UCAPAN DASAR YB DATUK SERI PANGLIMA JOSEPH PAIRIN KITINGAN PRESIDEN PARTI BERSATU SABAH (PBS) SEMPENA KONGRES PBS KE-22 PADA 11HB NOVEMBER 2007 DI HONGKOD KOISAAN PENAMPANG, SABAH Kata-kata Aluan 1. Pertama sekali, saya ingin mengajak Saudara Saudari sekalian untuk sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan Yang Maha Kuasa kerana sekali lagi kita diberi kesempatan untuk bersama-sama di Kongres ini. Dalam Kongres pada hari ini selain daripada Ahli-ahli Majlis Tertinggi, saya dapat melihat ramai ahli-ahli, penyokong-penyokong dan barisan pemimpin sayap PBS iaitu Pergerakan Pemuda dan Wanita, walaupun kedua-dua Pergerakan telah selesai mengadakan Kongres Tahunan masing-masing pada 29hb Oktober 2007 yang lalu. 2. Peluang bertemu sekali setahun dalam suasana sebegini menjadikan
kongres tahunan parti satu wadah yang amat penting bagi parti dan semua
ahli parti. Kongres bukan sahaja memberi peluang kepada kita untuk bersua
muka tetapi yang lebih penting menyediakan ruang untuk kita memberi maklum
balas mengenai prestasi dan pencapaian kita di peringkat bahagian dan
Majlis Tertinggi sejak setahun yang lepas. Apabila kita tahu kedudukan
kita, maka senanglah kita menggarap halatuju kita pada tahun mendatang. Kekuatan Dalaman Parti Bersatu Sabah 5. Kongres pada tahun ini boleh dianggap sangat penting kerana ia mungkin yang terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang. Oleh itu sesuailah sekiranya kita dapat memanfaatkan kongres kali ini untuk menilai pencapaian dan komitmen kita kepada kerajaan dan rakyat agar kita lebih bersedia untuk berhadapan dengan rakyat pada pilihan raya akan datang. 6. Kita amat berbangga kerana PBS dibarisi oleh barisan kepimpinan yang matang, bersikap sederhana dan cinta akan parti. Pengalaman mengajar kita bahawa amat penting mengutamakan parti daripada mana-mana matlamat peribadi. Kita faham bahawa tanpa parti yang kukuh dan dihormati oleh rakan-rakan kita dalam BN dan juga oleh rakyat, kita tidak akan berkesan dalam memainkan peranan kita dalam memperjuangkan matlamat parti dan Barisan Nasional. 7. Sejarah menunjukkan bahawa banyak organisasi yang telah berusia puluhan
tahun hancur. Sejarah juga menunjukkan dalam kebanyakkan kes kehancuran
organisasi itu bukanlah disebabkan oleh faktor luaran tetapi faktor dalaman
organisasi itu sendiri. Saya percaya kita sudah lama sedar bahawa kita
sendirilah yang menentukan jatuh bangunnya parti kita. Tidak kira di
mana ataupun bila, PBS tetap akan utuh dan wujud sekiranya kita yang
berada di dalam parti memiliki sikap cinta dan sayang kepada parti. Inilah
kunci kekuatan PBS selama ini. 21. Kesinambungan perjuangan parti amat berkait rapat dengan barisan kepimpinan yang mengambilalih tampuk kepimpinan. Oleh itu amat penting bagi barisan kepimpinan sekarang memimpin dan berkongsi pengalaman dengan generasi yang lebih muda mengenai prinsip dan matlamat perjuangan parti. Kepada barisan kepimpinan utama dalam Majlis Tertinggi suka saya mengingatkan bahawa kita mempunyai tanggungjawab besar untuk mempastikan kesinambungan perjuangan parti. Oleh itu kita perlu bersikap proaktif dalam membentuk satu barisan kepimpinan pelapis yang kita boleh harapkan untuk dapat meneruskan perjuangan parti. 22. Kita ini boleh diibaratkan seperti seorang petani, kita memilih benih yang baik, menanam, membersihkan, membaja, menyiram, mencantas dan apabila tiba waktunya, kita mengharapkan hasil yang terbaik. Semua itu melalui proses, dan kitalah yang memainkan peranan ini agar proses itu dijalankan dengan sempurna. Kita tidak dapat mengharapkan hasil sekiranya kita tidak sanggup melakukan proses ataupun mengharapkan hasil yang terbaik kalau kita tidak sanggup melaksanakan setiap langkah. Proses itu memerlukan masa. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Usaha Memperjuangkan Pembangunan 23. Seperti yang diketahui umum, perjalanan kita sejauh ini bukanlah mudah. Saya percaya bahawa sebahagian besar daripada pengalaman yang telah dilalui bersama itu merupakan satu proses penulenan terhadap pengertian dan perjuangan kita yang seterusnya di dalam kerajaan Barisan Nasional. 24. Pengalaman sebagai pembangkang selama lebih kurang 10 tahun telah memberikan kita pengalaman yang bermakna. Kita telah tahu “apakah untung-rugi berada di dalam kerajaan pemerintah dan berada di kedudukan pembangkang”. Yang jelas, sebagai pembangkang banyak kepentingan yang kita ingin perjuangkan tidak akan tercapai. Di dalam Kerajaan, kita akan dapat membantu rakyat dengan lebih langsung dan terus. Perkataan dan retorik-retorik politik tidak bermakna jika tidak disusuli dengan tindakan yang berkesan. Oleh itu, pengalaman selama memerintah Sabah di antara tahun 1985-1994 dan dalam kedudukan pembangkang di antara 1990-2001 sesungguhnya telah banyak memberikan kita pengajaran yang bermakna. 25. Tahun 2001 merupakan tahun bersejarah di mana kita telah bersetuju dengan satu resolusi untuk kembali ke pangkuan Barisan Nasional dan kita telah diterima kembali pada Februari 2002. Kini genaplah usia 5 tahun kita dalam perjuangan Barisan Nasional untuk bersama-sama menegakkan kepentingan rakyat Sabah. Keputusan untuk menyertai semula Barisan Nasional adalah satu tindakan yang kita fikirkan tepat dan dilakukan dengan sikap yang sejujurnya. Tentunya kita memahami bahawa cabaran dan masalah tetap ada walaupun kita dalam BN. Tetapi parti-parti komponen termasuk PBS diberikan ruang yang cukup baik dalam menyuarakan pandangan dan pendapat mereka. 26. Kita bersyukur kerana melalui penyertaan kita dalam BN, kini kita mempunyai dua (2) pemimpin yang memegang jawatan Menteri dan empat (4) Pembantu Menteri dalam Kabinet Kerajaan Negeri dan satu Menteri penuh dalam Kabinet Persekutuan. Beberapa Ahli Yang Berhormat juga turut memegang jawatan Setiausaha-setiausaha Politik dan Pengerusi-pengerusi Lembaga Pengarah agensi-agensi dan syarikat milik kerajaan. Maka dengan itu kita mempunyai wakil dalam kerajaan untuk menyuarakan sebarang pendapat dan pandangan yang ingin disampaikan. 27. Adalah menjadi harapan kita agar peranan PBS akan lebih diberi perhatian yang lebih pada Pilihanraya Umum yang akan datang ini. Selepas itu diberikan pula tugasan-tugasan yang lebih luas dalam Kabinet Persektuan, Kabinet Negeri dan tanggungjawab yang lebih berkesan. Apa yang kita mahu dalam proses membina negara ialah kita diberi ruang dan peluang untuk menyertai semua aktiviti di semua peringkat Kerajaan. Ini termasuklah dipertimbangkan untuk tugasan diplomatic dan hubungan dagang di luar Negara, tugasan yang lebih luas dalam Pentadbiran Pusat dan negeri, penyertaan dalam Government-linked Companies (GLCs) dan sebagainya. Ini penting supaya kita dapat merasakan bahawa kita ini adalah peneraju utama dalam menentukan destinasi pembangunan negara kita, dan bukannya tersisih dan terpinggir. Kita yakin rakyat Sabah mempunyai kelayakan, kemahiran dan pengalaman untuk memberi sumbangan yang berkesan dalam bidang-bidang ini. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Pembangunan Luar Bandar 28. Kerajaan Barisan Nasional memang serius dalam usaha mengurangkan jurang pembangunan yang kurang seimbang di antara kawasan bandar dengan kawasan luar bandar dan antara wilayah Sabah, Sarawak dengan Semenanjung Malaysia. Kesungguhan ini terbukti dalam pengagihan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). 