Salam
hormat, salam sejahtera dan selamat datang ke Persidangan
Parti Bersatu Sabah yang ke-17.
2.
Terlebih dahulu, saya ucapkan syukur dan terima kasih kepada
Tuhan Yang Maha Kuasa kerana atas rahmat dan berkatnya,
Parti Bersatu Sabah (PBS) dapat mengadakan Kongres yang
ke-17 pada hari ini. Kepada para perwakilan, pemerhati
dan penyokong-penyokong PBS yang setia meneruskan perjuangan,
saya ucapkan syabas dan terima kasih. Saya juga tidak lupa
mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli
Majlis Tertingggi PBS, semua Exco Pergerakan Pemuda dan
Wanita yang begitu tabah dan sabar meneruskan perjuangan
PBS sejak tahun 1985 khusunya sejak tahun 1994 hingga ke
hari ini.
3.
Kesetiaan dan ketabahan anda semua dalam meneruskan perjuangan
PBS telah membolehkan obor PBS terus menyala, walaupun kita
telah berada dipihak pembangkang yang penuh dengan cabaran
selama lebih kurang 12 tahun. Di masa-masa mencabar itu,
tanpa dorongan dan sokongan daripada kita sekalian mungkin
perjuangan PBS telah menjadi sejarah politik sahaja di Sabah.
Syukur dan terima kasih, kerana bendera PBS terus berkibar
di setiap pelusuk Negeri Sabah hingga ke pada hari ini.
PBS
Parti Komponen BN
4. Sebelum
saya meneruskan ucapan ini, saya ingin mengucapkan syabas
dan tahniah serta terima kasih kepada semua pihak, terutama
sekali kepada pihak Jawatankuasa Penganjur Kongres ke- 17
ini atas usaha gigih dan kerjasama yang baik mereka untuk
memastikan Kongres ini dapat diadakan dengan jayanya.
5. Sesungguhnya,
Kongres PBS ke-17 ini amat penting bagi kita. Ini adalah
kerana disamping dapat memenuhi kehendak perlembagaan dan
membolehkan para perwakilan merumuskan langkah-langkah untuk
meneruskan perjuangan PBS, Kongres Ke-17 ini juga membuka
satu lagi lembaran baru dalam lipatan sejarah perjuangan
parti kita. Seperti yang kita semua sedia maklum, berikutan
dengan amanah para perwakilan dalam Kongres PBS ke-16 tahun
lalu, Majlis Tertinggi PBS dalam suatu mesyuarat khas pada
13 November telah membuat ketetapan untuk memohon menyertai
semula Barisan Nasional (BN).
6. Kita
telah mengemukakan permohonan untuk menganggotai semula
BN pada 15 November 2001. Dan pada 23 Januari 2002, PBS,
secara rasmi, telah diterima semula menjadi komponen BN
dan sekaligus menjadikan PBS sebagai sebahagian daripada
Kerajaan di peringkat Negeri dan Persekutuan.
Pilihanraya
Kecil P.150 Gaya
7. Penyertaan semula PBS dalam keluarga BN ternyata sekali
telah disambut baik oleh rakyat. Semasa Pilihanraya kecil
kawasan Parlimen P.150 Gaya, pemimpin-pemimpin PBS telah
turut bekerja keras bersama dengan pemimpin-pemimpin parti-parti
komponen BN yang lain berkempen untuk memastikan supaya
rakyat keluar membuang undi dan mengundi BN. Keputusan Pilihanraya
itu amat menggembirakan kita semua. Walaupun peratusan yang
keluar mengundi adalah rendah iaitu dalam sekitar 44% sahaja,
namun majoriti yang diperolehi calon BN hampir 12,000 undi
iaitu 11,923 undi. Ini menunjukkan sokongan berterusan rakyat
kepada BN. Keputusan Pilihanraya Kecil P. 150 Gaya itu juga
menunjukkan PBS tidak menyertai BN dengan hanya pemimpin-pemimpinnya
sahaja, seperti dakwaan sesetengah pihak, tetapi direstui
oleh ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya.
