Home
News

 
 
 
 
CURRENT NEWS

96 pekebun kecil daerah Tambunan terima surat tawaran menduduki Skim Kaingaran, Fasa 1

TAMBUNAN, Apr 14 -- Seramai 96 pekebun kecil dari daerah ini menerima surat tawaran Skim Kaingaran di bawah Skim Pekebun-Pekebun Kecil.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata, dalam Skim Kaingaran Fasa I, Jabatan Tanah telah siap melakukan kerja-kerja penyukatan tanah yang dibahagikan kepada 108 lot.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini hanya seramai 96 pekebun kecil yang rata-ratanya tidak memilik tanah telah dikenalpasti dan surat tawaran telah dikeluarkan untuk membolehkan mereka ditempatkan di dalam skim.

Setiap lot mempunyai keluasan sekitar 7 hingga 10 ekar bergantung kepada keadaan permukaan muka bumi tanah berkenaan dan kesemua penerima ini terdiri mereka yang layak selepas melalui proses penapisan berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Beliau berkata demikian di majlis penyerahan Surat Tawaran Skim Kaingaran yang diadakan bertempat di Tandarason Recrational and Country Club (TRCC), dekat sini semalam.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar menjelaskan, majoriti penduduk di negeri ini adalah tinggal di luar bandar dan menjalankan aktiviti pertanian sebagai sumber penjana ekonomi yang utama kepada penduduk.

Katanya, Kerajaan memberi perhatian yang serius terhadap sektor pertanian untuk menjadikan kawasan ini produktif dan menguntungkan yang mampu memberi pulangan serta manfaat ekonomi kepada rakyat khusus masyarakat di kawasan luar bandar yang tergolong dalam kelompok miskin dan miskin tegar.

Katanya, Kerajaan amat mengambil berat akan kadar kemiskinan yang wujud di negeri ini dan usaha membasmi kemiskinan tegar akan terus dipertingkatkan dan melalui pelbagai program pembangunan dan peningkatan ekonomi setempat, sekaligus dapat membantu merealisasikan matlamat negara untuk mensifarkan kemiskinan tegar menjelang tahun 2010.

Tahun ini adalah tahun ketujuh dalam pelaksanaan dasar halatuju pembangunan dan kemajuan negeri untuk mencapai matlamat negeri sabah sebuah negeri maju di malaysia menjelang tahun 2015.

Namun demikian katanya, kejayaan semua program ini banyak bergantung kepada sikap para peserta program itu sendiri dan perlu ada usaha dan inisiatif serta penglibatan aktif daripada masyarakat di luar bandar untuk memastikan segala perancangan ini berjalan seperti yang dirancang.

Pekebun harus membuka minda dan bersikap lebih proaktif dan kreatif untuk mempegunakan segala pengalaman dan pembelajaran yang perolehi agar segala peluang dan potensi yang berkaitan dengan program-program peningkatan ekonomi yang terdapat di kawasan kita dapat direbut dan dimanfaatkan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Pairin turut melahirkan perasaan gembiranya kerana penerima geran tanah mempunyai perancangan untuk mengusahakan tanah mereka masing-masing.

‘’mereka sangat gembira dan sungguh bersemangat, ada diantara mereka yang memberitahu saya yang mereka akan membuka tanah untuk menanam getah, halia, kelapa sawit dan sebagainya’’,

Jelasnya, sesuai dengan kedudukan daerah Tambunan yang terletak di pedalaman, pertanian adalah sumber penjana ekonomi di luar bandar yang menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri ini.

‘’saya fikir ini berita yang cukup gembira kerana mereka mempunyai perancangan yang baik’’.

Beliau menyeru pekebun-pekebun kecil agar merebut peluang ini dengan mengusahakan tanah sepenuhnya dengan menanam tanaman makanan dan tanaman-tanaman lain yang mempunyai potensi tinggi dipasaran.

Ini bukan sahaja sebagai langkah berjimat cermat dalam menangani krisis makanan dan kemelesetan ekonomi dunia, tetapi dimasa yang sama, dapat meningkatkan pendapatan masyarakat setempat dengan penjualan hasil tani.


 

 

 

 

Copyright © Sabah United Party (Parti Bersatu Sabah), Malaysia. All rights reserved.
First published: 22-Sep-1997   Updated: 14-Apr-2009 Email: webmaster