Matunggong bakal miliki kilang penghasilan biofuel
MATUNGGONG, Dis 15 -- Sebuah kilang pengeluar
dan pemprosesan Biofuel berasaskan ekstrak minyak Jathropa
bakal dibina di daerah ini apabila majlis menandatangani
Perjanjian Persefahaman (MoU) diantara Cosmo Biofuels Group
dan Key Strategic Partners selesai dimaterai petang tadi.
Perjanjian Persefahaman yang disaksikan Timbalan Ketua
Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan itu
adalah melibatkan diantara Syarikat Cosmo Biofuels Group
dengan Infinergy International Group, SAFER Energy Group,
Conduit Capital Liquid Funds (CCLF) Malaysia yang diadakan
di Rumah Kebudayaan Persatuan Kadazandusun Sabah (KDCA)
di Kampung Bonduk, dekat sini, petang tadi.
Dalam perjanjian berkenaan, selain bersetuju membina Kilang
pengeluar dan pemprosesan berkenaan, antara lain dalam kandungan
perjanjian berkenaan juga turut melibatkan projek pembinaan
sebuah Kilang Serbaguna Biodiesel berkapasiti 150,000 metrik
tan di Teluk Marudu.
Sementara itu, Koperasi Matunggong Berhad (KMB) yang telah
mengikat Perjanjian Persefahaman dengan Cosmo Biofuels Sabah
bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan tanaman
Jathropa secara bersepadu pada bulan Ogos lepas akhirnya
mengikat perjanjian selama 30 tahun lagi bagi meneruskan
usahasama itu.
Dalam usahasama ini, pihak Cosmo Biofuels Group akan melakukan
penyelidikan untuk menghasilkan model ladang tanaman Jathropa
secara berintegrasi dengan bantuan pakar untuk memaksimumkan
penggunaan tanah sekaligus mempelbagaikan punca pendapatan
peserta program.
Kerjasama yang dijalin ini merangkumi penyelidikan dan
pembangunan secara berperingkat disamping memberi bengkel
dan informasi berkaitan teknik dan kaedah penanaman jathropa
kepada para peserta.
Cosmo Biofuel Group yang mempunyai rangkaian perniagaan
di seluruh dunia ini mempunyai ladang Jathropa di negara
seperti Thailand, Filipina, Indonesia dan China telah lama
melakukan penyelidikan untuk menghasilkan buah jathropa
yang bermutu tinggi.
Daripada hasil kajian yang dijalankan ke atas tanah di
sini mendapati Matunggong berpotensi besar untuk dijadikan
pusat tanaman Jathropa dengan tanah yang luas dan subur.
Cosmo Biofuel Group bersama KMB mensasarkan untuk membuka
tanah seluas 2,500 ekar dan kawasan yang berpotensi untuk
dibangunkan sebagai projek tanaman Jathropa sudah dikenalpasti
dan mensasarkan untuk menjadikan Matunggong sebagai daerah
pertama di negeri ini yang menjalankan industri Biofuel.
Majlis menandatangani Perjanjian rasmi diantara Syarikat
Cosmo Biofuel Sabah dan Koperasi Matunggong Berhad masing-masing
diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Encik Faisal
Francis Wong manakala Koperasi Matunggong Berhad diwakili
oleh Pengerusinya Puan Jornah Mozihim.
Dalam pada itu, terdahulu dalam ucapannya, Timbalan Ketua
Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, menyifatkan
kerjasama ini sebagai satu kebanggaan kepada anak jati negeri
ini yang berani memceburkan diri dalam bidang yang baru.
Meskipun di peringkat Kerajaan, kita baru memperkenalkan
tanaman ini, sebenarnya ini bukanlah sesuatu yang baru kerana
di negara lain seperti, Filipina Indonesia dan Thailand
mereka telah mendahului dalam bidang ini dan kajian telah
banyak dilakukan dalam konteks penghasilan Biofuel.
Katanya, semangat yang ditunjukkan seperti inilah yang
perlu ada dalam setiap individu untuk membolehkan mereka
maju dan merubah kehidupan kepada yang lebih baik.
Pairin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar menjelaskan,
satu ketika dahulu daerah Matunggong adalah antara yang
tersenarai di dalam Rancangan Malaysia Ke Lapan (RMK8) yang
mempunyai kadar kemisikinan antara yang tertinggi di negara
ini.
Pairin menyifatkan respon yang sungguh memberangsangkan
ditunjukkan oleh masyarakat di Matunggong merupakan satu
petanda bahawa masyarakat di Matunggong mempunyai kesedaran
yang tinggi untuk mengubah minda.
Justeru itu, projek penanaman Jathropa ini boleh dijadikan
sebagai satu instrumen peningkatkan pendapatan peluang kepada
golongan petani untuk meningkatkan pendapatan memandangkan
Jatropa mempunyai potensi besar yang boleh diterokai.
Ini sekaligus mampu untuk mengeluarkan masyarakat di daerah
ini yang rata-ratanya tergolong dalam kelompok Miskin dan
Miskin Tegar keluar dari garis kemiskinan selari dengan
sasaran kerajaan menghapukan kemiskinan tegar menjelang
2010.
Dalam majlis berkenaan juga turut diadakan majlis penyerahan
bibit pokok Jathropa kepada 53 Ketua-ketua mewakili setiap
kampung di Daerah Kecil Matunggong. Sebelum itu, para peserta
juga turut diberikan bengkel berkenaan penanaman pokok Jathropa
secara bersepadu dengan tanaman lain yang disampaikan oleh
Profesor Dr. Uma Rani Sinniah, Penyarah dan juga Penyelidik
dari Jabatan Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia.