UCAPAN DASAR
YB DATUK SERI PANGLIMA JOSEPH PAIRIN KITINGAN
PRESIDEN PARTI BERSATU SABAH
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN YANG KE-18
PADA 9 SEPTEMBER 2003 DI HONGKOD KOISAAN PENAMPANG

Terlebih dahulu, saya bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Kuasa kerana dengan berkatnya, Perhimpunan Agung PBS yang ke 18 ini dapat kita adakan.

Seterusnya ucapan terima kasih, syabas dan tahniah saya tujukan kepada Pengerusi Penganjur dan Jawatankuasanya atas usaha dan kerjasama mereka menjayakan Perhimpunan Agung Tahunan kita ini. Demikian juga saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada Ketua-Ketua Bahagian, para perwakilan dan pemerhati atas ketabahan dan kesungguhan kamu sekalian meneruskan perjuangan melalui PBS.

DASAR BERBILANG KAUM PBS DITERUSKAN

Saya merasa terdorong dan gembira sekali kerana dasar berbilang kaum dan pendekatan politik PBS yang sederhana mendapat sokongan rakyat berterusan dan sokongan ini sangat saya hargai. Sesungguhnya sokongan yang berterusan daripada rakyat kepada dasar dan konsep politik PBS ini merupakan sinergi yang telah membolehkan bendera PBS terus berkibar diseluruh Sabah hingga ke hari ini. Dengan sokongan rakyat yang berterusan ini dan semangat kental ahli-ahli PBS meneruskan perjuangan, maka parti kita semakin mantap.

Justeru itu, sekali lagi saya dengan tulus ikhlas mengucapkan ribuan terima kepada semua ahli-ahli dan penyokong-penyokong Parti Bersatu Sabah. Dasar dan konsep berbilang kaum dan pendekatan politik PBS yang sederhana ini mesti diteruskan sebagai asas untuk kita memperjuangkan matlamat PBS demi membela nasip rakyat dan menyatu-padukan rakyat yang berbilang kaum di Sabah, khususnya, dan di seluruh Malaysia amnya.

PEMILIHAN AMT 2003/2006

Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Majlis Tertinggi PBS di atas khidmat serta ketabahan mereka meneruskan perjuangan. Seperti kita semua sedia maklum, PBS sejak penubuhannya telah menempa sejarah politik yang bercampur manis dan pahit. Tetapi dengan kebijaksanaan dan keiklasan oleh Ahli-Ahli Majlis Tertinggi memimpin parti kita, maka ahli-ahli dan penyokong-penyokong PBS boleh meneruskan perjuangan dengan berdiri tegak hari ini.

Kebijaksanaan dan kematangan kepimpinan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi dalam menentukan halatuju perjuangan parti kita jelas terbukti apabila mereka memutuskan supaya PBS menyertai semula Barisan Nstional dua tahun yang lalu. Pada penghujung Perhimpunan Agung ini, para perwakilan sekali lagi akan memilih Majlis Tertinggi PBS dan Jawatankuasa Exco Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita untuk tempoh 2003/2006. Sebagai sebuah parti yang percaya dan berpegang kepada prinsip demokrasi, pemilihan parti ini memang tidak boleh kita elakkan.

Ketabahan perjuangan dan kebijakasanaan semua pemimpin parti dalam mengemudikan halatuju perjuangan PBS selama ini akan tercatat dalam lipatan sejarah parti dan tidak akan kita lupakan begitu sahaja. Kepada Ahli-Ahli Majlis Tertinggi PBS yang bekal dipilih, saya berharap, dan sudah tentu menjadi harapan kita semua, agar mereka terus mempertingkatkan kemantapan parti kita untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda

Saya tidak juga lupa mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Ketua Pergerakan Wanita dan Ketua Pergerakan Pemuda PBS serta Jawatankuasa Eksekutif mereka masing-masing. Tidak bolrh dinafikan bahawa mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memberi kesedaran kepada rakyat tentang perjuangan PBS melalui Khemah atau Gerak Kerja di seluruh negeri sepanjang tahun ini. Kesedaran rakyat tentang perjuangan PBS, khususnya di kalangan generasi muda, dan kumpulan profesional kita, amat penting sekali. Justru itu, usaha ke arah itu perlu dipertingkatkan.

Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda juga mesti terus membantu Kerajaan menjayakan matlamat Dasar Ekonomi Negara dan Gerak Daya Wawasan dengan mengadakan khemah kerja ekonomi dan perdagangan. Semua ahli-ahli PBS, khususnya belia-beliawanis, perlu diberi kesedaran tentang pentingnya mereka merebut peluang-peluang perniagaan yang disediakan oleh Kerajaan. Mereka mesti siap sedia bersaing dalam semua kegiatan yang sehat, bukan sahaja dalam bidang polititk tetapi dalam kegiatan ekonomi dan perdaagangan. Kita tidak mahu ahli-ahli PBS hanya berkecimpung dalam kegiatan politik tetapi ketinggalan pula dalam arus pembangunan negara.

