Bekas
Calon Bebas DUN Tambunan menyertai PBS
TAMBUNAN,
Mac 28 -- Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri
Panglima Joseph Pairin Kitingan kelmarin (27Mac) secara
rasmi menerima penyertaan bekas calon Bebas kawasan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Nestor Joannes yang menentangnya
dalam pertandingan satu lawan satu pada pilihanraya umum
2004.
Bersama
Nestor, Pairin turut menerima 153 ahli baru PBS yang disalurkan
melalui cawangan parti itu di Kampung Tondulu dalam majlis
yang diadakan di balairaya kampung berkenaan kelmarin (27Mac,
2pm).
“Kita perlu
merintis jalan seterusnya untuk mempersiapkan penduduk,
para penyokong dan terutamanya kepada generasi muda untuk
memperbaiki keadaan sejajar dengan arus pembangunan Negara
dan Nestor (selaku aktivis belia) mampu membantu kerana
beliau juga ada pendekatan tertentu mengenai dengan masa
depan anak-anak muda,” kata Pairin.
Ketika berucap
pada majlis itu, Nestor secara terbuka memohon maaf kepada
Pairin atas tindakannya bertanding pada pilihanraya lalu
yang mungkin telah menyusahkan Pairin sendiri selaku pemimpin
utama negeri.
“Namun saya
bertanding bukan kerana menentang Datuk Pairin apa lagi
Huguan Siou … tapi kerana komunikasi yang tidak sempat disempurnakan
beberapa hari sebelum pilihanraya,” kata Nestor.
Nestor, 42,
bekas Pegawai Kawasan Yayasan Sabah, graduan Ijazah Kejuruteraan
Petroleum & Gas Asli Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Johor, menyatakan menjelang pilihanraya beliau didatangi
penduduk pelbagai kampung terpencil menyatakan keluhan dan
permintaan mereka untuk perhatian pihak Datuk Pairin.
“Setelah saya
catat satu persatu keluhan itu, ternyata ada 39 butir semua,
saya mahu menyampaikan itu kepada Datuk Pairin, namun masa
untuk berjumpa saya belum dapat sehingga menjelang penamaan
calon.
“Atas permintaan
penduduk pelbagai kampung, saya memutuskan untuk membawa
39 butir itu ke dalam pilihanraya dengan tekad, kalaulah
keputusan rakyat memihak kepada isu-isu itu maka saya bersedia
jadi pilihan … tetapi ternyata majoriti pengundi masih memberi
kepercayaan kepada kepimpinan Datuk Pairin … saya akur kepada
kehendak majoriti dan saya harus menyertai Datuk Pairin
untuk membantu,” kata Nestor.
Sementara itu,
pengasas PBS Cawangan Kg Tondulu, Joannes Linggohun yang
turut berucap secara terbuka menyatakan kekecewaannya terhadap
satu insiden dilayan tanpa timbang rasa oleh salah seorang
pemimpin PBS peringkat Bahagian Tambunan.
“Masa itu 6/11/2002,
tahun di mana PBS menyertai semula Barisan Nasional (BN).
Saya mengajukan permohonan jalan raya ke kebun penduduk
sekadar minta perhatian Datuk Pairin … tapi pemimpin itu
menolak mentah-mentah sebelumpun disampaikan ke perhatian
Datuk Pairin … saya memang kecewa dengan insiden itu, namun
kekecewaan itu hanya saya tujukan kepada seorang pemimpin
itu, bukan kepada PBS, bukan juga kepada Datuk Pairin, namun
sesungguhnya itu dapat menjejaskan kepimpinan Datuk Pairin,”
kata Joannes yang berumur 73 tahun.
Manakala Ketua
Cawangan PBS Kg Tondulu, Petrus Sylvester menyatakan bahawa
keseluruhan 153 borang kemasukan yang mereka terima adalah
asli ditandatangani pemohon.
“Sebelum ini
kami juga mendapat tahu bahawa Nestor sering didatangi pelbagai
pihak terutama pembangkang untuk menawarkan jadi calon termasuk
dari DAP, Pasok dan malah Keadilan, tapi nampaknya Nestor
bijak dan memilih PBS pimpinan Datuk Pairin,” kata Petrus.
Pada pilihanraya
DUN lalu, Pairin menang 5,297 undi berbanding Nestor 2,017
dengan majoriti kemenangan 3,280 undi. Majlis kelmarin adalah
penyertaan pertama Nestor ke dalam PBS di mana sebelum itu
Nestor tidak menganggotai mana-mana parti.
Pada akhir majlis,
Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan
Luar Bandar meluluskan beberapa projek untuk kemudahan penduduk
di Kg Tondulu.
Projek-projek
itu termasuklah Jalan Kitou – Kiluang dengan anggaran peruntukan
RM200,000 (yang pernah dikemukakan pengasas PBS Kg Tondulu),
pembinaan balairaya baru RM50,000, pembekalan 57 buah tangki
200 gelen setiap satu kepada para pekebun, pembinaan urusetia
JKKK Kg Tondulu RM12,000 dan pembekalan kerusi plastik balairaya
RM3,600.
Turut hadir
Penolong Setiausaha Agung PBS, Daniel Kinsik.