29. Dalam Bajet 2008 baru-baru ini, Negeri Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM4 billion bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan pada tahun 2008. Ini termasuklah membina dan menaik taraf jalan-jalan utama, perkhidmatan kesihatan luar bandar, kemudahan hospital, perumahan kos rendah, bekalan elektrik dan air. 30. Bajet itu juga telah menyebut tiga (3) strategi utama dalam perancangan bajet tahun hadapan. Salah satu daripadanya ialah “Strategi Menjamin Kesejahteraan Rakyat”. Di bawah strategi ini, Perdana Menteri telah menggariskan program-program penting yang bakal dilaksanakan di bawah kementerian dan agensi kerajaan tertentu. Antara lainnya ialah “Program Perumahan Untuk Rakyat” bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri dan seterusnya menikmati taraf hidup yang lebih selesa. Melalui program ini, kerajaan akan menyediakan perumahan mampu milik yang mencukupi dan mempergiatkan pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana. Sehubungan itu, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM381 juta bagi melaksanakan perumahan rakyat kos rendah yang pelaksanaannya adalah menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). 31. Agenda pembangunan seimbang yang diinginkan oleh kerajaan terus diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan beberapa koridor pembangunan ekonomi termasuk Koridor Pembangunan Sabah dan Koridor Pembangunan Sarawak. Penekanan terhadap pembangunan kedua-dua negeri ini amat penting bagi Kerajaan Persekutuan dan Barisan Nasional. 32. Pihak kerajaan seterusnya mensasarkan agar kemiskinan tegar dapat dihapuskan pada tahun 2010. Sejumlah RM214 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) untuk tujuan pembasmian kemiskinan. Kebanyakan daripada program-program ini dilaksanakan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB, Sabah). Antara program yang dirancang dan dilaksanakan termasuklah “Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan dan Kemahiran Kerjaya”, “Program Bantuan Rumah”,”Program Pembangunan Masyarakat Setempat” dan banyak lagi yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat di luar bandar. 33. PBS mahu agar rakyat, khususnya penduduk-penduduk desa dan juga para belia-beliawanis meneliti intipati Bajet 2008 ini bersama-sama dengan Rancangan Malaysia Ke-9 dan mencari jalan bagaimana mereka dapat memanfaatkan daripadanya. Usaha-usaha Baru Dalam Pembangunan Ekonomi Sabah 34. Kepimpinan parti juga mengalu-alukan langkah pihak kerajaan untuk mewujudkan sebuah unit atau jabatan baru di bawah Unit Penyelarasan Pelaksana (ICU) Jabatan Perdana Menteri yang dipanggil Penyelarasan Pembangunan Masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak. Pewujudan unit ini merupakan satu lagi langkah kerajaan dalam memperbaiki proses pemantauan mengenai tahap pembangunan dan juga penglibatan golongan bumiputera minoriti dalam arus pembangunan perdana. Kita amat berharap agar dengan adanya unit ini maka kebajikan masyarakat pribumi dari Sabah khususnya dapat dibela. 35. Dalam pembangunan ekonomi, PBS memang menyambut baik cadangan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan Sabah Development Corridor (SDC) yang akan dilaksanakan bermula pada tahun 2007 hingga 2025, iaitu lebih kurang meliputi RMK9 hingga RMK12. Kita percaya bahawa SDC ini akan mendatangkan ímpetus kepada pertumbuhan ekonomi dalam negeri dalam semua sektor, termasuklah pertanian, pelancongan, pembuatan dan sebagainya. 