Kita juga perlu membantu Kerajaan menjayakan Dasar Sosial Negara. Generasi muda mesti diberi bimbingan agar mereka tidak terjerumus dalam masalah sosial dan kegiatan-kegiatan yang meruntuhkan akhlak, seperti penagihan dadah atau syabu, yang kian merunsingkan. Ini mustahak, kerana perjuangan PBS masih jauh perjalanannya dan generasi muda lah yang akan mewarisikannya. Negara kita memerlukan generasi muda yang bukan sahaja berilmu pengetahuan tetapi berakhlak tinggi dan bersemangat patriotik yang kental untuk mempertahan negara dan merealisasikan Wawasan 2020 yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri kita, Datuk Dr Mahathir Mohammad.

Partiotisme Asas Perpaduan

Saya percaya bahawa kita semua merasa amat bangga dan dihormati kerana YAB Datuk Perdana Menteri kita telah meluangkan masanya untuk merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan kita kali ini. Kita wajar berterima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau, bukan sahaja kerana beliau telah sudi merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan PBS ini sebelum bersara tetapi atas khidmat beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun yang telah membawa berbagai kemajuan kepada negara kita.

Semua nasihat dan amanat beliau melalui ucapannya semasa beliau merasmikan Perhimpunan Agung parti kita kelmarin wajar kita tanamkan dalam hati senubari kita masing-masing sebagai azimat kita untuk meneruskan perjuangan. Sebenarnya ini bukanlah pertama kali Perhimpunan Agung PBS yang telah dirasmikan YAB Perdana Menteri, merangkap Pengerusi Barisan Nasional. Perhimpunan Agung PBS kali yang ke-4 pada 29 September 1989 juga telah dirasmikan oleh beliau

Kini kita sudah membuka lambaran baru dalam sejarah kita dan kita mahu mengurangkan pergeseran politik demi perpaduan semua rakyat Malaysia. Seperti kata peribahasa Melayu, “sesat dihujung jalan lebih baik balik ke pangkal jalan.” Dan inilah yang kita telah lakukan atas semangat patriotisme dan sebagai sumbangan oleh parti kita kepada perpaduan rakyat dan pembangunan negara. Ini amat penting demi kesinabungan pembangunan negara dan membantu negara kita menangani keadaan politik dan ekonomi dunia yang tidak menentu dalam era globalisasi ini.

ULANG TAHUN KEMERDEKAAN

Sebelum meneruskan ucapan ini, izinkan saya menyentuh sedikit tentang perayaan bulan kemerdekaan yang mulai 17 Ogos hingga 16 September 2003 tahun ini. Sambutan dan perayaan bulan kemerdekaan ini memang amat bermakna untuk menyedarkan generasi muda, khususnya di Sabah, tentang sejarah kemerdekaan negeri Sabah pada 31 Ogos 1963. Sabah telah menyertai pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dan tidak dapat dinafikan bahawa kemerdekaan dan penyertaan Negeri Sabah dalam pembentukan Malaysia 40 tahun dahulu telah membawa berbagai kemajuan di negeri ini, termasuklah juga dalam bidang keselamatan yang patut kita semua hargai.

Kita mesti berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin negara kita dahulu yang telah berjuang untuk mencapai kemerdekan negara. Pemimpin-pemimpin kita terdahulu dan yang ada sekarang juga telah berjuang mempertahankan kemerdekaan negara kita daripada ancaman pihak komunis,  konfrontasi dan juga kejadian 13 Mei 1969, demonstrasi serta pengeboman di Sabah dalam tahun 1976 dan 1986. Kita bersyukur dan berterima kasih kerana pemimpin-pemimpin negara kita bukan sahaja membawa kemerdekaan tetapi mengisi kemerdekaan negara dengan merancang dan melaksanakan berbagai pembangunan dan mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Sesungguhnya memang benar kata YAB Perdana Menteri baru-baru ini bahawa di samping mencapai kemajuan dalam bidang pembangunan ekonomi dan infrastruktur, perpaduan rakyat berbilang kaum di Malaysia merupakan kejayan terbesar negara kita sejak merdeka. Dalam konteks ini, saya berasa bangga kerana dengan dasar berbilang kaum dan pendekatan politiknya yang sederhana, PBS telah menyumbang kepada perpaduan negara, apatah lagi apabila PBS menyertai semula Barisan Nasional sebelum YAB Perdana Menteri kita bersara.

Kita mesti sedar betapa pentingnya perpaduan di kalangan rakyat majmuk Malaysia. Perpaduan harus dipupuk dan sentiasa dipelihara oleh semua pihak. Banyak negara yang lain, selepas merka merdeka, bukan pula membangun tetapi mundur dan rakyat mereka menderita akibat perebutan kuasa dan perang saudara yang berterusan. Kita bersyukur kerana negara kita kini terus aman dan makmur hasil daripada perpaduan dan kestabilan politik yang berterusan di kalangan pemimpin negara dan juga rakyatnya. Oleh itu marilah kita terus memupuk perpaduan dan memelihara kehormonian semua kaum dalam negara kita dengan penuh semangat patriotisme.

KESELAMaTAN NEGARA

Setiap rakyat mempunyai peranan dan mesti memainkan peranan masing-masing untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian rakyat demi kesinambungan agenda pembangunan negara. Kita perlu sedar bahawa kejadian pengeboman di Amerika Syarikat pada 11.9.2001 dan di beberapa negara lain baru-baru ini telah mengubah senario politik dunia dan politik tanah air kita. Pengeboman di beberapa negara seperti di Indonesia, di India dan bangunan Pejabat PBB dan Mesjid di Baghdad, Iraq baru-baru ini menyedarkan kita semua betapa seriusnya ancaman keganasan antarabangsa masa kini dan semuanya ini tentu ada kesan mendalam dan implikasi terhadap keselamatan negara kita sendiri.

Kita juga perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Myanmar, di mana Aung San Su Khyi, seorang pejuang kebebasan demokrasi di negara itu masih ditahan hingga sekarang walaupun partinya telah memenangi pilihanraya. Percubaan rampasan kuasa di Filipina baru-baru ini wajar mendorong kita untuk terus berjuang mempertahankan sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara kita untuk memilih Kerajaan. Kegiatan Kumpulan Militan Malaysia, (KMM), Jemaah Islamiah (JI) dan apa yang dipanggil Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) dalam negara kita bukan sahaja bertentangan dengan sistem demokrasi tetapi mengancam keselamatan dan kedaulatan negara yang tidak boleh kita pandang ringan.

Saya bersyukur kepada Tuhan kerana dengan adanya perpaduan rakyat, Kerajaan Malaysia dapat menggemblengkan tenaga menumpukan perhatian untuk menangani ancaman keselamatan dan membawa kemakmuran kepada rakyat. Kita semua mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan juga semua anggota keselamatan dan Polis di Raja Malaysia kerana kecekapan mereka mengesan awal kegiatan KMM, JI dan PKMP sebelum mereka dapat mengancam keselamatan negara kita.

Pendatang asing tanpa izin dan MyKad tulen

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan kerana memperketatkan kawalan di sepanjang perairan Negeri Sabah yang sekaligus dapat membanteras penyusupan rakyat asing masuk ke Sabah. Demikian juga saya ucapkan terima kasih atas kesungguhan Kerajaan dalam menangani masalah kehadiran rakyat asing tanpa izin di Sabah melalui OPS Nyah II Bersepadu yang masih diteruskan. Saya berharap agar pemilikan MyKad tulen oleh rakyat asing tanpa izin di Sabah akan disiasat dan diambil tindakan. Laporan-laporan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PBS selama ini mengenai issu Kad Pengenalan kepada rakyat asing mesti disiasat kerana rakyat asing yang memiliki kad pengenalan tulen itu akan lambat laun menggugat keselamatan dan kedaulatan negara kita.  

Dalam konteks ini, Jabatan Pendaftaran Negara pula perlu memberi penjelasan mengenai pengumumannya berkaitan dengan pendaftaran seramai 40 ribu “stateless natives”. Apa yang dikatakan “stateless natives” itu adalah istilah baru yang membabitkan soal hak kewarganegaraan dan kedaulatan serta keselamatan negara dan sensitif. Ramai rakyat di Sabah terkeliru dan ingin tahu dari mana dan bagaimana begitu ramai stateless natives itu didaftar sebagai rakyat tempatan di Sabah sedangkan kita pernah dimaklum dahulu di Parlimen bahawa terdapat lebih kurang 22 ribu sahaja stateless persons di Negeri ini.

PEMBERSIHAN PENGUNDI HANTU

Saya berharap pendaftaran stateless natives itu sebagai warganegara tidak akan menimbulkan masalah kelak seperti kewujudan pengundi hantu yang kini sukar diatasi oleh SPR walaupun dengan bantuan teknologi yang canggih. Kita mahu semua pengundi hantu dibersihkan dari Daftar Pemilih sebelum Pilihanraya Umum akan datang. SPR mesti menggunakan mekanisme yang lebih berkesan untuk menagani masalah pengundi hantu ini dan bukan semata-mata bergantung kepada pangkalan data SPR  dan Jabatan Pendaftaran Negara yang memang sudah tercemar.

Persoalan mengapa ada lebih kurang dua juta rakyat Malaysia tidak mendaftar sebagai pengundi, walaupun berbagai usaha dilakukan untuk mendaftar mereka, pula memerlukan penyelesaian. Ini penting kerana jika fenomena ini berterusan proses demokrasi untuk kita memilih dan membentuk Kerajaan akan turut tergugat. Justeru itu, PBS sentiasa menekankan betapa pentingnya tatacara pilihanraya seperti yang diperuntukkan dibawah Perlembagaan dilindungi dan dipatuhi agar rakyat tidak hilang keyakinan terhadap sistem pilihanraya kita dan ini boleh membantut rancangan pembangunan negara kita.

PRESTASI Ekonomi negara DAN NEGERI SABAH

Mengenai pembangunan ekonomi negara, kita bersyukur kepada Tuhan kerana walaupun ancaman keganasan antarabangsa dan berbagai faktor menjejas ekonomi dunia, pertumbuhan ekonomi negara kita masih memberangsangkan. Laporan muktahir ekonomi negara menunjukkan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia pada 15 Ogos 2003 meningkat sebanyak RM1.5 billion kepada RM146.6 billion. Ini disebabkan perolehan eksport yang tinggi dan peningkatan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI). (Lihat D.E. btk 23. Ogos 2003 mks 5).  

Pencapaian KDNK 4.4% pada suku kedua tahun ini juga sangat memberangsangkan. Ini menunjukkan bahawa asas ekonomi dan pengurusan pentadbiran negara memberi keyakinan kepada para pelabur asing untuk terus melabur di Malaysia. Prestasi pertumbuhan ekonomi negara yang baik ini membanggakan, akan tetapi kita masih jauh ketinggalan berbanding dengan negara China yang pertumbuhan ekonominya menjangkau 8.3% tahun ini. Kita berdoa agar ekonomi negara terus meningkat supaya pelaksanaan pembangunan negara dapat dipercepatkan lagi.

Walaubagaimanapun, kita merasa sedih kerana kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Sabah  tidak begitu baik sekarang ini . Akibat pertumbuhan ekonomi kita yang lembab, pembangunan di Sabah, terutama di kawasan-kawasan luar bandar, tidaklah semampan seperti yang diharap-harapkan. Majlis-Majlis Daerah dan juga kebanyakan agensi Kerajaan, termasuklah Yayasan Sabah, KPD dan SAFODA, menghadapi masalah kewangan dan terpaksa mengurangkan pekerja masing-masing.

Justru itu, Kerajaan Negeri perlu mengatur tindakan strategik untuk memastikan supaya ekonomi negeri akan meningkat pertumbuhannya seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara. Kita tidak boleh hanya terus bergantung kepada Kerajaan Persekutuan untuk sumber kewangan kita. Pentadbiran kewangan Kerajaan Negeri mesti diurus dengan cekap serta amanah dan semua kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan yang terlibat mestilah mengurangkan pembaziran. Sumber kewangan negeri juga perlu dipelbagaikan, termasuklah pembangunan bioteknologi dalam bidang industri pertanian dan industri perhutanan kita.

Pembangunan ICT DAN Pendidikan Di Sabah

Pembangunan ekonomi dan industri negeri memang memerlukan bukan, sahaja kewangan, tetapi tenaga manusia yang mahir dalam bidang teknologi. Oleh itu, pembinaan kolej komuniti di setiap Kawasan Parlimen di Sabah perlu dipercepatkan untuk melahirkan tenaga manusia yang berkemahiran dalam berbagai bidang, khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan perhubungan (ICT) yang amat penting untuk pembangunan perindustrian dan urusan perdagangan elektronik (e-commerce)  di dunia tanpa sempadan sekarang.

Cadangan Kementerian Pendidikan menyedia satu komputer untuk setiap 10 murid di seluruh negara menjelang tahun 2005 sangat kita alu-alukan. Tetapi pembelajaran komputer di sekolah-sekolah luar bandar di Sabah pada masa ini masih ditahap yang rendah. Ini  disebabkan kekurangan tenaga pengajar dan bekalan elektrik untuk kegunaan komputer. Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, terutama di luar bandar di Sabah, juga tidak memuaskan kerana kekurangan guru-guru dan kelengkapan mengajar.

Kita memanglah berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi peruntukan yang banyak untuk pembangunan pendidikan di Sabah. Namun demikian, memandangkan Sabah masih menghadapi berbagai masalah dan kekurangan keperluan asas infrastuktur dan pembangunan pendidikan di kawasan-kawasan terpencil, kita berharap Kerajaan Persekutuan akan terus mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini agar jurang perbezaan tahap pendidikan di Sabah dan di lain-lain negeri dapat dirapatkan lagi.

Pembangunan Industri perMakanan

Dasar Kerajaan Negeri mengutamakan pembangunan industri pertanian seperti yang diumumkan oleh YAB Ketua Menteri, Datuk Musa Aman, adalah selaras dengan dasar Kerajaan Persekutuan. Ini penting kerana defisit negara untuk mengeksport makan tahun lalu berjumlah RM5 billion dan dijangka akan meningkat hingga RM15 billion menjelang tahun 2010 sekiranya tiada tindakan strategik untuk mengatasinya. Justeru itu PBS menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk membangunkan industri pertanian dan permakanan. Di samping dapat mengurangkan import makanan, pendekatan Kerajaan seperti itu akan dapat mempertingkatkan ekonomi masyarakat nelayan dan petani di luar bandar.

Bagaimanapun, pembangunan industri pertanian dan permakanan memerlukan infrastruktur fizikal dan prasarana pemasaran. Sokongan penyelidikan dan pembangunan (R & D) untuk menghasilan produk-produk yang mempunyai nilai ditambah (value added products) juga penting di ambil kira dalam perancangan pembangunan industri ini. Oleh itu Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan bantuan kewangan untuk penyediaan infrastruktur agar industri pertanian di Sabah akan dapat bersaing dengan industri bidang ini di negara-negara jiran.

Pelaksanaan sepenuhnya Asean Free Trade Association (AFTA) di Malaysia menjelang tahun 2005 dan kemungkinan tekanan oleh WTO akan mempunyai kesan negatif kepada para petani kita. Negara-negara Eropah dan Amerika Utara, yang memberi subsidi kepada para petani di negara masing-masing, pula pasti akan mengenakan berbagai tarif untuk menghalang hasil industri pertanian di negara kita daripada menembusi pasaran mereka. Oleh itu FAMA memainkan peranan penting untuk mencari rangkaian pemasaran hasil industri pertanian dan permakanan negara, khususnya dari Sabah, yang mungkin akan menghadapi berbagai cabaran dan saingan kelak.

Industri Pelancongan

Industri pelancongan juga berpotensi untuk menjadi penyumbang tetap kepada sumber kewangan Negeri Sabah. Walaupun industri pelancongan negara telah terjejas teruk akibat keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan faktor-faktor lain seperti ancaman pengganas antarabangsa dan wabak SARS baru-baru ini, industri pelancongan di Sabah kini sudah mulai beransur pulih. Ini menunjukkan industri pelancongan cepat pulih daripada tekanan keadaan ekonomi dunia dan berpotensi untuk dimajukan di Negeri Sabah.

Tetapi memandangkan Kerajaan membelanjakan banyak wang setiap tahun untuk menyediakan infrastruktur industri pelancongan dan juga pemasaran di luar negeri, maka Kerajaan perlu merumuskan mekanisme untuk menjadikan sektor industri pelancongan menyumbang secara langsung kepada sumber kewangannya. Kerajaan juga perlu mencari jalan bagaimana industri pelancongan dapat mempertingkatkan ekonomi rakyat di luar bandar di Sabah.

Kemiskinan dan Ekonomi Bumiputera

Kita semua merasa sedih kerana matlamat Dasar Ekonomi Baru untuk memastikan 30% daripada berbagai sektor ekonomi negara dikuasai oleh kaum bumiputera belum tercapai Seperti yang diakui sendiri oleh YAB Perdana Menteri dalam ucapan sambutan kemerdekaannya, kaum bumiputera masih jauh ketinggalan dalam bidang kegiatan ekonomi negara. Menurut YAB Perdana Menteri Dasar Ekonomi Baru berjaya mencapai 19% sahaja daripada sasarannya selepas 33 tahun pelaksanaan. Semasa pelancaran Laporan Pembangunan Manusia 2003 anjuran United Nations Development Programme (UNDP) Julai lalu (Lihat D E 31.7.2003 ms 7) Dr Ismail Mohammed Salleh pula, seorang pakar ekonomi tempatan, mendedahkan bahawa kebanyakan rakyat bumiputera di Sabah, khususnya yang tinggal di luar bandar, kembali dihantui kedaifan  akibat kegawatan ekonomi negara pada tahun 1997.

Keadaan ini amat membimbangkan dan tindakan strategik mesti diambil oleh Kerajaan untuk mempertingkatkan tahap ekonomi rakyat miskin di Sabah. Langkah-langkah postif selaras dengan matlamat Dasar Ekonomi Negara perlu diteruskan untuk membantu kaum bumiputera menceburi dan maju dalam bidang perniagaan dan industri. Ini penting diambil perhatian serious kerana seperti yang telah dikatakan oleh YAB Perdana Menteri, keseimbangan kemajuan ekonomi di antara bumiputera dan bukan bumiputera merupakan kunci kepada kemakmuran dan keamanan berterusan dalam negara kita.

Kaum bumiputera memerlukan suntikan kuasa ekonomi dalam bentuk baru yang membolehkan mereka bersaing dalam perniagaan di dunia tanpa sempadan sekarang. Pembentukan perkongsian pintar (smart partnership) dengan penyeliaan dan pemantauan Kerajaan di antara bumiputra yang berpelajaran tinggi dan bukan bumiputera adalah antara cara untuk membantu bumiputera meningkatkan taraf ekonomi bumiputera. Keutamaan pemberian kontrak untuk melaksanakan berbagai projek oleh Kerajaan boleh diberilah kepada smart partnership ini. Cara ini juga akan membawa kebaikan semua pihak (win-win situation) kerana di samping dapat mengurangkan sifat Ali Baba oleh bumiputera, ianya juga akan dapat memupuk perpaduan berterusan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara kita. 

Dasar Tanah

Tanah bergeran NT yang amat rendah nilainya juga mempunyai kesan buruk dan tidak dapat membantu dalam usaha Kerajaan mempertingkatkan ekonomi kaum bumiputera. Ada institusi kewangan yang tidak mahu menerima tanah bergeran NT sebagai cagaran kerana kegunaannya khas untuk pertanian sahaja dan sukar dijual kerana tiada pasaran. Akibatnya, ramai bumiputera menghadapi kesukaran untuk mencebur diri dalam dunia perniagaan dan lantaran tanah mereka menjadi tanah terbiar.

Kerajaan perlu mencari mekanisme untuk menaikkan nilai tanah bergeran NT supaya hak kaum bumiputera sebagai pemilik tanah tidak dapat dieksploitasikan secara negatif. Memang hak milik tanah bergeran NT yang berkekalan sekarang  penting juga dikekalkan. Tetapi dasar baru yang bakal digubal oleh Kerajaan berkaitan dengan pemilikan tanah oleh kaum bumiputera mesti lah mengambil kira keadaan sebenar dan keperluan bumiputera mendapat pinjaman untuk membiayai anak-anak mereka melanjutkan pelajaran atau untuk menceburi bidang perniagaan  agar mereka tidak terus ketinggalan.

