Ucapan alu-aluan YB Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan
Presiden Parti Bersatu Sabah sempena Perhimpunan Agung
Parti Bersatu Sabah ke-19 pada 6 Disember 2004
bertempat di Hongkod Koisaan, Penampang

Terima kasih Saudari Pengerusi Majlis,

YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Timbalan Perdana Menteri Malaysia
merangkap Timbalan Pengerusi Barisan Nasional

YAB Datuk Seri Musa Aman
Ketua Menteri Sabah

Ketua atau Wakil-Wakil
Parti-Parti Komponen Barisan Nasional

Ahli-Ahli Yang Berhormat

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, Ahli Majlis Tertinggi PBS, para perwakilan dari seluruh negeri Sabah, saudara-saudari yang saya hormati sekalian

Saya bersyukur kepada Tuhan kerana pada hari ini kita dapat berkumpul dan bersama-sama sekali lagi  di  Perhimpunan Agung Parti Bersatu Sabah  bagi kali yang ke sembilan belas.

Saya juga berbesar hati dan ingin mengucapkan ‘Selamat Datang’ kepada semua perwakilan Parti Bersatu Sabah  dari seluruh negeri dan saya berkeyakinan bahawa persidangan kita pada kali ini bukan sahaja akan memperkukuhkan perjuangan Parti dan Barisan Nasional tetapi juga dapat merapatkan lagi hubungan persaudaraan di kalangan kita khasnya para ahli dan penyokong-penyokong Parti Bersatu Sabah. 

YAB Dato’ Sri, Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Sesungguhnya hari ini merupakan satu detik sejarah yang amat manis dan bermakna sekali kepada semua ahli-ahli Parti Bersatu Sabah kerana ini adalah pertama kali YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang kita sayangi,  dapat bersama-sama kita di dalam sejarah perjuangan politik selama hampir dua puluh tahun bagi Parti Bersatu Sabah.

Saya bagi  pihak PBS ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesudian YAB Dato’ Sri untuk hadir dan seterusnya menyempurnakan perasmian Perhimpunan Agung PBS tahun 2004 ini.

Saya dan ahli-ahli Parti begitu bangga dan amat terharu sekali di atas kehadiran Yab Dato’ Sri ke negeri di bawah bayu ini untuk merasmikan perhimpunan agung PBS yang ke-19 ini. Kami semua berharap YAB Dato’ Sri akan dapat merasai suasana persaudaraan rakyat Malaysia di sebelah sini, di samping melihat kecantikan alam semula jadi dan keunikan  masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai keturunan, budaya yang hidup aman dan damai. Sememangnya ini bukanlah perkara baru bagi YAB Dato’ Sri kerana kita sedia maklum YAB Dato’ Sri ialah antara pemimpin negara yang paling rajin melawat rakyat Malaysia, negeri di bawah bayu ini dan memberi perhatian kepada keperluan-keperluan rakyat kita di sini.

YAB Dato’ Sri,

Saya rasa masih belum terlewat untuk mengucapkan tahniah di atas perlantikan YAB Dato’ Sri sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.  Saya yakin dan percaya dengan kualiti  kepimpinan yang ada pada YAB Dato’ Sri,  negara kita yang bertuah ini  akan terus maju dan mampu untuk terus bersaing dengan negara-negara lain di dunia ini.  Saya  percaya YAB Dato’ Sri selaku barisan pemimpin  ‘muda’ negara    mampu untuk terus menerajui  kepimpinan negara dan mengangkatnya sebagai negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Seperti yang saya tekankan tadi, parti bersatu sabah melihat YAB Dato’ Sri sebagai seorang pemimpin yang  begitu peka ke atas kebajikan rakyat dan prihatin terhadap pembangunan dan keperluan rakyat di negeri sabah dan sarawak seperti mana juga dengan lain-lain tempat di negara kita ini.  Berdasarkan kepada sikap prihatin  ini, saya begitu yakin YAB Dato’ Sri selaku Timbalan Perdana Menteri akan menjadi penggerak kepada usaha-usaha pembangunan yang lebih pesat untuk rakyat malaysia di Sabah dan Sarawak, dan juga di Semenanjung.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Persidangan kita ini sangat bermakna kepada semua anggota dan penyokong-penyokong PBS di seluruh negeri.  Ini adalah kerana bukan sahaja perjuangan pbs telah kembali dalam arena politik perdana tanah air di bawah naungan  barisan nasional tetapi kini PBS juga diwakili dalam pentadbiran kerajaan di peringkat  Negeri dan Persekutuan. Ini bererti kita dalam PBS dapat memainkan peranan secara langsung dalam pembangunan negara dan proses penyelesaian masalah dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh rakyat kita.

YAB Dato’ Sri, tuan-tuan dan puan-puan,

Negara Malaysia amnya dan negeri Sabah khususnya sedang maju ke hadapan daripada semua segi dan dimensi. Pencapaian yang dinikmati bukan saja daripada segi ekonomi, politik, sains dan teknologi, dan sosio-budaya tetapi juga daripada segi perkembangan antarabangsa. Malaysia kini bukan sahaja sebuah negara yang pesat membangun tetapi telah menjadi sebuah negara yang dijadikan model oleh negara-negara lain di dunia ini khasnya dalam bidang sains dan teknologi, agro-industri, perpaduan kaum dan pengurusan ekonomi negara.

YAB Dato’ Sri,

Sememangnya banyak perkara pokok yang pernah dan sentiasa diutarakan oleh PBS. Ini termasuklah perihal dan isu keselamatan negeri sabah yang terdedah kepada masalah pendatang tanpa izin (pti), kad pengenalan palsu, pengundi haram, jenayah yang dilakukan oleh pti dan lain-lain. Kedudukan pembangunan luar bandar di sabah yang masih ditahap yang mundur dan serba kekurangan juga merupakan satu cabaran yang perlu ditangani.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri sabah kerana dalam hal-hal yang saya sentuhkan ini, banyak kemajuan dan perubahan yang telah dinikmati hasil daripada keperihatinan dan tindakan bijak oleh Kerajaan Barisan Nasional. Saya cukup yakin bahawa dengan komitmen yang kukuh oleh Kerajaan Negeri dan sokongan padu daripada Kerajaan Pusat, perkara dan masalah-masalah pokok ini dapat kita selesaikan bersama-sama dan banteras dalam tempoh yang terdekat.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas kesudian YAB Dato’ Sri untuk bersama kami pada pagi ini. Saya dengan hormat dan sukacitanya menjemput YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, untuk meneruskan majlis perasmian Perhimpunan Agung PBS yang ke-19 pada hari ini.

YAB Dato’ Sri, dipersilakan.

 
| MAIN | ATURCARA | UCAPAN DASAR | AJK PENGANJUR| PERHUBUNGAN | GALERI GAMBAR |
 
Copyright © Sabah United Party (Parti Bersatu Sabah), Malaysia. All rights reserved.