UCAPAN DASAR

PRESIDEN PARTI BERSATU SABAH (PBS)

YB DATUK SERI PANGLIMA JOSEPH PAIRIN KITINGAN SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN PARTI BERSATU SABAH (PBS) KE-24

PADA 7HB HINGGA 9HB NOVEMBER 2009

DI HONGKOD KOISAAN, PENAMPANG 
 

PENGENALAN 
 

  1. Salam Bersatu dan Salam 1Malaysia. Pertama sekali saya ingin memanjatkan pujian dan ucapan syukur kepada Tuhan yang Maha Kuasa kerana kebaikan dan kemurahanNya maka pada tahun ini PBS mencapai umur ke-24 tahun. Sepanjang 24 tahun ini, sering kali saya di sedarkan bahawa hanya kerana usaha gigih dan kasih Tuhan sahajalah kita dapat sampai di sini.

 

  1. Saya insaf bahawa sebagai manusia kita dapat merancang banyak perkara yang besar, perkara yang indah dan mengkagumkan untuk parti, untuk rakyat, untuk Sabah dan untuk Malaysia. Namun hanya dengan usaha gigih kita semata-mata, kita cenderung menempuh kegagalan. Sesungguhnya kita memerlukan ‘divine intervention’ untuk merealisasikan setiap perancangan yang bermakna dan berfaedah itu. Tanpa Tuhan sia-sialah usaha kita. 

 

  1. Terima kasih atas kehadiran para perwakilan dari setiap kawasan serta sokongan kental dan berterusan pemimpin-pemimpin serta perwakilan parti. Sesungguhnya sokongan saudara saudari sekalianlah yang telah membolehkan parti kita wujud dan mencapai umur 24 tahun pada tahun ini.

 

Tuan-tuan dan puan-puan, sidang perwakilan sekalian; 

  1. Dalam dunia 24 jam merupakan masa dalam sehari. Orang yang bijaksana dan mempunyai matlamat hidup akan duduk dan membuat renungan (reflection) dan penilaian diri mengenai bagaimana dia telah menggunakan waktu sepanjang hari tersebut. Apakah dia telah mengisi setiap waktu yang telah berlalu itu dengan betul dan bermakna?

 

  1. Sekiranya tidak dia akan berfikir mengenai apakah lagi yang perlu dilakukan, apakah pembaikan yang perlu dibuat, dia akan merancang bagaimana supaya hari yang baru yang akan menjelang tiba tidak akan sama seperti hari yang telah berlalu. Semua yang dilakukannya adalah fokus dan terarah kepada satu tujuan yakni mencapai visi yang menjadi impian hidupnya.

 

  1. Dalam dunia pembelajaran, umur 24 tahun ini lazimnya adalah umur di mana seseorang itu dianugerahkan ijazah pertama (sarjana muda/bachelor degree) di menara gading setelah bertungkus lumus belajar selama 3 hingga 4 tahun. Penganugerahan ini tidak bermakna berakhir sudah perjalanannya tetapi ia merupakan satu peralihan (transition) memasuki satu perjalanan yang baru yakni alam kerjaya yang lebih mencabar tetapi penuh bermakna dan memuaskan. Walaupun demikian, ianya hanya akan menjadi suatu kenyataan dan kejayaan yang besar sekiranya disaluti dengan visi dan matlamat yang jelas, perancangan, disiplin, ketekunan, ketabahan dan kesabaran.

 
 

  1. Dalam PBS kita juga telah mencapai umur 24 tahun. Syukur sekali lagi kepada Tuhan. Umur 24 tahun adalah ’milestone’ yang bermakna dan bersejarah bagi rakyat Malaysia di Sabah. Sepanjang ingatan saya tidak ada satu parti tempatan sebelum PBS yang berjaya mencapai umur ini dan masih berdiri dengan gagah dan mendapat tempat yang istimewa di hati rakyat di negeri Sabah. Kebanyakannya kecundang diperjalanan, dibuang dan dilupakan oleh rakyat. Kita adalah yang paling dewasa dan semestinya lebih matang.

 

  1. Kitalah peneraju, kitalah barisan hadapan. Tetapi apakah maknanya untuk kita ahli-ahli Parti Bersatu Sabah? Apakah ini akhir satu perjalanan? Apakah kita berpuas hati dan mula pekak dan leka dalam keselesaan kita? Atau perlukah kita duduk dan merenungkan masa lalu kita supaya kita dapat menilai kekuatan dan kelemahan kita, kelebihan dan kekurangan kita agar dapat kita menggarap dan mencorak strategi baru yang lebih tajam dan berkesan bagi menghadapi perjuangan yang lebih mencabar di masa depan.