Masanya mungkin sudah tiba membenarkan tanah bergeran NT diguna untuk pembangunan semua jenis kegiatan ekonomi seperti komersil dan perindustrian atau perumahan dan perhotelan, tertakluk kepada  zoning kawasan, dan tanpa di ambil (acquired) oleh Kerajaan. Dan jika ada permintaan, kaum bumiputera juga wajar dibenarkan memiliki tanah NT mereka atas nama syarikat. Ini akan membolehkan kaum bumiputera mendirikan apartment sebagai rumah ahli-ahli keluarga mereka sendiri, khususnya yang tinggal diluar  bandar atau di sekitar bandar dan kondominium atau hotel untuk perniagaan dan diurus atas nama syarikat keluarga mereka sendiri.

Akhir-akhir ini pula Kerajaan tidak memberi geran tanah yang berkecuraman melebihi 25 darjah. Dasar ini mungkin perlu dikaji semula kerana kecuraman tanah di Sabah hampir kesemuanya melebihi 25 darjah. Ini bererti, jika dasar ini diteruskan, rakyat terutamanya di luar bandar akan lebih terpinggir. Tiada lagi tanah rata yang boleh dipohon oleh rakyat di Sabah kerana semua tanah yang rata telahpun dimiliki oleh saudagar-saudagar, terutama melalui pelaksanaan FMU.

Seperti yang telah didedahkan oleh SUHAKAM minggu lalu ramai rakyat bumiputra menghadapi masaalah berkaitan dengan permohonan tanah.

Kerajaan mesti mencari jalan mempercepatkan lagi pengeluaran geran tanah kepada rakyat, termasuklah tanah yang dimiliki menurut adat resam seperti padang ragut (grazing reserve) untuk membantu mereka bergiat dalam perniagaan dan industri pertanian.

Pemeliharaan ALAM SEKITAR

Kerajaan juga mesti memastikan tadahan bekalan air negeri tidak tercemar. Sekali lagi saya menyarankan supaya kawasan tadahan air di seluruh Sabah diwartakan dan tidak boleh dibuka untuk kegiatan ekonomi. Saranan ini adalah selaras atau disokong oleh pandangan seorang pakar air daripada Danish Water Resorces & Training. Mr Jesper Dannisoe semasa menghadiri bengkel mengenai bekalan air di UMS Kota Kinabalu (See D.E. dd. 10 Jun 2003 pg. 3) antara lain beliau berkata: “ So, at the early stage we must understand that water is very important and we try to protect those areas which produce water..” Saya berharap Kerajaan akan bertindak seperti yang di cadangkannya itu. Di Tambunan salah satu tadahan airnya sudah mula tercemar akibat pembalakan haram.

Langkah dan tindakan Kerajaan Negeri yang peka kepada suara dan pandangan rakyat wajar di puji dan dihargai. Kepekaan ini jelas dalam pembatalan pemberian tanah untuk pembangunan di Teluk Likas. Kita memang menyokong tindakan Kerajaan ini dan bangga kerana PBS sendiri telah meluluskan satu resolusi di dalam Perhimpunan Agung Tahunannya beberapa tahun yang lalu membantah cadangan penimbusan Teluk Likas itu.

Kita juga berharap agar Kerajaan akan berhati-hati dalam membuat kajian kemungkinan penerokaan hasil asli seperti arang batu dan emas yang terdapat di Lembah Maliau. Ini penting agar imej negeri kita dari segi pemeliharaan alam sekitar tidak terjejas.

Bekalan Tenaga Elektrik

Bekalan elektrik yang mencukupi dan bayaran tarif yang murah amat penting untuk menarik pelabur asing melabur ke negeri Sabah dan juga untuk rakyat biasa. Oleh itu, keazaman Kerajaan membekalkan elektrik kepada semua penduduk di Sabah menjelang tahun 2005 memang baik dan kita memang mengalu-alukan. Tetapi adalah difahamkan Sabah mungkin menghadapi bekalan elektrik menjelang tahun 2007. Untuk memastikan Sabah mempunyai bekalan elektrik yang mencukupi, cadangan pembinaan Hydro di Liwagu, yang telahpun memakan belanja ratusan juta ringgit untuk membuat kajian kemungkinannya, perlu dipercepatkan.

Kejadian blackout di Amerika dan Kanada baru-baru ini menjadi iktibar kepada kita dan penting diambil kira dalam penyediaan raangkaian infrastruktur bekalan elektrik ke Sabah dari Bakun Sarawak. Seperti kita semua sedia maklum, baru-baru ini, lima negeri di Semenanjung telah juga mengalami gangguan letrik berjam-jam dan menyebabkan keugian RM30 juta. Sebenarnya kita di Sabah sering mengalami keadaan yang sedemikian dimana bekalan letrik tiba-tiba sahaja terputus. Ini perlu diatasi kerana para pelabur asing tentu akan membuat perhitungan mengenai bekalan tenaga elektrik kita yang konsisten sebelum mereka membuat keputusan melabur di Sabah.