36. Rancangan-rancangan pembangunan ekonomi ini pastinya akan mendatangkan pembangunan fizikal. Sungguhpun begitu, selaras dengan perjuangan PBS, kita mahu supaya usaha membangunkan negeri ini haruslah “holistic” atau menyeluruh dan mencakupi pembangunan insan secara keseluruhan. Pertumbuhan (growth) ini memberikan kesan pembangunan. Jika rakyat dapat menyertainya program-program pembangunan yang disediakan kelak, pastinya pertumbuhan ini akan memberikan impak positif terhadap pengurangan kadar kemiskinan. Pendatang Tanpa Izan (PTI) 37. Salah satu masalah utama di Sabah yang telah lama kita perjuangkan ialah masalah pendatang tanpa izin (PTI) yang nampaknya semakin kronik dan kompleks. Masalah ini telah berlarutan dari awal 1970an iaitu sejak pemerintahan Kerajaan USNO lagi sehinggalah di zaman Datuk Harris Salleh dan sampai sekarang. Kita amat sedih dengan kemasukan ramai Pendatang Tanpa Izin ke Sabah, baik dari Filipina, Indonesia, mahupun dari India atau negara-negara lain. Kita juga merasa sedih dan terkilan serta hairan mengapakah pihak-pihak yang berwajib seperti Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertahanan serta agensi-agensi yang berkenaan belum menemui jalan yang berkesan untuk menangani hal ini dengan memuaskan. 38. Masalah PTI adalah diantara perkara yang kita belum berpuas hati lagi kerana ia boleh dianggap sebagai “pencerobohan masuk secara beramai-ramai”. Kita masih persoalkan bagaimanakah begitu ramai yang telah dikategorikan sebagai penduduk baru di Sabah, dan klasifikasi dalam banci penduduk 1980, 1991 dan 2000 juga berubah-ubah. Kita juga terus bertanya mengapa wujudnya apa yang dipanggil sebelum ini sebagai “Projek IC”. Rakyat juga merasa hairan mengenai timbulnya kes-kes di mana pendatang asing yang baru, boleh memperolehi kad pengenalan serta mendapat status warganegara dan status “Bumiputera” yang diragui. Juga masih terdapat mereka yang berstatus PTI berdaftar sebagai pemilih dalam daftar pemilih yang disahkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). 39. Pendirian PBS dalam hal PTI ini adalah jelas. Semenjak PBS ditubuhkan, matlamat kita ialah untuk melindungi hak-hak rakyat negeri Sabah dan membela rakyat Sabah dari bahaya. Kita juga berjuang untuk melindungi kedaulatan negara. Kita telah menyuarakan hal-hal ini di Dewan Undangan Negeri, di Parlimen, di media dan dalam mesyuarat-mesyuarat yang kita hadiri. Malah, semasa memerintah dahulu, Kerajaan PBS juga telah mengendalikan pendaftaran census untuk para pendatang asing di Sabah. 40. Kita juga telah menghantar sekurang-kurangnya dua (2) memorandum kepada Kerajaan Pusat. Apa yang kita mahu ialah : Pertama, jalan-jalan masuk ke Sabah ditutup kepada pendatang asing yang ingin memasuki secara haram; Kedua, orang asing tanpa izin di Sabah dihantar balik ke negara asal mereka; Ketiga, mereka yang telah memperolehi dokumen, disiasat semula kesahihan dokumen-dokumen sokongan mereka. Keempat, jika ingin masuk ke Sabah untuk tujuan pekerjaan, mereka harus mendapat pas perjalanan dan permit kerja yang sah. 41. Satu lagi adalah tentang kumpulan ‘pelarian’ yang memegang IMM13. Pada masa ini, definisi IMM13 di Sabah adalah merujuk kepada pendatang dari Selatan Filipina. Mereka ini adalah: (i) Pemegang pas sementara yang boleh diperbaharui setiap tahun. 