 

Tuan-tuan dan puan-puan, para perwakilan sekalian; 

  1. Kedewasaan tidak bermakna sekiranya tidak disertai dengan kematangan. Saya percaya Kongres kali ini adalah waktu untuk kita menilai apa yang telah kita lalui, apakah yang bakal kita lalui dan seterusnya apakah yang perlu kita lakukan demi memastikan parti kita terus menjadi relevan selaras dengan kehendak rakyat Sabah. Sesungguhnya perjalanan kita selama 24 tahun ini bukanlah perjalanan yang enak dan nikmat semata-mata tetapi bukan juga satu perjalanan yang muram dan suram tetapi merupakan satu perjalanan yang berwarna-warni.

 

  1. Diwarnai dengan suka duka, airmata dan senyuman, kesetiaan dan pengkhianatan, kealpaan dan kebijaksanaan. PBS telah mencapai tahap sebuah parti yang dapat menjadi medan pembelajaran dan pengamalan ilmu berpolitik yang berkesan. Kita kaya dengan pengalaman. Kita dipimpin oleh para pemimpin yang teruji dan tahan lasak. Kita dianggotai oleh ahli-ahli yang terbukti kesetiaannya.

 

  1. Marilah kita terus memainkan peranan kita kerana sesungguhnya kita bukanlah yang terkecil dan terkebelakang di dalam politik Sabah bahkan kita boleh berbangga menjadi parti tertua dari Sabah yang masih wujud dan aktif. Ahli-ahli parti mesti mula menjadi pencetus idea dan bukan sekadar penerima idea. Ahli-ahli parti mesti mula menjadi penggerak kepada perubahan dan bukan sekadar penerima perubahan, ahli-ahli parti mesti mula menjadi penunjuk arah dan bukan sekadar menjadi pengikut dibelakang.

 
 
 
 

Tuan-tuan dan puan-puan, yang dihormati; 

  1. Kita perlu bangkit dan bersinar di tengah-tengah masyarakat negeri Sabah dan Malaysia. Kita boleh, PBS boleh. Apabila kita menterjemahkan peranan dan penglibatan kita dalam amalan dan tindakan dalam konteks negeri Sabah dan Malaysia ini bermakna PBS adalah jentera dan kenderaan kita.

 

  1. Kita tidak perlu malu, kita tidak perlu segan, kita tidak perlu rendah diri kerana PBS adalah sebuah jentera, sebuah kenderaan yang terbukti unggul dan boleh dipercayai. Di dalam PBS kita akan pasti sampai ke destinasi tujuan kita bersama. Tetapi kita juga tidak boleh angkuh, bongkak dan sombong sehingga kita mencipta jurang yang boleh memisahkan kita daripada rakyat jelata.

 

  1. Pemisahan sedemikian mengundang banyak implikasi negatif kepada parti dan ahli-ahli parti. Kita perlu selalu ingat bahawa ada orang di luar sana yang memerlukan kita. Mereka memperhatikan kita, menilai tindak tanduk kita, menunggu kita menghulurkan tangan untuk membantu mereka keluar daripada keperitan dan masuk ke dalam kehidupan yang lebih baik.

 

PERJUANGAN PBS 

  1. Kalau kita semakin jauh daripada mereka, kita menjadi tidak relevan dan tidak bermakna bagi mereka lagi. Akhirnya kita akan dipinggir dan dilupakan. Kita mesti ingat bahawa perjuangan kita adalah perjuangan rakyat, perjuangan parti adalah untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. Jadi gunakanlah PBS sebagai saluran untuk melibatkan diri dan mengambil bahagian dalam pembentukan dasar dan program pembangunan di peringkat Nasional dan negeri Sabah.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian; 

  1. Sekadar satu imbasan kepada kita semua, pada kesempatan ini suka saya menyebut kembali visi dan misi perjuangan PBS agar ianya kembali segar dalam ingatan dan sanubari kita semua, juga pada masa yang sama dapat kita menilai sejauh mana pencapaian kita selama ini.

 

  1. Misi perjuangan PBS antaranya ialah untuk memperjuangkan demokrasi dan berwawasan untuk membina negeri Sabah yang maju, harmoni dan bersatu melalui proses demokrasi berparlimen yang tulen. Kita juga berusaha untuk menjaga hak-hak dan kuasa autonomi Sabah, hak asasi manusia dan menegakkan keadilan. Selain daripada itu, kita turut memperjuangkan hak-hak istimewa kaum Bumiputera dan kepentingan kaum lain, memelihara budaya tradisional setiap kaum di Sabah serta kebebasan beragama di Malaysia.

 
 
 
 
 
 

Tuan-tuan dan puan-puan, para perwakilan sekalian; 

GAGASAN 1MALAYSIA 

  1. Di bawah kepimpinan yang baru, kita telah dilontarkan dengan satu wawasan, satu impian yang baru yakni Gagasan 1Malaysia. Konsep 1Malaysia ini telah diilhamkan oleh YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak yang kita kasihi dan hormati. Ia merupakan satu gagasan yang berani, strategik dan tepat pada masanya. Gagasan ini amat dekat di hati saya kerana ia mengingatkan saya kepada apa yang diperjuangkan oleh PBS semenjak penubuhannya pada tahun 1985. Konsep ini sememangnya relevan dan seiring dengan hasrat Kerajaan Malaysia untuk mewujudkan satu bangsa dan Negara yang aman, damai, bersatu padu dan maju.

 

  1. Justeru, saya yakin bahawa konsep 1Malaysia ini adalah satu pendekatan yang tepat dan terbaik untuk memastikan aspirasi Negara iaitu Wawasan 2020 dapat direalisasikan. Saya memberi jaminan bahawa PBS akan terus menyokong hasrat murni Kerajaan dalam perlaksanaan konsep 1Malaysia di mana “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.

 

  1. Dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia ini, adalah merupakan satu cabaran untuk menyatupadukan rakyat. Sebelum ini memang kita telah berada pada landasan perpaduan yang betul namun pengenalan kepada konsep 1Malaysia ini telah melonjakkan kita ke satu tahap yang lebih tinggi dalam sejarah pembinaan bangsa Malaysia yang tulen.

 

  1. Apakah ertinya semua ini? Kenyataan rakyat di dahulukan, prestasi diutamakan. Rakyat di sini pada hemah saya adalah merujuk kepada bangsa Malaysia bukan bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India, bangsa Kadazandusun atau Iban tetapi ia merujuk kepada Bangsa Malaysia.

 

  1. Bangsa Malaysia adalah warganegara Malaysia yang bermastautin dengan sah di negara ini tanpa mengira keturunan, latarbelakang dan agamanya. Satu haluan, satu tujuan dan satu identiti nasional namun dalam masa yang sama keunikan setiap kaum ini dihargai, dikekalkan serta dipertahankan. Inilah Bangsa Malaysia. Inilah yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri kita yakni mendahulukan rakyat Malaysia. Ini bermaksud tiada satu kaum yang dahulukan dan tiada satu kaum yang dibelakangkan.

 

  1. Tiada satu negeri diutamakan dan negeri lain diketepikan mengikut prinsip keadilan. Sementara itu, para pemimpin yang diangkat oleh Bangsa Malaysia ini, perlulah sedar bahawa mereka berada di tempat itu bukan untuk mendahulukan diri mereka atau kaum mereka sahaja tetapi untuk rakyat yakni Bangsa Malaysia. Memang sudah tiba masanya kita melihat kaum-kaum di Malaysia ini sebagai Bangsa Malaysia.

 
 
 

  1. Rakyat yang memerlukan pertolongan perlu dibantu, negeri yang memerlukan pembangunan perlu dibangunkan tanpa melihat perbezaan dan kepelbagaian yang wujud. Kriteria pembangunan, kriteria pelantikan, kriteria penganugerahan bila sahaja dan di mana sahaja tidak boleh lagi berasaskan kepada agenda kaum, kepercayaan dan agama, warna kulit, bahasa atau pelbagai perbezaan yang lain yang boleh menyebabkan diskriminasi tetapi haruslah berasaskan keperluan dan merit.

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang hormati; 

  1. Persoalannya apakah aspek yang perlu didahulukan untuk rakyat itu? Sebagai sebuah parti dari negeri Sabah dan sebagai pemimpin rakyat di negeri ini sudah tentulah saya akan melihat semua aspek yang perlu didahului itu berdasarkan kacamata negeri Sabah. Saya tidak mahu mentafsir atau bercakap untuk negeri lain walaupun perjuangan kita untuk pembangunan dan keadilan untuk semua lapisan masyarakat di negara ini. Saya sedar setiap individu, setiap negeri mempunyai keperluan yang mungkin berbeza daripada yang lain.

 

  1. Pada hemah saya negeri Sabah ini masih dalam golongan negeri yang mundur di Malaysia. Rakyatnya masih banyak yang hidup dalam keadaan kemiskinan, kemudahan asas dan infrastrukturnya jauh daripada memuaskan, peluang pekerjaan dan pendapatannya juga masih rendah. Daripada aspek pendidikan pula, anak-anak kita masih banyak yang tercicir daripada pendidikan formal kerana kedudukan atau jarak sekolah yang jauh dan ditambah dengan kekurangan kemudahan jalan raya yang baik. Kemudahan kesihatan juga masih belum mencukupi.

 

  1. Sekolah-sekolah yang ada khususnya di kawasan pedalaman masih berada dalam keadaan yang serba kekurangan, tidak lengkap dan daif. Keadaan ini menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran dan sudah tentulah mendatangkan kesan yang tidak baik kepada pencapaian para pelajar.

 

  1. Daripada segi sosial dan keselamatan pula, kita masih dihantui oleh masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berkeliaran secara terbuka di negeri kita. Kebanyakan mereka ini membawa bersama mereka pelbagai amalan dan budaya sosial yang buruk seperti menagih dadah, mencuri, merompak, dan pelbagai pelanggaran undang-undang yang lain.

 

  1. Kepincangan sosial yang lain seperti penyakit dan budak-budak jalanan (street children) dan pengemis juga meningkat hasil bawaan para pendatang asing tanpa izin ini. Keadaan ini amat memalukan dan merosakkan imej negeri Sabah khususnya di kalangan para pelancong asing yang datang ke Sabah.

 

  1. Di satu segi kita melaburkan begitu banyak wang untuk mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan tetapi daripada segi yang lain terdapat masalah-masalah sosial yang tidak ditangani menjadi perosak imej kita. Para pendatang tanpa izin ini juga digunapakai oleh golongan tertentu untuk kepentingan dan agenda politik mereka. Pada dasarnya pendatang tanpa izin ini sekiranya tidak ditangani segera akan mengancam keselamatan negara khususnya di negeri Sabah ini.

 
 

Sidang perwakilan sekalian; 

  1. Sebagai pemimpin-pemimpin yang sayangkan negeri ini, kita melihat inilah antara aspek-aspek yang perlu didahulukan (diselesaikan). Saya percaya rakyat negeri Sabah mengimpikan cahaya lampu letrik terang benderang menerangi kegelapan malam di kampung-kampung dari utara sampai ke selatan dari timur ke sampai ke barat. Rakyat Sabah mengimpikan minum dan mandi air bersih daripada bekalan air paip.

 

  1. Rakyat Sabah mengimpikan lebuhraya berkembar menghubungkan bandar-bandar seluruh Sabah, jalan berturap menghubungkan kampung-kampung tidak kira berapa jauh di pedalaman. Rakyat Sabah mengimpikan anak-anak kita bersekolah di sekolah yang serba lengkap yang boleh mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dan merangsang minda.

 

  1. Rakyat Sabah mengimpikan agar anak-anak kita bukan sekadar tahu membaca, mengira dan menulis tetapi berpendidikan dan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang ilmu dan pengetahuan. Saya yakin dan percaya di bawah kepimpinan baru yang diterajui oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak, sesungguhnya harapan kita kian menjadi kenyataan.

 

BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NEGARA (NKRA) DAN PENGUKUR PRESTASI PENCAPAIAN (KPI -KEY PERFORMANCE INDEX) 

  1. Di bawah pentadbiran YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak, beliau telah menggariskan  matlamat-matlamat tertentu yang akan diberi perhatian khusus sejajar dengan gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Enam bidang keberhasilan Utama Negara (NKRA) adalah merupakan salah satu langkah penting dalam agenda inovasi bagi melonjakkan negara ke tahap ekonomi berpendapatan tinggi.

 

  1. Saya melihat keenam-enam KRA berkenaan adalah signifikan dan relevan tetapi sekurang-kurangnya ada empat yang dekat dengan hati dan perjuangan PBS selama ini dan merupakan keperluan mendesak bagi negeri Sabah. Keempat-empat KRA tersebut termasuklah 1. Meluaskan akses kepada  pendidikan berkualiti dan berkemampuan, 2. Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman (air, jalanraya, elektrik), 3. Meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah (pembasmian kemiskinan tegar dan penyediaan perumahan PBR) dan 4. Mengurangkan kadar jenayah yang ada kaitan terus dengan perihal Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

 

  1. PBS amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau kepada isu-isu berkenaan. Kepimpinan tertinggi negara masa kini telah menetapkan matlamat dan langkah-langkah umum untuk mencapai matlamat tersebut. Ini merupakan ruang dan peluang bagi kita di negeri Sabah untuk merealisasikan matlamat kita selama ini. Saya melihat bidang keberhasilan utama negara yang telah digariskan adalah merupakan peluang untuk Sabah mengurangkan jurang pembangunan antara Sabah-Sarawak dan Semenanjung.