Perkhidmatan Awam

Perkhidmatan Awam Sabah sebagai enjin pelaksanaan segala dasar Kerajaan juga memainkan peranan yang penting untuk pembagunan industri dan ekonomi negeri. Untuk memastikan kecekapan dalam Perkhidmatan Awam Sabah, tindakan disiplin yang tegas mesti diambil mengikut keperluan dan tanpa pilih kasih agar pembangunan negara berjalan lancar dan imej Kerajaan tidak terjejas. Untuk rakyat di kampung-kampung, kelemahan kakitangan dan pegawai-pegawai Kerajaan menjalankan tugas dianggap kelemahan Kerajaan juga. Apatah lagi jika tindakan tidak diambil terhadap mereka yang tidak menjalankan tugas secara professional atau tidak amanah.

Untuk itu, memang wajar ACA mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan penyelewengan dalam Perkhimatan Awam dan agensi-agensi Kerajaan. Saya juga mengalu-alukan keputusan Kerajaan mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai Kerajaan yang membuang masa, seperti bermain golf waktu masa kerja. Pegawai-pegawai Kerajaan perlu bijak membahagi masa kerja dan bersukan. Ini kerana mereka dibayar gaji untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukan untuk menghabiskan masa mereka bermain di padang golf atau bersukan waktu masa kerja.

Sementara itu, keputusan Suruhanjaya mengenai kenaikan pangkat kakitangan dan pegawai-pegawai Kerajaan mesti dihormati dan dilaksanakan supaya kewibawaan dan prestasi Perkhidmatan Awam Negeri tidak terjejas. Kenaikan gaji dan kenaikan pangkat dalam Perkhidmatan Awam wajar dilakukan berasaskan merit seseorang dan bukan adanya kaitan politik atau bangsa.

Pentadbiran Berkuasa Tempatan

Pihak-pihak berkuasa tempatan di Sabah juga perlu peka terhadap keperluan rakyat dalam menyediakan perkhidmatan di kawasan masing-masing. Masalah parking fees yang mahal dalam kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu memerlukan penyelesaian segera. Kelemahan perkhidmatan seperti pemotongan rumput dan pemungutan sampah-sarap atau pembersihan parit dalam kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu mesti di atasi segera.

Saya difahamkan ada pihak berkuasa tempatan yang mengenakan bayaran perkhidmatan walaupun tidak meyediakan apa-apa perkhidmatan kepada rakyat. Ini mesti dikaji semula kerana adalah tidak munasabah kita minta rakyat membayar perkidmatan yang tidak pula disediakan oleh pihak berkenaan kepada rakyat.

Pembangunan dan Pentadbiran Luar Bandar

Tidak boleh dinafikan bahawa kerajaan telah berusaha membawa berbagai pembangunan untuk rakyat di luar bandar. Tetapi saya berharap kerajaan akan memberi keutamaan kepada pembangunan diluar bandar dengan memberi peruntukan yang besar untuk pembangunan infrastruktur dan mempertingkatkan ekonomi rakyat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membasmikan kemiskinan rakyat diluar bandar.

Ketua-Ketua Anak Negeri atau Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK, sebagai ejen perubahan dan  pelaksanaan pembangunan Kerajaan di akar umbi, juga mesti menjalankan tugas masing-masing dengan jujur dan berkesan. Ini saya sentuh kerana ada lapuran bahawa ada Ketua-Ketua Anak Negeri atau Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi-Pengerusi JKKK tidak menjalankan tugas mereka kepada rakyat dengan jujur atau bertanggungjawab.

Sikap atau tingkah laku mereka yang tidak jujur dan bertanggungjawab ini sudah pasti merugikan rakyat di kampung masing-masing dan juga Kerajaan. Oleh itu, Kerajaan perlu meminda Ordinan Pentadbiran Luar Bandar 1953 dengan mengadakan peruntukan berkaitan dengan keberkesanan pentadbiran di luar bandar seperti perlantikan dan akauntibiliti Ketua-Ketua Anak Negeri atau Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK kepada rakyat dan juga Kerajaan.

Dalam hubungan ini cadangan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Badawi sendiri supaya JKKK di undi dan bukan di lantik adalah penting diambil kira dan dilaksanakan.

Masalah Pengangguran

Tindakan positif dan berkesan untuk menangani masalah pengangguran di Sabah adalah juga perlu diambil oleh Kerajaan. Bukan sahaja lepasan SPM tetapi ramai juga graduan yang menganggur sekarang dan masalah ini mesti diatasi. Pengurangan pekerja oleh agensi-agensi Kerajaan dan syarikat swasta akhir-akhir ini melalui VSS memburukkan lagi keadaan pengangguran di Sabah. Program bimbingan kerjaya untuk para lepasan sekolah juga mustahak diadakan kerana ramai ibu bapa di luar bandar menghantar anak-anak mereka mengikuti kursus pengajian tinggi swasta. Tetapi kebanyakan anak mereka menganggur pula selepas tamat pengajian dan ini merugikan semua pihak.

SAHAM AMANAH SABAH

Saya juga menyentuh tentang nilai Saham Amanah Sabah yang pada masa ini hanya lebih kurang RM0.19 sen sahaja. Keadaan ini bukan sahaja merugikan rakyat yang terlibat tetapi menghakis kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan mereka yang mengurus dana yang diamanahkan oleh rakyat melalui Saham Amanah Sabah itu kepada Kerajaan. Oleh itu, Kerajaan perlu mencari jalan untuk membantu menaikkan nilai Saham Amanah Sabah itu selepas Pilihanraya Umum Negeri kelak.