42. Untuk isu IMM13, PBS berpendapat bahawa Kerajaan Persekutuan haruslah: (ii) Mendapatkan dan memaklumkan angka sebenar jumlah pemegang-pemegang IMM13 ini yang telah diberikan status “Penduduk Tetap” dan apakah sebab-sebab mereka diberikan status sedemikian. (iii) memberikan tafsiran baru kepada pemegang dokumen IMM13 kerana pastinya ada had kepada “status pelarian” mereka di Sabah. Sepatutnya, mereka harus dihantar balik ke Filipina. Jika mereka ingin kembali sebagai pekerja asing, mereka haruslah mendapatkan dokumen-dokumen yang perlu. (iv) Anak-anak kepada pemegang IMM13 yang berumur di bawah 18 tahun seharusnya dianggap sebagai tanggungan kepada pekerja-pekerja asing tersebut. Anak-anak itu juga perlu mendapatkan pas perjalanan dan pas kerja yang sah bila mereka menjangkau umur 18 tahun. 43. Pihak Parti Bersatu Sabah mencadangkan supaya pengeluaran IMM13 kepada golongan ‘pelarian’ ini dihentikan dan tidak lagi memperbaharui dokumen pemegang-pemegang IMM13 yang lama. 44. PBS seterusnya mencadangkan agar kerajaan dapat menyiasat pengeluaran dokumen IMM13 yang palsu, yang dipercayai berleluasa di Sabah. Jika kerajaan ingin mempertimbangkan pemberian PR atau dokumen Tinggal Tetap, prosedur-prosedur yang ketat haruslah dipatuhi. Ianya juga harus memenuhi garis panduan yang ditetapkan dan harus telus agar tidak dipertikaikan. Peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta kuasa kerajaan Negeri Sabah juga haruslah diambil kira. 45. Dalam hal PTI dan Pelarian ini, PBS tidak akan membiarkan keadaan ini berterusan. Saya yakin kerajaan Barisan Nasional turut berpendapat yang sama. Di dalam BN, PBS akan berusaha dengan bersungguh-sungguh meyakinkan pucuk pimpinan serta komponen-komponen BN yang lain bahawa masalah ancaman keselamatan dari pendatang asing ini sangat “real”, dan jika tidak ditangani dengan berkesan, pasti ianya akan membawa malapetaka yang lebih besar kepada generasi akan datang. Pemilikan Tanah 46. Kawasan tanah di negeri Sabah ini memang luas. Bagaimanapun, kita harus sedar bahawa tanah-tanah di Sabah ini hampir kesemuanya telah dikeluarkan kepada beberapa pihak untuk tujuan pembangunan. Kita sedar bahawa banyak permohonan-permohonan rakyat khasnya dari masyarakat desa untuk mendapatkan “Native Title” belum lagi diproses untuk tujuan penyukatan atau pengeluaran geran. Lebih malang lagi apabila banyak tanah yang dipohon ini termasuk dalam kategori permohonan berlapis. 47. Menyentuh tentang pemilikan tanah, PBS menyeru kepada semua ahli dan penyokong PBS serta semua anak negeri di Sabah supaya mengekalkan pemilikan tanah-tanah mereka. Janganlah kerana satu dua ribu ringgit, maka kita menjual tanah. Ini penting supaya kita semua akan sentiasa memiliki tanah untuk tujuan bercucuk tanam, membina rumah kediaman, dan lebih penting lagi untuk diwariskan lepada anak-anak kita. Jika penjualan ini berterusan, kita risau satu hari nanti anak-anak negeri kita akan kehilangan tanah di bumi sendiri. Ini tentu akan membawa masalah sosio-politik yang besar di kemudian hari. 48. Kita mahu ahli-ahli dan penyokong-penyokong PBS supaya mengamalkan sikap bekerja yang berdikari. Maksudnya, kita semua haruslah mencari jalan proaktif, dan bukan hanya menunggu peluang-peluang kerja kontrak dari kerajaan, untuk meningkatkan taraf ekonomi. Untuk lebih giat dalam kegiatan ekonomi, kita semua haruslah mencari kemahiran-kemahiran baru. Infrastruktur Untuk Meningkatkan Taraf Ekonomi Masyarakat Luar Bandar 49. Infrastruktur asas seperti jalan raya/bekalan elektrik/air bersih/pemilikan rumah dan perkhidmatan kesihatan memang sudah banyak yang dibuat oleh kerajaan. Bagaimanapun, PBS secara berterusan mencadangkan kepada kerajaan agar sentiasa membuat penelitian tentang keperluan rakyat terhadap infrastruktur-infratstruktur asas, terutamanya di kawasan-kawasan