 

  1. Penetapan matlamat-matlamat tersebut hanyalah merupakan langkah awal.  Perancangan yang terperinci, kemas dan tepat perlulah ada. Saya percaya kepimpinan di peringkat negeri Sabah juga telah bersedia untuk memainkan peranan  proaktif dengan menyediakan satu dokumen rujukan yang boleh dijadikan panduan oleh kerajaan pusat untuk menilai keperluan-keperluan negeri Sabah selaras dengan KRA yang telah ditetapkan.

 

  1. Dengan adanya dokumen seumpama ini kita juga dapat mengukur sejauh mana negeri Sabah telah berjaya memposisikan dirinya dalam arus matlamat pembangunan negara masa depan. Kita tidak mahu hanya sekadar menjadi pendengar dan penonton yang bersorak apabila mendengar khabar gembira tetapi tidak turut serta menikmati kemeriahan dan kenikmatan yang ingin dicapai.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian; 

  1. Sekadar mengetahui apa matlamat pembangunan negara tidak mencukupi. Banyak rakyat kita di kampung-kampung yang tidak tahu apa itu NKRA atau apa itu KPI. Tetapi sekiranya kita membawa kemudahan asas kepada mereka, pendidikan yang berkualiti kepada mereka, keselamatan dan ketenteraman kepada mereka, pendapatan dan kehidupan yang lebih baik kepada mereka, mereka akan tahu.

 

  1. Oleh yang demikian, melalui wadah dan saluran yang kita ada, PBS akan terus merayu dan memohon agar kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri terus menyokong agenda pembangunan Sabah dengan menyediakan peruntukan yang mencukupi dan berterusan.

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian; 

BAJET 2010 

  1. Dalam ucapan Bajet 2010 baru-baru ini, kita amat bersyukur kerana dalam usaha kerajaan untuk mempastikan masyarakat luar bandar dapat menikmati kemudahan prasarana yang mencukupi dan berkualiti, pembangunan luar bandar telah diberi tumpuan. Kerajaan telah memperuntukkan RM 2.3 billion untuk membina dan menaik taraf infrastruktur di luar bandar termasuk pembinaan jalan di Kinabatangan, Kota Belud dan Keningau di Sabah pada tahun hadapan.

 

  1. Juga dalam usaha dan komitmen yang sama yakni untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah kerajaan turut mengambil beberapa langkah yang diharapkan dapat membantu golongan berpendapatan rendah di luar bandar serta membantu mengatasi atau membasmi kemiskinan tegar pada tahun 2010.

 

  1. Dalam kenyataan Bajet tersebut, kerajaan dijangka dapat menyediakan peluang latihan kemahiran dan program penjanaan pendapatan untuk membantu hampir 50,000 isi rumah miskin tegar yang telah dikenalpasti (dalam senarai e-kasih). Program-program sedia ada seperti Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat yang meliputi antara lain Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya, serta Program Kecemerlangan Pendidikan juga masih diteruskan diutamakan dengan peruntukan yang tinggi.

 

PROGRAM PEMBANGUNAN  

  1. Kita sememangnya menghargai usaha yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan persekutuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Negeri Sabah dan Sarawak secara relatifnya menerima peruntukan yang lebih besar dan menjadi penerima program-program besar anjuran kerajaan seperti Koridor Pembangunan Sabah, Agropolitan di Banggi dan Program Pembasmian Kemiskinan di Semenanjung Bengkoka, Pitas.

 

  1. Namun saya ingin terus berharap agar perhatian ini berterusan memandangkan keadaan pembangunan fizikal dan ekonomi di negeri ini masih pada tahap yang rendah.  Komitmen ini diperlukan agar matlamat yang telah ditetapkan bagi negara yakni melonjakkan negara ke tahap ekonomi berpendapat tinggi  juga dapat dinikmati oleh rakyat di Sabah.

 

  1. Sehubungan dengan usaha yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri, kita sedar bahawa hanya kerajaan Barisan Nasional yang mampu untuk membela nasib rakyat di Negara ini. Untuk melihat hasil yang ketara daripada usaha ini, ia memerlukan  sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat. Sokongan tersebut lebih lagi kritikal di peringkat akar umbi. Oleh itu, saya menyeru semua ahli parti agar terus bersatu dan memberi mandat politik yang berterusan kepada Barisan Nasional untuk mentadbir Negara ini.

 

  1. Rakyat perlu sedar dan jangan mudah terpedaya dengan taktik dan dakyah pembangkang yang hanya tahu mengkritik kerajaan serta mengelirukan rakyat. Kita telah memperolehi pengajaran yang cukup baik semasa berada dalam ’khemah’ pembangkang satu ketika dulu. Kita sedar bahawa mengikut arus keluarga besar Barisan Nasional adalah pilihan terbaik untuk menjaga kemakmuran dan kesejahteraan rakyat khususnya di Sabah.

