Rebut
kemudahan Dana Usahawan Baru
TAMBUNAN,
April 1 -- Para peniaga kecil dan sederhana diminta merebut
kemudahan Dana Usahawan Baru dengan mendaftar sebagai pemohon
pinjaman bagi memulakan serta memperkembangkan perniagaan
mereka.
Timbalan Ketua
Menteri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata
sebagai satu program yang baru diperkenalkan adalah bijak
bagi para peniaga berkaitan untuk mengetahui dengan lebih
mendalam serta memohon kemudahan pinjaman perniagaan yang
ditawarkan.
“Saya difahamkan
bahawa Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sejumlah dana
kewangan untuk memberi kemudahan kepada golongan usahawan
baru untuk mencapai visi mewujudkan golongan peniaga yang
berdaya maju serta berdaya saing di Malaysia,” kata Pairin.
Pairin
yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan demikian
ketika melancarkan Dana Usahawan Baru yang dikendalikan
Komuniti Bistari Malaysia Peringkat Dewan Undangan Negeri
(DUN) Tambunan kelmarin.
Kira-kira 1,000
peniaga dan bakal peniaga menyertai program itu yang turut
dihadiri Pengarah Komuniti Bistari Malaysia Shaikh Hussin
Mahamud, Pegawai Daerah Thomas Angor, Penyelaras Komuniti
Bistari Kawasan DUN Tambunan Dr Juanis Yajuni dan Penolong
Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Daniel Kinsik.
Dalam taklimatnya,
Shaikh Hussin memberitahu bahawa dana modal itu disalurkan
oleh Kerajaan Persekutuan dan telah dilancarkan Perdana
Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tahun lalu.
“Di bawah program
ini, para peniaga boleh memohon pinjaman perniagaan berjumlah
RM1,000 – RM50,000 tanpa cagaran dengan kadar bunga yang
rendah. Kemudahan ini diperkenalkan untuk membendung kegiatan
Along serta mengatasi kerenah permohonan pinjaman badan
kewangan komersial yang terlalu sukar untuk dipenuhi para
peniaga kecil pada umumnya,” kata Shaikh Hussin.
Menurut Pairin,
Kerajaan sentiasa berusaha mewujudkan peluang-peluang perniagaan
untuk diceburi para usahawan baru dan pada waktu yang sama
sentiasa mengambil inisiatif mewujudkan dana modal yang
dapat dipohon para peniaga untuk memulakan serta memajukan
lagi perniagaan mereka.
Bagaimanapun
Pairin mengingatkan para pemohon pinjaman bahawa kemudahan
kewangan yang ditawarkan merupakan pinjaman yang bererti
harus dibayar balik, kalau tidak terdapat tindakan tertentu
seperti yang terkandung di dalam perjanjian.
“Saya juga ingin
mengajak bahawa para peserta terlibat sentiasa berhati-hati
di dalam pengurusan kewangan perniagaan … setiap sen yang
digunakan hendaklah untuk keperluan operasi perniagaan …
setiap wang yang dilaburkan hendaklah untuk tujuan memajukan
perniagaan,” kata Pairin.
Pairin berharap
tiada seorangpun peserta yang datang hanya kerana berminat
untuk memohon pinjaman tetapi belum bersedia mengusahakan
perniagaan dengan bersungguh-sungguh.