PILIHANRAYA UMUM NEGERI DAN PARLIMEN

Mengenai Pilihanaraya Umum Negeri dan juga Parlimen, saya sedar bahawa ahli-ahli dan penyokong-penyokong PBS tidak mahu perjuangan parti kita ditelan sejarah begitu sahaja. Mereka mengharapkan agar PBS diberi peluang bertanding seberapa banyak Kerusi DUN dan Kerusi ADR dalam Pilihanraya Umum akan datang agar kekuatan sokongan PBS kepada Barisan Nasional dapat direalisasikan atau diterjamahkan dan seterusnya menyumbang kepada kemanagan BN yang lebih besar. Kemahuan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PBS itu akan kita sampaikan untuk pertimbangan oleh pucuk kepimpinan Barisan Nasional.

Bagaimanapun, tugas di hadapan kita sekarang ialah memastikan jentera pilihanraya PBS di semua peringkat siap sedia menghadapi Pilihanaraya Umum Negeri dan juga Parlimen. Ini mesti kita lakukan tidak kira bila ianya  diadakan tanpa diganggu oleh perasaan berapakah kerusi yang akan diberikan kepada PBS. Seperti kata YAB Perdana Menteri, semua calon BN adalah calon kita juga dan sebagai komponen Barisan Nasional kita mesti pastikan semua calon BN akan menang dengan kelebihan undi yang banyak.

Penutup

Sebagai mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya mengingatkan kita semua untuk bersyukur  dan berdoa kepada Tuhan supaya negara kita ini terus aman dan makmur. Sempena dengan sambutan hari kemerdekaan negara, kita juga wajar menghayati perjuanagan dan berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin negara kita terdahulu dan juga yang ada sekarang. Mereka  bukan sahaja telah berjuang menuntut kemerdekan tetapi bijak mengisi kemerdekaan negara kita dengan merancang pembangunan dan memupuk perpaduan rakyat. 

Ketokohan semua pemimpin-pemimpin negara mesti dicontohi dengan meyemarakkan lagi semangat patriotisme. Semangat cintakan negara kita pula perlu diterjemahkan dengan melakukan kegiatan-kegiatan yang baik dan terus memelihara perpaduan dan kestabilan politik dalam negara ini. Ini penting kerana dengan adanya perpaduan dan keharmonian, Kerajaan akan dapat menumpukan masa untuk melaksana pembangunan dan menggemblengkan tenaga menghadapi apa juga cabaran kepada negara kita.

Dalam konteks yang sama, saya berharap agar semua calon-calon yang bertanding apa juga jawatan semasa pemilihan parti tahun 2003 ini akan mengutamakan perpaduan dalam parti. Kita mesti sentiasa ingat bahawa kita berjuang dalam politik untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukan mencari glamour dalam jawatan untuk kepentingan diri sendiri sahaja. Saya tekankan ini kerana kita perlu menggemblengkan tenaga dan menumpukan sepenuhnya perhatian untuk menghadapi Pilihanraya Umum Negeri dan Parlimen yang tidak lama lagi diadakan.

Walaupun PBS kini menyertai Barisan Nasional, ini bukan bererti semua calon-calon kita dalam pilihanraya tetap menang. Kemenangan calon-calon dari parti komponen Barisan Nasional yang lain juga belum terjamin. Justeru itu, kita tidak boleh bersenang-lenang atau complacent kerana ketiadaan parti pembangkang yang kuat di Sabah sekarang. Sebaliknya, kita mesti mengimbas kembali sejarah mengejut keputusan pilihanraya di Sabah di masa-masa lalu. Justru itu, semua ahli dan juga penyokong PBS mesti berkerja keras untuk memastikan semua calon BN menang dengan majoriti undi yang terbanyak.

Sebelum, saya mengakhiri ucapan dasar Presiden ini, saya ingin menyampaikan satu rayuan yang kecil dan sederhana kepada pehak Kementerian Kerajaan yang berkenaan. Ini adalah berkaitan dengan soal penyampaian maklumat dan soal meningkatkan lagi kesedaran dikalangan rakyat wargatua-wargatua kita yang buta huruf dan kurang fasih dalam pertuturan Bahasa Malaysia atau Melayu supaya maklumat mengenai dengan dasar kerajaan BN, misalnya, boleh di fahami oleh mereka diluar-luar bandar. Rayuan ini ialah meminta supaya penyempaian berita ditelevision dalam bahasa Kadazandusun dipertimbangkan, walaupun dalam masa yang singkat, misalnya lima atau sepuluh minit. Ini akan membolehkan penyibaran maklumat penting dengan lebih effective dan berkesan. Bahkan, iah akan menggembirakan orang-orang tua kita kerana mereka boleh menikmati sedikit-sebanyak hasil daripada kemerdekaan dan pembetukan negara Malaysia.

Dengan kata-kata demikian, saya dengan harapan yang tinggi mengishtiharkan Perhimpunan Agung Tahunan PBS kali yang ke 18 ini dimulakan dengan rasminya. Dan untuk menguatkan lagi semangat perjuangan kita, marilah kita semua berdiri dan melaungkan tiga kali cogankata perpaduan parti kita:  Bersatu, Bersatu, Bersatu.

 Sekian, terima kasih dan selamat bersidang.