Home
News

 
 
 
 
CURRENT NEWS

Pelbagai Skim Bantuan diterima pelajar miskin bukti kesungguhan Kerajaan belia nasib rakyat

TAMBUNAN, Mac 3 -- Pelbagai skim untuk membantu pelajar miskin mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik bukti kesungguhan kerajaan membela nasib rakyat kurang berkemampuan khususnya di luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata, kerajaan amat prihatin terhadap nasib pelajar miskin ini dan usaha ini dapat dilihat melalui pelbagai skim bantuan yang disampaikan baik di peringkat kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, usaha ini hanya menjadi sia-sia sekiranya ibubapa dan pelajar itu sendiri tidak mempunyai kesedaran untuk memberikan keutamaan dalam soal pendidikan kepada anak-anak.

Ibubapa dan pelajar perlu menyedari usaha bersungguh-sungguh kerajaan dalam membantu pelajar luar bandar mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

'Harus diingatkan bahawa pendidikan amat penting kerana tanpa pendidikan, potensi diri tidak akan dapat dikembangkan sepenuhnya ke arah memperbaiki kehidupan yang lebih baik.

Beliau berkata demikian di majlis penyerahan cek Skim Bantuan Khas Kumpulan Yayasan Sabah peringkat Dewan Undangan Negeri kawasan Tambunan yang diadakan di Mini Dewan Majlis Daerah Tambunan, dekat sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pentadbir Zon Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Utara, Fedrick Junius; Pegawai Daerah Tambunan, Thomas Angor, Pemimpin Kemajuan Rakyat kawasan Tambunan, Laiwon Dalus dan wakil dari Pejabat Pelajaran Daerah Tambunan, Puan Rose Sarus.

Dalam majlis berkenaan, seramai 52 pelajar terdiri dari pelajar sekolah rendah dan menengah dari sekitar daerah Tambunan menerima bantuan berjumlah RM5,000 yang masing-masing menerima RM100 (sekolah menengah) dan RM70 (sekolah rendah).

'Walaupun bantuan ini tidak seberapa tetapi sekurang-kurangnya mampu mengurangkan beban perbelanjaan untuk tujuan pembelian barang keperluan sekolah dan juga bagi tujuan membayar yuran Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG).

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, program sumbangan Yayasan Sabah yang dilancarkan sejak tiga tahun lepas itu adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk membantu masyarakat luar bandar khususnya dalam soal pembangunan modal insan.

'Matlamat kita adalah meningkatkan tahap pendidikan masyarakat di luar bandar sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan anak-anak tidak mewarisi kemiskinan sekaligus membawa keluarga mereka keluar dari garis kemiskinan yang masih agak tinggi di negeri ini.

Jelasnya, Skim bantuan khas ini adalah sebagai tambahan kepada skim bantuan lain yang diberikan kerajaan seperti Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, Program Rancangan Makanan Tambahan, Skim Baucer Tuisyen dan Skim Pinjaman Buku Teks.

Justeru itu, ibubapa perlu menyedari seterusnya memainkan peranan mereka dalam memberikan dorongan semangat dan memastikan keperluan pembelajaran anak-anak sentiasa mencukupi.

'Apabila menerima bantuan daripada mana-mana pihak, jangan anggap ianya sebagai satu perkara yang biasa sebaliknya bantuan ini seharusnya menimbulkan kesedaran yang menjadi galakkan untuk mengejar kejayaan dengan semangat yang tinggi.'

Sementara itu, anak-anak yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan ini perlu memberikan fokus terhadap peranan mereka sebagai pelajar bagi mempersiapkan diri menghadapi dunia yang semakin mencabar ini.


 

 

 

 

Copyright © Sabah United Party (Parti Bersatu Sabah), Malaysia. All rights reserved.
First published: 22-Sep-1997   Updated: 21-Mar-2009 Email: webmaster