu barisan pemimpin yang berkaliber, berpengetahuan, berpengalaman, berjiwa rakyat, prihatin dengan kebajikan rakyat, sedar dengan kepentingan Negeri Sabah dan negara Malaysia. Saya berharap, selepas bertanding secara “friendly match” dalam keluarga, maka kita akan kekal bersatu dan bertambah maju. Seperti pepatah, yang menyatakan “Biduk berlalu kiambang bertaut”.

Penutup

Sekali lagi saya dengan bangga dan berbesar hati ingin mengucapkan tahniah kepada anda dan kita semua. Kita mampu mencapai ke tahap ini atas sokongan anda semua yang tidak pernah berganjak daripada perjuangan parti kita. Pencapaian usia 21 tahun ini adalah pencapaian kita semua. Saya menyeru kepada kita semua agar meneruskan perjuangan ini agar kita terus kukuh dalam penglibatan kita di peringkat persekutuan, negeri dan akar umbi.

Sekian. Selamat Bersidang.

Bersatu! Bersatu! Bersatu!

 

 
 

 

 

 

Copyright © Sabah United Party (Parti Bersatu Sabah), Malaysia. All rights reserved.
First published: 22-SEP-1997   Updated: 07-MAY-2003 Email: webmaster