8. Berdasarkan
keputusan pilihanraya kecil P.150 Gaya itu, maka dalam Pilihanraya
yang akan datang, bagi PBS mengekalkan semua 17 kerusi DUN
yang dimenangi oleh PBS semasa Pilihanraya Umum 1999 bukanlah
impian semata-mata. Malahan, jika PBS diberi peluang bertanding
beberapa lagi kerusi tambahan berikutan dengan pindaan kepada
Artikal 15 (3) Perlembagaan Negeri Sabah baru-baru ini kepada
60 kerusi, kita yakin PBS akan memenangi tambahan kerusi
itu juga untuk dihadiahkan kepada BN kelak.
Konvensyen
BN untuk Persediaan Pilihanraya
9. Semua
pemimpin-pemimpin dan juga ahli-ahli PBS yang menghadiri
Konvensyen BN peringkat negeri pada 19 Oktober 2002 yang
lalu amat bertuah sekali. Ini kerana walaupun PBS pernah
menjadi keluarga BN dahulu, ahli-ahli PBS masih memerlukan
banyak pendedahan agar dapat memahami dengan lebih mendalam
lagi konsep dan pendekatan BN merancang dan melaksanakan
agenda pembangunan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa
banyak pengalaman yang berguna telah kita manfaatkan daripada
Konvensyen itu, di samping kita berpeluang pula untuk berkenalan
dan berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin parti-parti komponen
BN yang lain.
10. Dengan
mengambil iktibar daripada Konvesyen BN Peringkat Negeri
itu, Konvensyen BN di peringkat setiap Kawasan Parlimen
juga mungkin perlu diadakan sebagai persediaan kita untuk
menghadapi Pilihanraya Umum Negeri akan datang. Ini bukan
sahaja dapat merapatkan lagi tali persaudaraan di kalangan
semua ahli-ahli parti-parti komponen BN di Kawasan Parlimen
berkenaan akan tetapi ianya boleh menjadi pemangkin kepada
pembangunan minda para pemimpin peringkat pertengahan dan
akar umbi supaya lebih bersedia menghadapi Pilihanraya yang
akan datang. Konvensyen seperti itu juga akan menjadi forum
untuk membincang masalah pembangunan infrastruktur dan ekonomi
di peringkat akar umbi untuk kepentingan bersama di Kawasan
Parlimen berkenaan.
11. Cadangan
ini adalah juga bersesuaian dengan saranan Y.A.B. Timbalan
Perdana Menteri semasa merasmikan Konvensyen BN itu agar
apa yang diamalkan oleh pucuk kepimpinan Barisan Nasional
haruslah juga diamalkan di peringkat akar umbi. Dengan adanya
peluang berinteraksi, rakyat akan dapat mengenali antara
satu sama yang lain dengan lebih dekat lagi, bak kata orang,
“tak kenal maka tak cinta”. Di samping itu, melalui peluang
seperti ini, generasi muda kita akan terus berada di landasan
yang betul dan ini boleh membantu membangunkan negara kita
dan juga agar generasi muda kita tidak terpengaruh dengan
masalah-masalah sosial.
Masalah
Sosial
12. Tidak
dapat dinafikan yang kita masih menghadapi berbagai masalah
sosial yang membimbangkan seperti penyalahgunaan dadah diseluruh
negara. Untuk mengatasi berbagai masalah sosial di negara
ini, kegiatan-kegiatan amal dan lain-lain yang berfaedah
membantu generasi muda mengisi masa lapang mereka, seperti
kegiatan Rakan Muda dan keagamaan menurut kepercayaan masing-masing
wajar dipergiatkan.
13. Pergerakan
Pemuda PBS dan Pergerakan Wanita mesti memainkan peranan
mereka masing-masing dalam hal in dan patut berani membuat
saranan yang bernas mengenai masalah-masalah ini kepada
Pergerakan Pemuda dan Wanita BN Pusat. Saya menekankan ini
kepada Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita kerana masa
hadapan negara akan diwarisi mereka.
Sumber
Tenaga Manusia
14.
