Home
News

 
 
 
 
CURRENT NEWS

Pertubuhan Peladang Kawasan Tambunan rai perpisahan Pengurus Besar

TAMBUNAN, Dis 12 -- Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berharap agar Pengurus Besar Pertubuhan Peladang yang bakal ditempatkan di daerah ini akan meneruskan kecemerlangan yang telah dimulakan.

Katanya, Pengurus Besar PPK Tambunan, Encik Janes Kansirong yang berkhidmat selama empat tahun di daerah Tambunan telah menunjukkan prestasi kerja yang amat membanggakan khususnya dalam membantu memajukan sektor pertanian.

Pairin menyifatkan sepanjang tempoh perkhidmatan Janes dari tahun 2004 hingga tahun 2008, banyak yang telah dicapai pleh PPK Tambunan dalam membantu membangunkan sektor pertanian di daerah ini.

Antaranya, membantu dalam melaksanakan program ‘Satu Daerah Satu Industri’ dengan mewujudkan Industri Halia Tambunan bersama-sama dengan Pejabat Daerah Tambunan, sehingga membolehkan daerah Tambunan dikenali sebagai pengeluar halia di peringkat Kebangsaan. Di bawah program ini, usahawan pengeluar, pemasar dan pemprosesan industri bersaskan halia telah dapat dilahirkan.

Selain itu, usahawan peladang dalam sektor ternakan ikan air tawar, cendawan, pemprosesan kerepek dan melalui pengujudan program usahawan ini maka telah memberi kesan kepada peningkatan pendapatan ahli peladang.

Dari segi usaha membantu untuk mebangunkan tanaman padi di daerah ini juga turut menerima pelbagai manfaat seperti bantuan input padi dan jentera seperti taktor kepada pesawah, serta mengadakan hubungan dan kerjsama yang erat dengan Jabatan dan Agensi Kerajaan seperti Pejabat Daerah, FAMA, MARDI, Jabatan Pertanian dan pihak UMS dalam memajukan sektor pertanian di daerah ini.

Selain itu, para petani di daerah ini juga berpeluang mengikuti pelbagai program PPK termasuklah promosi produk keluaran ahli peladang seperti jualan Tamu Kumpulan Peladang, Pameran Pesta Kaamatan, pameran sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan dan pameran MAHA 2008 di Serdang baru-baru ini.

Pencapaian paling ketara beliau sepanjang berkhidmat sebagai Pengurus Besar PPK Tambunan adalah peningkatkan prestasi perniagaan PPK Tambunan melalui peningkatan keuntungan RM29,000 (2005), RM52,000 (2006), dan RM59,000 (2007). Ini adalah satu pencapaian yang sungguh membanggakan.

Justeru itu, pertukaran Janes ini sudah pasti satu kehilangan besar kepada kita khususnya kepada kepada PPK Tambunan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis perpisahan Pengurus Besar, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tambunan yang diadakan di Dewan Terbuka Tambunan Golf and Country Club (TNGC), dekat sini, semalam. Teks Ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, En. Welfredoline Jakil.

Turut hadir di majlis berkenaan, Encik Janes Kansirong,
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Tambunan; Encik Thomas Angor, Pegawai Daerah Tambunan; Doktor Juanis Yajuni,
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Tambunan; Encik Laiwon Dalus, Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasan Tambunan.

Janes Kansirong yang akan ditukarkan ke Pertubuhan Peladang Kawasan Kudat mempunyai pengalaman yang luas dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pemindahan Teknologi, di Lembaga Koko Wilayah Timur dan Penolong Pengurus Ladang di Borneo Samudera Sdn. Bhd. sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Besar PPK Tambunan.

Sementara itu, Pairin yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tambunan berharap Pengurus Besar yang bakal ditukarkan ke PPK Tambunan dapat meneruskan segala usaha yang telah dimulakan oleh beliau untuk memajukan lagi sektor perladangan di PPK Tambunan ini.

Dalam perkembangan lain, Pairin berkata meskipun pertanian adalah sektor yang paling diberi penekanan utama masa kini yang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara, namun pada masa yang sama masih ramai petani tergolong dalam kelompok miskin.

Katanya, kerajaan amat memandang berat keadaan ini dan cabaran terpenting yang dihadapi adalah mengubah minda petani daripada pertanian tradisional kepada pertanian sebagai satu perniagaan sebagai usaha meningkatkan pendapatan mereka.

Jelasnya, dalam usaha Kerajaan melahirkan petani dan peladang yang produktif, para petani kita tidak boleh lagi berpegang kepada amalan tradisional yang sudah sampai kepada tahap maksima pengeluaran hasilnya.

Justeru itu, beliau berharap agar khidmat bimbingan daripada Pegawai-pegawai pertanian menyampaikan nasihat dan tunjuk ajar teknologi-teknologi baru, dan pembekalan bahan-bahan seperti jentera, baja, kredit dan lain-lain perlu diteruskan dari semasa ke semasa.

Selain itu, usaha untuk melibatkan penyertaan golongan muda dalam industri pertanian perlu dipertingkatkan lagi dan usaha memupuk minat golongan muda perlu dipergiatkan untuk membolehkan sektor pertanian khususnya di daerah ini berkembang dengan lebih pesat lagi di masa akan datang.


 

 

 

 

Copyright © Sabah United Party (Parti Bersatu Sabah), Malaysia. All rights reserved.
First published: 22-Sep-1997   Updated: 14-Dec-2008 Email: webmaster