 

Tuan-tuan dan puan-puan, para perwakilan sekalian; 

CUTI UMUM 16 SEPTEMBER 

  1. Pengumuman oleh YAB Perdana Menteri mengenai pengisytiharan 16hb September sebagai hari kelepasan am (cuti umum) mulai tahun depan sebagai mengingati penubuhan Malaysia merupakan satu titik sejarah yang penting bagi kita. Pengumuman ini telah lama kita nantikan (long overdue). Ia adalah satu hadiah yang amat berharga bagi rakyat Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak.

 

  1. Kita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang akhirnya telah memenuhi kehendak rakyat yang menginginkan pembentukan Malaysia diiktiraf di seluruh Negara. Meski pun tindakan ini memerlukan putera kepada mantan Perdana Menteri (Tun Abdul Razak) yang telah menyaksikan pengisytiharaan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 untuk bersetuju dan mengistiharkan 16 September sebagai cuti umum bagi seluruh Malaysia. Namun ‘better late than never’. Pengisytiharaan ini hanya meneguhkan bukti bahawa kerajaan BN di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional amatlah prihatin terhadap kehendak rakyat.

 

  1. PBS adalah antara penyokong terhadap tuntutan ini sehingga ianya menjadi kenyataan. Saya yakin keputusan yang diambil oleh Perdana Menteri ini akan meneguhkan lagi impian dan usaha ke arah mengeratkan perpaduan dan persefahaman antara kaum dan wilayah di Negara ini seterusnya merealisasikan Gagasan 1Malaysia.

 
 
 
 
 

SEKTOR PERTANIAN 

  1. Kebijaksanaan Perdana Menteri memperuntukkan dana RM6 billion bagi membiayai pelaksanaan pembangunan sektor pertanian sepanjang tahun 2010 di seluruh Negara menggambarkan komitmen kerajaan Barisan Nasional terhadap usaha meningkatkan peranan sektor ini dalam pembangunan ekonomi terutamanya di kawasan luar bandar.

 

  1. Bagi kita di Sabah, sektor pertanian merupakan penyumbang ekonomi penduduk luar bandar yang sangat ketara. Sehubungan itu, saya berharap agar prasarana asas seperti sistem pengairan dan saliran, industri akuakultur, industri pemakanan berasaskan pertanian, penternakan serta program-program latihan untuk para petani generasi muda dapat menerima peruntukan secukupnya.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian; 

  1. Fenomena kenaikan suhu global seharusnya menjadi kerisauan kita semua. Kajian menunjukkan bahawa dunia ini semakin panas dan dengan kadar yang membimbangkan di mana tahun 1998 dan 2005 didapati sebagai tahun yang paling panas sejak tahun 1850. Dengan pemanasan suhu dunia, salah satu kerisauan ialah kesannya terhadap pertanian termasuklah pengeluaran makanan khususnya beras.

 

  1. Kenaikan suhu akan mengakibatkan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti kemarau berpanjangan, ribut, banjir serta kenaikan paras laut yang mana seterusnya akan memberi kesan kepada tanaman. Kenaikan paras laut akan mengancam beberapa wilayah pengeluaran beras di Asia seperti Vietnam yang memainkan peranan dalam sekuriti makanan wilayah dan pasaran eksport.

 

  1. Kalau kita masih ingat, masalah kekurangan bekalan beras di pasaran dunia pada suatu ketika dulu telah sempat mencemaskan seluruh rakyat Malaysia termasuk kita semua. Isu tersebut telah menjadi perdebatan hangat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada ketika itu. Pakar-pakar ekonomi dan para sarjana pertanian juga terlibat dalam banyak perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian bagi isu pengeluaran beras Negara yang dianggap sebagai sebahagian daripada isu ketahanan Negara.

 

LEMBAGA PADI SABAH 

  1. Oleh yang demikian, kita harus bertindak dari sekarang untuk mempastikan Negara kita tidak semata-mata bergantung kepada bekalan beras dari luar. Saya yakin dengan adanya bantuan kerajaan berupa subsidi seperti pembajakan, input pertanian (iaitu baja dan racun makhluk perosak) serta subsidi hasil padi para petani masih boleh terus mengusahakan penanaman padi. Apatah lagi dengan adanya berbagai agensi seperti Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang dan Jabatan Pengairan dan Saliran yang telah dipertanggungjawabkan membantu para petani.