Kita juga perlu mencari jalan membantu Kerajaan untuk mengatasi
masalah pengangguran di kalangan rakyat, khususnya para
lepasan sekolah menengah dan juga universiti agar mereka
tidak terjerumus dalam perbuatan yang tidak mendatangkan
faedah kepada diri mereka sendiri.
15. Dalam
konteks ini, saya sarankan agar Kementerian Pembangunan
Sumber Tenaga Manusia memperbanyakkan lagi kursus-kursus
latihan dan bimbingan kerjaya jangka pendek dalam berbagai
bidang ekonomi dan perindustrian. Ini penting khususnya
bagi masyarakat muda dan lepasan sekolah di desa-desa yang
menghadapi tekanan ekonomi dan kesukaran untuk mencari pekerjaan.
Pelancongan
dan Cottage Industri
16. Mungkin
antara sektor yang boleh diterokai oleh generasi muda di
luar bandar ialah sektor industri pelancongan yang berasaskan
alam semulajadi dan berkonsep homestay dan bidang pertanian
yang memang berpotensi di Sabah. Demikian juga industri
kraftangan di peringkat kampung dan saya harap Pergerakan
Wanita PBS akan memainkan peranan untuk membuat rumusan
dan cadangan kepada Pergerakan Wanita Barisan Nasional untuk
mengadakan latihan kemahiran kepada kaum wanita di peringkat
kampung dalam industri ini.
17. Di
samping bidang pelancongan, industri kampung atau cottage
industri berasaskan hasil pertanian dan perikanan juga mempunyai
potensi luas untuk dimajukan di Sabah. Kita juga perlu memberi
kesedaran kepada rakyat bahawa melalui berbagai agensinya,
pihak Kerajaan sedia untuk memberi bantuan kewangan kepada
mereka yang benar-benar berminat menceburi dunia perniagaan
dan perindustrian.
Keselamatan
Negara
18. Saya
ingin pula menyentuh tentang keselamatan negara kerana kita
semua sedar bahawa apa juga kegiatan ekonomi yang kita ingin
ceburi, keselamatan dan ketenteraman awam dalam negara kita
mestilah sentiasa terjamin. Kita sangat bersyukur dan berterima
kasih kepada pihak-pihak yang berkuasa seperti Pasukan Polis,
Tentera, Imigresen dan juga Kementerian Dalam Negeri Malaysia
kerana telah memperketatkan kawalan di persempadanan negara
agar keselamatan negar kita terjamin. Kita amat kesal kerana
PBB telah mengaitkan Malaysia dengan kegiatan pengganas
sedangkan Kerajaan Malaysia adalah antara negara yang telah
bertindak awal untuk membendung kegiatan pengganas.
19. Kesungguhan
pihak Kerajaan menangani masalah pendatang asing tanpa izin
di seluruh negara kini tidak perlu lagi diragui. Kerajaan
telah menetapkan dasar sifar terhadap kehadiran pendatang
asing tanpa izin, termasuk di Sabah. Namun, masalah yang
mengancam keselamatan dan kedaulatan negara kita belum selesai.
20. Seperti
yang dipaparkan dalam surat khabar tempatan, dalam satu
operasi Ops Nyah II Bersepadu di Keningau tidak berapa lama
dahulu, ada beberapa rakyat asing mengakui telah mendapat
MyKad yang dikatakan sukar dipalsukan.
21. Pihak
yang berkuasa perlu membuat penyiasatan bagaimana MyKad
tulen itu boleh dimiliki oleh rakyat asing. Ini penting
kerana dengan mengambil kira senario masalah ancaman keganasan
antarabangsa sekarang, kita tidak mahu rakyat asing menggunakan
MyKad itu untuk melakukan keganasan. Ini akan menjejaskan
nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa dan sekaligus
merosakkan ekonomi negara kita. Pemilikan MyKad oleh rakyat
asing juga boleh memberi peluang kepada musuh negara menembusi
benteng pertahanan keselamatan negara kita dan ini tidak
harus dipandang ringan.