desa. Antara infrastruktur yang masih belum mencukupi ialah jalan-jalanraya, tenaga elektrik, bekalan air yang bersih, pusat-pusat rekreasi dan riadah, pusat-pusat sumber dsb. Keperluan-keperluan ini perlu dibekalkan ke tahap yang mencukupi dan memuaskan supaya taraf hidup masyarakat luar bandar dapat di pertingkatkan dan kemiskinan dibasmikan. Perpaduan Dalam Parti 50. Sejarah kestabilan kepimpinan dalam PBS adalah cukup terkenal. Tidak seperti parti-parti lain, PBS sebenarnya tidak pernah mengalami masalah perebutan kuasa. Memang, pada beberapa peristiwa pada tahun 1994, ada beberapa pemimpin dalam PBS telah cuba mencabar kepimpinan parti tetapi akhirnya mereka sendiri memilih untuk mencari jalan keluar meninggalkan parti. 51. Antara beberapa sebab mengapa PBS tidak menghadapi masalah ini ialah kerana pucuk pimpinan PBS memang mengamalkan budaya musawarah (muafakat) dalam membuat keputusan. Dalam pengurusan parti, PBS seringkali mengambil langkah untuk mendapatkan input, cadangan dan buah fikiran ahli-ahlinya yang berbilang kaum. 52. Selain daripada itu, pergolakan dalaman juga dapat dielakkan kerana kepimpinan parti telah menggunakan hikmat yang sebaik mungkin untuk merancang ‘leadership succession plan’ di semua peringkat parti iaitu daripada Majlis Tertinggi ke peringkat Bahagian supaya perjuangan parti tetap akan diteruskan. Sungguhpun demikian, dalam usaha kita untuk menerapkan pemimpin-pemimpin pelapis muda, kita sedar bahawa landasannya haruslah berpegang kepada semangat “team work”. Oleh itu, bila tiba waktunya maka parti tidak akan kekurangan pemimpin yang boleh diangkat untuk menerajui parti pada masa akan datang. Penutup 53. Akhirnya saudara/saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, daripada semua yang yang telah kita perkatakan ini, marilah kita belajar dengan lebih serius lagi untuk memikirkan kepentingan kita bersama dan secara sedar memilih untuk mengikis sikap-sikap negatif yang boleh menghambat pembangunan minda dan perspektif. Amalan pemikiran lapuk yang lebih mengutamakan kepentingan diri dan keuntungan sendiri haruslah dijauhi. 56. Janganlah kita lalai dan leka untuk mengingat perubahan zaman. Kita sekarang ini berada dalam zaman yang dikatakan dunia tanpa sempadan atau secara khususnya zaman pasca-modern. Pemikiran manusia sudah jauh berubah. Cara melakukan urusniaga atau komunikasi jauh lebih pantas daripada sebelumnya. Semua ini berlaku di hadapan kita dan kita sedang hidup dalam kehidupan yang menuntut agar kita lebih berdaya saing. Jika kita tidak mengubah cara kita melakukan perkara seperti yang dituntut oleh zaman ini, maka kita bakal ketinggalan jauh. 57. Bahkan tanda-tanda bahawa kita agak ketinggalan memang begitu ketara. Oleh itu saudara/saudari sekalian, apakah pilihan yang ada ditangan kita? TIADA. Kita hanya perlu menjadi lebih berdaya saing, jadikan diri kita berpengetahuan, berilmu dan mempunyai kemahiran yang diperlukan. Jika kita lemah dan berputus asa dan merasa bahawa kita tidak mempunyai harapan, maka kita PASTI akan BERKUBUR di negeri sendiri. Oleh itu, saya ingin mengajak kita semua agar bangkit dan bersemangat untuk melakukan pencapaian-pencapaian gemilang demi generasi akan datang yang akan mewarisi perjuangan kita. 58. Dengan kata-kata demikian, saya dengan sukacitanya mengisytiharkan Perhimpunan Agung Tahunan PBS kali yang ke 22 ini dimulakan dengan rasminya. 59. Untuk menguatkan lagi semangat perjuangan kita, marilah kita semua berdiri dan melaungkan tiga kali cogankata perpaduan parti kita : BERSATU! BERSATU! BERSATU! Sekian, terima kasih dan selamat bersidang. |