 

  1. Sehubungan dengan usaha peningkatan pengeluaran beras dan demi untuk melancarkan penyelarasan pengedaran bantuan kepada para petani seharusnya satu organisasi khusus ditubuhkan di negeri Sabah. Organisasi ini hendaklah berperanan untuk menyalurkan segala bentuk subsidi yang disediakan kerajaan dan menyelaraskan segala program berkaitan penanaman padi seperti jadual penanaman, penjadualan bekalan air, pembajaan, hinggalah ke peringkat penuaian dan pemasaran. Agensi tersebut juga hendaklah bertanggungjawab untuk mengenalpasti kawasan-kawasan baru untuk diterokai.

 

  1. Selari dengan penumpuan ke arah pengeluaran padi, infrastruktur pengairan dan saliran (seperti yang saya sebutkan tadi) juga harus diberi penekanan oleh kerajaan agar pengurusan dan penjadualan penanaman akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan efisien. Saya yakin dengan usaha ini, kapasiti pengeluaran beras Negeri Sabah yang hanya berkisar sekitar 30% keperluan tempatan dapat ditingkatkan. Sehubungan itu, PBS menyokong agar satu agensi yang dipertanggungjawabkan untuk pembangunan sektor padi seperti Lembaga Padi Sabah pada tahun 1970-an dapat diwujudkan semula.

 
 
 
 
 

Tuan-tuan dan puan-puan, para perwakilan yang saya hormati; 

TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT) 

  1. Sepertimana yang kita sedia maklum, sejak tahun 1990an negara kita sudah menetapkan hasrat mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Sejajar dengan wawasan itu, pelbagai inisiatif telah diambil oleh kerajaan bagi mempastikan kita mencapai wawasan ini. Langkah bijak ini adalah untuk mempastikan negara kita tidak hanya menjadi penonton, tetapi turut memain peranan dalam mencorak agenda dunia. Pembinaan prasarana bertaraf dunia (world class), baik di bidang pendidikan, mahupun di bidang-bidang lain seperti pengangkutan, kewangan, teknologi maklumat, bioteknologi, telekomunikasi dan sebagainya, jelas membuktikan betapa seriusnya kerajaan dalam hal ini.

 

  1. Untuk memastikan bahawa kita tidak ketinggalan di dalam arus perubahan persekitaran yang pantas, kita perlu bersikap terbuka dan sedia mendengar idea-idea baru dan menerima perubahan-perubahan ini. Hari ini, kita hidup di dalam dunia global yang semakin kompetitif dan tiada sempadan. Kita tidak mempunyai pilihan lain tetapi menerima  perubahan-perubahan dan pendekatan-pendekatan baru dalam sains dan teknologi jika kita mahu untuk terus maju dalam bidang-bidang yang kita terajui. Kita perlu memainkan peranan masing-masing dan giat berusaha menguasai bidang-bidang pengetahuan yang belum dikuasai.

 

  1. Dalam era globalisasi dan teknologi maklumat (IT), Internet merupakan salah satu penyalur pelbagai sumber maklumat kepada rangkaian komputer di seluruh dunia melalui kemudahan sistem rangkaian secara terus.

 

  1. Kita dapat melihat kesan penggunaan internet pada Pilihanraya Umum 2008 apabila ramai calon BN telah kecundang dan kawasan yang tidak pernah difikirkan kalah telah tewas. Perkara ini jarang berlaku tetapi telah berlaku kerana rakyat kini mempunyai alternatif lain untuk mendapatkan maklumat terkini yang lazimnya tidak diperolehi dari media arus perdana dan media elektronik seperti radio dan TV.

 

  1. Kini ramai individu dan penganalisis mahupun ahli politik menggunakan internet untuk menyebar maklumat melalui emel, laman blog, laman web, facebook, twitter dan sebagainya. Walaupun penggunaan internet memberi banyak faedah kepada ramai pengguna tetapi dalam masa yang sama terdapat juga keburukan-keburukan tertentu misalnya penyalahgunaan emel, laman blog atau laman web untuk menyampaikan mesej dan menabur fitnah terhadap seseorang individu, pemimpin mahupun kerajaan.

 

  1. Oleh itu, timbullah keperluan untuk memantau aktiviti ini demi menapis tohmahan yang salah, fitnah yang dirancang serta propaganda politik yang tidak betul. Tujuannya ialah agar pihak kerajaan khususnya dapat memberikan maklumbalas yang tepat dan membidas perkara-perkara yang perlu dibidas. Dengan ini, saya mencadangkan agar satu Jawatankuasa Pemantau di tubuhkan bagi memantau laman blog dan laman web berkenaan.