Kerahan
Tenaga Memupuk Patriotisme
22. Kita
bersyukur kepada Tuhan kerana mereka yang dahulunya meragui
niat dan tujuan kita dalam menyuarakan masalah ini akhirnya
sedar juga betapa pentingnya kedaulatan dan keselamatan
negara kita diambil perhatian serius. Seperti yang telag
dinyatakan oleh Perdana Menteri kita baru-baru ini, patriotisme
dan perasaan cinta kasih kepada negara sebenarnya tidak
patut dibiarkan terhalang oleh kepentingan politik sendiri
semata-mata. Inilah yang PBS telah perjuangkan selama ini
dan usaha yang murni ini akan kita teruskan demi kepentingan
negara dan generasi muda yang akan datang.
23. Cadangan
pihak Kerajaan mengadakan program kerahan tenaga negara
yang bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan
anak-anak muda semua kaum di negara ini adalah satu tindakan
wajar dan bijak. Sebagai sebuah negara kecil dengan penduduknya
terdiri daripada berbilang kaum, memang penting kita mempunyai
mekanisma untuk menanam semangat cintakan negara di kalangan
rakyat, khususnya generasi muda. PBS menyokong dan bersedia
untuk memberi buah fikiran dalam perancangan dan pelaksanan
program itu.
24. Walaupun
kerahan tenaga ini tidak berunsurkan latihan ketenteraan
semata-mata, latihan seperti ini patut menjadi asas perancangan
program itu agar pemuda-pemudi kita sentiasa siap sedia
mempertahankan negara daripada ancaman musuh. Tempoh untuk
seseorang mengikuti program kerahan tenaga itu pula tidak
semestinya memakan masa hingga dua tahun.
25. Keperluan
semangat patriotisme yang kental dalam bidang lain-lain
perkhidmatan negara juga tidak patut diabaikan. Kefahaman
sistem perundangan serta kewarganegaraan dan pentadbiran
negara mesti ditanamkan dalam hati sanubari semua generasi
muda di negara ini. Memandangkan pemuda-pemudi yang berumur
18 tahun adalah cadangan sasaran program ini, di samping
menanam semangat patriostisme, masa mereka untuk menuntut
ilmu pengetahuan perlulah juga diambil kira dalam perancangan
kerahan tenaga rakyat itu kelak.
Dasar
Pendidikan Negara
26. Keputusan
Kerajaan Persekutuan menggunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar
dua mata pelajaran, iaitu Sains dan Matematik dari peringkat
Tahun 1 mulai tahun hadapan adalah selaras dengan tujuan
Kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pusat
kecemerlangan ilmu pengetahuan bertaraf antarabangsa. Oleh
itu, PBS menyokong penuh perubahan dalam dasar pendidikan
negara itu.
27. Bagaimanapun,
perubahan dasar itu melibatkan pengubahsuaian beberapa aspek
infrastruktur pendidikan, termasuklah melatih guru-guru
dan membekalkan buku-buku teks dan peralatan yang diperlukan.
Kita tahu bahawa proses pembelajaran ini akan menggunakan
komputer. Maka adalah diharapkan agar pelaksanaan perubahan
dasar pendidikan ini dilakukan secara rasional dan menyeluruh
agar taraf pelajaran negara kita tidak akan terjejas secara
mendadak dan kemudiannya merosot pula.
28. Ada
dua perkara yang penting berkaitan dengan perubahan dasar
ini yang perlu diambil perhatian khas oleh pihak Kementerian
Pendidikan. Pertama ialah mengenai ketiadaan bekalan elektrik
di sekolah-sekolah di luar bandar, di Sabah. Dan yang kedua
ialah, jika perubahan dasar ini dilaksanakan hanya di bandar-bandar
sahaja, kanak-kanak di sekolah-sekolah luar bandar yang
kebanyakanya terdiri daripada kaum bumiputra akan terus
ketinggalan, terutama sekali untuk mendapat peluang melanjutkan
pelajaran tinggi kelak.
29. PBS
juga mengalu-alukan pengumuman Kerajaan Persekutuan untuk
membina lebih banyak sekolah, terutamanya di luar bandar
di Sabah. Keputusan Kerajaan untuk membina Kolej Komuniti
di setiap kawasan Parlimen diseluruh negara juga adalah
kena dan tepat pada masanya. Mudah-mudahan dengan adanya
institusi-institusi seperti itu, rakyat di luar bandar dapat
dilatih dalam berbagai kemahiran teknikal dan perindustrian.
Sekaligus, ini akan mempercepatkan lagi proses perindustrian
di seluruh negara kelak, selaras dengan Wawasan 2020 dan
di samping itu dapat mengatasi masalah pengangguran.
Industri Pertanian Moden
30. Saya
berharap agar di Sabah, Kolej-Kolej Komuniti itu akan mengutamakan
latihan kemahiran dalam bidang pengurusan dan pengusahaan
pertanian dan ternakan secara moden. Melatih tenaga buruh
untuk pengusahaan bidang pelancongan berasaskan bidang perikanan
dan rumpai laut juga wajar diambil perhatian dalam perancangan
Kolej Komuniti itu. Ini adalah selaras dengan tujuan Kerajaan
Pusat menjadikan bidang pertanian sebagai industri yang
ketiga pentingnya untuk menjana ekonomi negara.
31. Ke
arah memajukan industri pertanian, Kerajaan negeri perlu
mencari jalan atau mekanisme untuk memajukan tanah-tanah
terbiar milik rakyat bumiputra di seluruh negeri, termasuklah
kawasan tanah yang dimiliki oleh bumiputra menurut adat
resam atau NCR (Native Customary Rights). Adalah penting
hak milik tanah bumiputra terus terjamin dan memastikan
agar kaum bumiputra dapat menggunakan tanah mereka sebagai
aset untuk mencebut diri dalam dunia perniagaan dan tidak
terus ketinggalan kerana dibelenggu oleh tradisi lapuk.
32. Di
samping itu, Kerajaan Negeri juga perlu mengkaji semula
masalah kekurangan tanah untuk rakyat menceburi diri dalam
bidang industri pertanian secara moden. Saya ingin menyarankan
agar Kerajaan mempercepatkan kajian semula keluasan tanah
yang telah diberi kepada hanya 10 syarikat sahaja untuk
perlaksanan FMU. Kita perlu mengambil iktibar daripada desakan
rakyat di negara Zimbabwe di benua Afrika yang telah memaksa
Kerajaan negara itu merampas tanah-tanah ladang milik rakyat
kulit putih untuk diagih-agihkan kepada rakyat kulit hitam.
Kita tidak mahu menunggu hingga keadaan seperti ini berlaku
di Sabah barulah kita sedar tentang masalah rakyat yang
tidak mempunyai tanah, baik untuk pertaninan ataupun sebagai
tapak rumah mereka.
Pengurusan Tadahan Air
33. Saya
juga ingin menyentuh tentang masalah bekalan air di seluruh
negeri Sabah. Adalah amat penting pihak Kerajaan mengambil
langkah-langkah awal untuk memastikan agar rakyat di Sabah
tidak menghadapi masalah kekurangan air di masa akan datang.
Untuk maksud ini, semua Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran
di Sabah mesti di arah mengambil langkat mengekalkan dna
menjadi kawasan tadahan air di daerah masing-masing.
34. Tanah-tanah
Kerajaan yang menjadi punca atau tadahan air mestilah diwartakan
sebagai kawasan larangan untuk kegiatan ekonomi pertanian
atau pembalakan dan tidak patut diberi geran tanah untuk
sesiapa sahaja. JKKK di seluruh negeri juga wajar memastikan
tadahan air di kampung masing-masing tidak terjejas akibat
kegiatan pembukaan tanah, baik untuk pertanian atau pembalakan.
Jangan pula kita sudah terhantuk baru terngadah.
35.
Untuk memantapkan dan memastikan sumber bekalan air negeri
kita terjamin, Kerajaan Negeri mestilah menguatkuasakan
peruntukan dalam Enakmen Bekalan Air yang telahpun diluluskan
oleh Dewan Undangan Negeri beberapa tahun yang lalu. Enakmen
itu juga memperuntukkan penubuhan satu Jawatankuasa yang
bertanggungjawab membuat pemantauan sumber bekalan air di
Sabah .
Pemeliharaan
dan Pemuliharaan Alam Sekitar
36. PBS
memang sentiasa prihatin tentang kepentingan pemeliharaan
dan pemuliharaan Alam Sekitar. Atas sebab itu, PBS telah
menyokong satu enakmen yang telah di bentang di Dewan Undangan
Negeri baru-baru ini yang bertujuan memelihara alam sekitar
kerana kita sedar betapa pentingnya alam sekitar di negeri
ini akan terus terpelihara. Dalam kesempatan ini, saya ingin
mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan atas
tindakan Kerajaan Negeri untuk membatalkan cadangan pembangunan
Teluk Likas.
37. Tindakan
Kerajaan itu wajar disokong oleh semua pihak. Sebenarnya
PBS dalam Kongresnya yang Ke-15, melalui satu usul Bil.03
yang telah dibentang oleh Bahagian Api-Api, antara lain
telah mendesak agar cadangan membangun Teluk Likas dihentikan
kerana Teluk Likas memang merupakan khazanah yang tidak
ternilai untuk rakyat. Oleh itu, PBS sentiasa bersedia menyokong
undang-undang yang bertujuan memastikan dasar Kerajaan Negeri
mengenai pembangunan di Teluk Likas yang indah itu tidak
akan diubah kelak.
Pertumbuhan Ekonomi Negara
38. Berpandukan
Laporan Belanjawan Negara 2003 yang telah dibentang oleh
Y.A.B. Perdana Menteri, merangkap Menteri Kewangan pada
20 September 2002, ekonomi Malaysia diramalkan mencatit
pertumbuhan ekonomi di antara 6% dan 6.5% pada tahun hadapan.
Tetapi dunia pula pada keseluruhannya diramalkan mencapai
pertumbuhan ekonomi pada kadar sederhana sekitar 3.7% sahaja.
Ada kemungkinan yang peningkatan pertumbuhan ekonomi negara
kita tertekan kerana pertumbuhan ekonomi di negara-negara
rakan dagang Malaysia seperti Japan, Korea Selatan dan Amerika
Syarikat masih tidak menentu, terutama sekali adanya ancaman
keganasan antarabangsa.
39.
Institusi-institusi kewangan di Jepun pula agak merunsingkan
kerana mempunyai hutang tidak berbayar (NPL) yang tinggi
dan belum ada penyelesaian. Keadaan ini boleh membawa kesan
yang buruk terhadap ekonomi Malaysia, lebih-lebih lagi kerana
Jepun merupakan antara negara rakan dagang Malaysia yang
terpenting.
40. Justeru
itu, ekonomi negara kita mengharapkan dorongan permintaan
dalam negara untuk terus tumbuh. Pertumbuhan ekonomi yang
tinggi amat penting untuk negara kita memperolehi pendapatan
yang cukup untuk pembiayaan agenda pembangunan negara yang
berterusan. Kita berdoa agar dengan asas ekonomi kita yang
kukuh dan keadaan politik negara yang stabil, maka sasaran
pertumbuhan ekonomi negara akan tercapai dalam tempoh terdekat
ini.
Prestasi
Ekonomi Negeri Sabah
41. Kita
juga berharap agar pertumbuhan ekonomi negeri Sabah pada
tahun hadapan akan bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi
negara. Bagaimanapun, nampaknya negeri kita akan terus bergantung
kepada bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan untuk
membiayai pembangunan negeri kerana sumber kewangan negeri
tidak begitu memberansangkan. Belanjawan Negeri tahun 2003
menunjukkan kekurangan atau defisit berjumlah RM114.87 juta.
Jumlah defisit ini agak besar dan akan membebankan negeri
kita dalam jangkamasa panjang.
42. Dewan
Undangan Negeri baru-baru ini juga telah dimaklumkan bahawa
sejak tahun 1996 Kerajaan Negeri telah diberi bantuan oleh
Kerajaan Pusat berjumlah RM3.4 billion, yang mana sebahagiannya
adalah dalam bentuk pinjaman. Ini juga tidak boleh berterusan
dan tindakan bersepadu hendaklah diambil oleh Kerajaan Negeri
untuk memperbaiki pengurusan sumber keadaan kewangan negeri
Sabah.
