KIRMT terharu dapat rumah baru sempena Hari Krismas
TAMBUNAN, Dis 14 -- Ketua Isirumah Termiskin
(KIRMT) di daerah ini yang layak menerima bantuan rumah
pada tahun ini mendapat hadiah sempena Hari Krismas yang
bakal menjelang tiba.
Antara keluarga yang mendapat bantuan ini adalah keluarga
Mark Sidek. Sidek, 40 tidak dapat menahan air mata kerana
terlalu gembira apabila mendapat tahu keluarga mereka adalah
salah sebuah keluarga yang mendapat bantuan rumah PPRT pada
tahun ini.
Sebelum ini, kami hanya tinggal di ‘sulap’ (teratak usang)
yang terletak di tengah ladang padi huma jauh dari kampung
apatah lagi bekalan air bersih dan juga bekalan elektrik.
Mark yang mempunyai anak seramai 3 orang bersama isteri
mengusahakan ladang mereka untuk menyara hidup keluarga
umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Selain bimbangkan keselamatan anak-anak, Mark juga turut
menyatakan kebimbangan akan masa depan anak-anaknya apabila
besar nanti, mujur bantuan rumah yang didirikan berdekatan
dengan sekolah dan juga klinik.
Anak-anak saya tidak perlu lagi berjalan kaki lebih jauh
untuk bersekolah dan kami sekeluarga amat berterima kasih
dengan bantuan yang diberikan ini.
Nasib malang yang menimpa mereka ini mendapat perhatian
daripada Adun kawasan berkenaan bersama-sama dengan pihak
Pejabat Daerah Tambunan, setelah diteliti mendapati keluarga
ini layak untuk mendapat bantuan rumah.
Bantuan rumah yang diterima oleh keluarga Mark berukuran
30 kaki kali 40 kaki persegi merangkumi 3 bilik tidur, 1
tandas dan 1 bilik mandi dibina di kawasan tanah Kampung
Tombotuan.
Rumah berkenaan sudah boleh didiami tidak lama lagi dan
hanya menunggu meter elektrik dan air disambung oleh pihak
berkenaan sahaja lagi.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin
Kitingan berkata, pada tahun ini sahaja seramai 49 Ketua
Isirumah Termiskin (KIRMT) di daerah ini bakal menerima
bantuan rumah di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat
(SPKR).
SPKR yang sebelum ini dikenali sebagai Program Pembangunan
Rakyat Termiskin (PPRT) menyiapkan 29 buah rumah yang dibina
mengikuti spesifikasi terbaru yang merangkumi sistem pendawaian
dan sambungan paip air yang bernilai RM40,000. Sementara
17 buah rumah lagi dibina dengan kos sebanyak RM25,000 seunit.
Bantuan rumah untuk KIRMT ini berjumlah RM1,160,000.00 rumah
mengikut spesifikasi baru dan RM425,000.00 lagi rumah telah
dibina mengikut spesfikasi sebelum ini.
Secara keseluruhanya, pada tahun ini Kerajaan membelanjakan
RM1,585,000.00 untuk membina rumah PPRT ini, katanya di
majlis penyerahan kunci rumah kepada KIRMT di Kampung Tombotuan,
dekat sini, semalam.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Pembangunan Tambunan,
Encik Thomas Logijin, Setiausaha Politik kepada Timbalan
Ketua Menteri, Encik Welfredoline Jakil dan Pemimpin Kemajuan
Rakyat Tambunan, Encik Laiwon Dalus.
Pairin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata,
Kerajaan amat serius dan sedang berusaha bersungguh-sungguh
untuk membantu KIRMT keluar dari kepompong kemiskinan seperti
yang disasarkan oleh Perdana Menteri, bebas kemiskinan tegar
menjelang 2010.
Selain bantuan rumah, pelbagai lagi program kini yang sedang
berjalan seperti Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ), Mesej
atas air di bawah agensi pembimbing sedang giat berusaha
untuk membimbing serta memberi tunjuk ajar kepada KIRMT
bagi meningkatkan pendapatan.
Sementara itu katanya, Kerajaan melalui Unit Penyelarasan
Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri kini menjalankan bancian
Isirumah Miskin dan Miskin Tegar di seluruh Negeri bagi
membangunkan pengkalan data e-kasih.
Bancian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia
kini berada di peringkat akhir penyemakan data termasuk
mendapatkan maklumat dari pejabat-pejabat daerah bagi Ketua
Isirumah Miskin Tegar yang tercicir dari bancian yang dilakukan
sebelum ini.
Pejabat Pembangunan Negeri Sabah telah juga mengedarkan
senarai e-kasih di setiap daerah kepada semua ahli Yang
Berhormat di kawasan masing-masing bagi mengenalpasti mereka
yang tercicir dari senarai.
Sehubungan itu, adalah disarankan agar Ahli Yang Berhormat
di kawasan masing-masing membincangkan di dalam mesyuarat
Focus Group untuk memperakukan senarai KIRMT itu bagi mendapatkan
kesahihan maklumat berkenaan.