KPLB cadang wajibkan JKKK adakan gotong royong
TAMBUNAN, Dis 13 -- Kementerian Pembangunan
Luar Bandar (KPLB) akan mempertimbangkan cadangan untuk
mewajibkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK) untuk mengadakan gotong-royong bagi tujuan
menjaga serta membersihkan kemudahan dan kawasan Kampung
masing-masing.
Menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri
Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata, cadangan ini bertujuan
untuk memastikan setiap Kampung berada dalam keadaan bersih
disamping memastikan kemudahan awam yang disediakan kerajaan
dapat dijaga dengan baik.
Jelasnya, cadangan ini timbul berikutan kurangnya kesedaran
di kalangan penduduk kampung untuk menjaga kemudahan awam
seperti gelanggang permainan, padang, dewan dan balairaya
yang bukan sahaja tidak disenggara dengan baik tetapi juga
berada dalam keadaan yang kotor.
Beliau berkata demikian di majlis Penyerahan 20 gulung
polypaip yang diadakan di Balairaya Kampung Tontolob Sunsuron,
dekat sini, pagi tadi.
Turut hadir Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Tambunan,
Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri, En Welfredoline
Jakil; En. Thomas Logijin; Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasan
Tambunan, En. Laiwon Dalus; Pengerusi JKKK Kampung Tontolob
Sunsuron, En Gipul Rutis dan Ketua Kampung, En. Angip Gani.
Katanya, sekiranya cadangan ini diluluskan dan dipersetujui
di peringkat kementerian, kita akan mengeluarkan surat pekeliling
kepada setiap pejabat daerah untuk mengeluarkan arahan kepada
setiap JKKK mengadakan aktiviti gotong-royong.
Perkara ini perlu dimasukkan di dalam agenda JKKK. Ini
kerana aktiviti gotong-royong adalah sesuatu kegiatan yang
sihat disamping ianya juga mampu memupuk semangat persefahaman
dan kerjasama, khususnya dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Katanya, kegiatan gotong-royong semakin dilupakan dan sudah
tidak diamalkan dibanyak tempat. Justeru itu, amalan gotong-royong
perlu disemai semula di kalangan generasi muda dan perlu
diadakan dari semasa ke semasa.
Ketiadaan aktiviti gotong-royong menyebabkan usaha untuk
membersihkan kemudahan hanya dilakukan oleh sesetengah pihak
ataupun tidak dilakukan langsung dan ini menyebabkan banyak
kemudahan berada dalam keadaan yang kotor dan tidak selamat
digunakan disamping kelihatan semakin usang.
Katanya, adalah menjadi tanggungjawab setiap penduduk di
kampung masing-masing untuk memastikan kebersihan agar kemudahan
ini dapat bertahan lama dan dapat digunakan sepenuhnya oleh
penduduk kampung.
Katanya, aktiviti gotong-royong perlu dijalan lebih kerap
lagi dan sebaiknya diadakan sekali sebulan ataupun sekali
dalam dua bulan tetapi janganlah adakan hanya sekali setahun.
Sempena dengan tahun baru ini, kita berharap semua JKKK
dapat menanam azam untuk memperbaiki sistem pentabiran di
setiap kampung masing-masing agar bukan sahaja selesa untuk
didiami tetapi juga kondusif untuk kegiatan kemasyarakatan.
Selain itu, kampung yang cantik dan bersih bukan sahaja
mampu menghindarkan dari sebarang penyakit bawaan vektor
tetapi juga menjadi aset kepada sektor pelancongan yang
menarik kepada pengunjur luar untuk datang melawat.
Sementara itu, penduduk Kampung Tontolob Sunsuron menerima
20 gulung polypaip bagi menggantikan sistem paip air graviti
kampung berkenaan yang rosak teruk dilanda banjir baru-baru
ini. Pemulihan sistem paip air berkenaan dilakukan secara
bergotong-royong oleh penduduk di kawasan itu.
Selain menerima bantuan polypaip, kampung berkenaan juga
turut menerima peruntukan untuk membina sebuah gelanggang
bola tampar serta peruntukan membeli peralatan dewan.