43. Adalah
difahamkan juga bahawa banyak Pihak Berkuasa Tempatan atau
Majlis Daerah di Negeri Sabah sedang menghadapi masalah
kewangan yang merunsingkan, hingga ada yang tidak dapat
membayar gaji dan caruman KWSP untuk pekerja-pekerja masing-masing.
Dan ada juga bonus kakitangan Majlis-Majlis Daerah yang
belum dibayar sejak beberapa tahun yang lalu.
44.
PBS menyokong tindakan-tindakan Kerajaan negeri untuk mengurangkan
perbelanjaan dan mengatasi kelemahan kewangan beberapa agensi
Kerajaan Negeri. Kita tidak mungkin dapat menyelesaikan
masalah kewangan negeri by sweeping the dust under the carpet
dan kemudian berpura-pura sahaja seolah-olah tiada masalah
yang dihadapi. Saya harap pengalaman mengenai kebuntuan
atau kegagalan matlamat pengswastaan beberapa agensi atau
syarikatnya seperti KPD, Angkatan Hebat, SLDB dan Sabah
Bank Berhad, telah diambil kira oleh Kerajaan dalam memutuskan
pengswastaan sektor perkhidmatan Jabatan Air Negeri dan
juga Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah. Ini penting agar
kita tidak mengulangi kesilapan yang amat merugikan Kerajaan
dan rakyat kita.
45. Pihak-pihak
berkuasa tempatan juga patut berusaha mencari jalan untuk
membiayai pentadbiran dan perlaksanaan projek-projek kecil
di kawasan masing-masing dan bukan terus bergantung kepada
Kerajaan Negeri sebagai sumber kewangan. Seperti yang pernah
disarankan Y.A.B. Ketua Menteri dan juga selaras dengan
hasrat Kerajaan untuk mendirikan satu industri satu kampung.
Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan juga mesti bersungguh-sungguh
menarik pelaburan sebagai salah satu usaha untuk memajukan
kawasan masing-masing. Kaji semula dasar pembasmian kemiskinan
46. PBS
memahami bahawa kerajaan mempunyai program dan perancangan
untuk membasmi kemiskinan dikalangan mesyarakat. Walaubagaimanapun,
oleh sebab masih lagi ada kemiskinan yang terdapat di Negeri
Sabah, PBS memohon kepada kerajaan supaya melakukan kajian
semula dalam hal untuk membasmikan kemiskinan di kalangan
rakyat. Pada pendapat saya satu daripada punca utama kenapa
rakyat miskin ialah disebabkan mereka tidak ada peluang
untuk memperolehi pendapatan. Ini bererti bahawa mereka
mungkin tidak mempunyai pekerjaan ataupun sebagai petani
mereka tidak dapat memasarkan hasil keluaran mereka ataupun
kerana kekurangan yang berbagai-macam bentuk. Kebanyakan
rakyat miskin adalah terdiri daripada penduduk yang tinggal
diluar-luar bandar. Ada juga rakyat miskin yang tinggal
dipersekitaran bandar tetapi disebabkan tekanan daripada
segi pengangguran dan serba-serbi kekurangan mereka masih
lagi terperangkap didalam keadaan kemiskinan. Kajian semula
yang dimaksudkan perlu mengeluarkan pendekatan yang baru
untuk mengatasi masaalah kemiskinan di Negeri Sabah. Soalan
utama yang perlu di tumpuhkan perhatian ialah: bagaimanakah
kerajaan boleh meningkatkan pendapatan rakyat yang masih
miskin khususnya penduduk diluar bandar dimana lebih daripada
60% daripada rakyat Sabah masih tinggal.
Pelaksanakan
Program Pembangunan Kerajaan
47. PBS
amat menghargai tindakan Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan
berjumlah RM7 juta untuk setiap Kawasan Parlimen di Sabah.
Dengan peruntukan yang berjumlah begitu besar dan keadaan
politik yang stabil dimana PBS sekarang berada dalam BN,
maka tiada lagi sebab mengapa Sabah terus mundur. Apa yang
diperlukan sekarang ialah keikhlasan dan komitmen semua
pihak untuk membangunkan negeri kita ini. Pengagihan peruntukan
Kerajaan ini secara adil dan perancangan projek-projek pembangunan
supaya menepati kumpulan sasar adalah kunci kepada kejayaan
usaha murni Kerajaan Persekutuan untuk membangun Negeri
ini.
48. Semua
yang terlibat, terutama sekali mereka yang secara langsung,
dalma pelaksanaan projek-projek Kerajaan, termasuklah JKKK
mestilah ikhlas dan amanah dalam melaksanakan apa juga projek
Kerajaan di kawasan masing-masing. Tanpa keikhlasan dan
komitmen mereka, maka akan sia-sia sahaja usaha Kerajaan
menyediakan peruntukan kewangan yang besar sedangkan rakyat
tidak pula menikmati hasi program-program pembangunan yang
dilaksanakan oleh Kerajaan.
49. Dalam
konteks ini, nasihat Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri semasa
merasmikan Konvensyen Barisan Nasional pada 19 Oktober 2002
yang lalu wajar sentiasa diambil kira dan perhatian serius
serta menjadi amalan oleh semua pihak. Beliau menasihatkan
supaya tanggungjawab dan kuasa yang diamanahkan oleh rakyat
itu tidak disalahgunakan. Sebaliknya, kuasa itu mesti digunakan
sebaiknya-baiknya untuk memenuhi keperluan dan aspirasi
rakyat.
Perjuangan
PBS Terus Relevan
50. Tidak
dapat dinafikan bahawa peryertaan semula PBS ke dalam Barisan
Nasioanl telah mengurangkan pergeseran politik di semua
peringkat di negeri Sabah. Kini tenaga dan usaha pemimpin-pemimpin
parti-parti komponen Barisan Nasional dapat digemblengkan
untuk mempertingkatkan lagi pembangunan negeri di bawah
bayu ini. Biarlah sejarah perjuangan PBS di luar Barisan
Nasional sejak tahun 1990 itu menjadi iktibar dan pengalaman
kita untuk maju ke hadapan dan memperkukuhkan serta memantapkan
lagi kedudukan Barisan Nasional dalam menghadapi apa juga
rintangan.
51. Perjuangan
PBS terus relevan dan belum selesai lagi. Kita mesti terus
berjuang dan menunjukkan kepada semua pihak bahawa dasar
berbilang kaum PBS mampu untuk menyatu padukan rakyat dan
memberi sumbangan ke arah mencapai Wawasan 2020. Kita mesti
sedia membuka lembaran baru untuk maju ke hadapan menerusi
Barisan Nasional.
52. Sesungguhnya
tugas di hadapan kita amat berat iaitu memastikan PBS akan
memenangi semua kerusi yang ditandinginya semasa pilihanraya
akan datang. Semua pemimpin dan ahli-ahli PBS mesti sentiasa
siap sedia untuk menghadapi Pilihanraya Umum Negeri Sabah
dan juga Parlimen. Kita juga mesti bersedia memainkan peranan
untuk memastikan semua 60 kerusi DUN di Sabah akan dimenangi
oleh Barisan Nasional. Kita tidak boleh membuat andaian
atau menganggap bahawa kemenangan BN sudah terjamin dalam
pilihanraya akan datang yang mungkin akan diadakan pada
bila-bila masa sahaja.
53. Perpaduan
dan kerja keras serta kerajasama kita dengan semua parti-parti
komponen BN amatlah penting sekali untuk menghadapi pilihanraya
akan datang itu dan mencapai matlamat agenda pembangunan
negara yang diidamkan-idamkan oleh kita semua. Untuk menguatkan
lagi semangat kita untuk terus berjuang, saya menjemput
semua para perwakilan, tuan-tuan dan puan-puan sekalian
untuk berdiri dan bersorak tiga kali, Bersatu! Bersatu!
Bersatu!
Sekian,
terima kasih dan selamat bersidang.