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati; 

  1. Masa telah berubah. Jika dahulunya hanya terdapat media massa tradisional seperti surat khabar dan televisyen dan digunakan secara meluas oleh pihak Kerajaan tetapi kini internet dijadikan sebagai landasan (avenue) bagi individu dan ahli politik untuk mempromosi pandangan dan ideologi mereka. Maklumat-maklumat termasuk gambar dan video kini dapat disalurkan melalui emel, laman blog atau laman web.

 

  1. Kita juga dapat tahu bahawa penggunaan internet kini sangat popular terutama sekali di kalangan generasi muda. Golongan ini lah yang akan meneruskan perjuangan pemimpin-pemimpin parti kita sekarang. Justeru, adalah sangat penting bagi kita semua untuk mendampingi golongan muda-mudi ini dan seboleh-bolehnya menjemput mereka untuk menyertai parti kita. Golongan muda-mudi ini hendaklah dimaklumkan dengan sejarah perjuangan murni PBS dengan harapan supaya mereka tidak akan terkeliru dengan retorik parti pembangkang yang tidak mempunyai arah tuju yang jelas.

 

  1. Sejajar dengan penggunaan teknologi maklumat yang semakin luas ini, laman web telah membuka ruang baru untuk dijadikan saluran alternatif kepada semua golongan masyarakat. Mujurlah parti kita telah mewujudkan laman web sejak tahun 1997 lagi. Saya berharap supaya Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda serta setiap bahagian PBS juga akan dapat mewujudkan laman web dan laman blog masing-masing untuk menyebarkan maklumat mengenai organisasi dan akitiviti bahagian mereka disamping menangkis fitnah-fitnah musuh politik kita. Sebagai makluman tuan-tuan dan puan-puan sekalian, salinan ucapan dasar ini boleh diperolehi melalui laman web PBS iaitu  www.pbs-sabah.org selepas saja selesai berucap. Tahun demi tahun kita telah lakukan ini.

 

  1. Saya juga berharap supaya penggunaan emel diantara pejabat bahagian dengan ibu pejabat parti, diantara pejabat bahagian dengan pejabat bahagian yang lain, diantara pemimpin dengan pemimpin dapat diperluaskan lagi. Cara komunikasi dua hala antara parti kita dan masyarakat dalam menyampaikan maklumat dengan mudah dan cepat amatlah penting. Untuk memudahkan bahagian-bahagian mengambil tindakan seterusnya, latihan dan bengkel berterusan mengenai dengan teknologi asas ICT, pewujudan laman web dan laman blog termasuk penggunaan internet dan emel akan diperluaskan.

 
 
 
 
 
 
 
 
 

Tuan-tuan dan puan-puan, para perwakilan yang dikasihi; 

1PBS 

  1. Selari dengan peranan PBS untuk terus memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kepimpinan Barisan Nasional khasnya Perdana Menteri, PBS perlu diperkukuh dan diperkuat serta dimantapkan dari segi semangat, sokongan dan jenteranya. Dalam usaha ini Majlis Tertinggi (MT) parti telah memutuskan projek 1PBS 2010 dilaksanakan.

 

  1. Projek ini dijangka berlangsung selama 12 bulan bermula sebaik sahaja selesai Perhimpunan Agung ke-24 ini. Matlamat 1PBS ialah memperkukuhkan parti dengan pendekatan menambah bilangan ahli secara mendadak - 1 ahli PBS cari 1 ahli baru - dan usaha ini harus dicapai dalam tempoh 12 bulan.

 

  1. Kita sedar ramai lagi rakyat Malaysia, terutamanya golongan belia dan beliawanis serta kumpulan profesional, yang belum menjadi ahli mana-mana parti. Justeru, saya menyeru kepada saudara-saudari sekalian di semua bahagian termasuk pergerakan pemuda dan wanita supaya bekerjasama dan berganding bahu untuk menambah ahli-ahli dengan sasaran sekurang-kurangnya 1 ahli PBS cari 1 ahli baru. Dalam tempoh satu tahun ini, kita perlu bergerak serta merta sebaik sahaja perhimpunan ini selesai.

 

  1. Dengan penambahan bilangan ahli yang ketara, maka ianya secara langsung dapat memperkukuhkan PBS dan seterusnya Barisan Nasional. Kita perlu penglibatan aktif semua ahli baik dalam pembentukan dasar dan memperkemaskan pentadbiran parti serta peringkat pengubalan dasar dan program pembangunan Negara melalui jentera Barisan Nasional.

 

  1. Untuk mendukung kelancaran program penambahan ahli ini, jentera pentadbiran di ibu pejabat PBS kini sedang dikemas kini agar proses menjadi ahli PBS dapat dipercepatkan. Dalam masa yang sama, kad keahlian baru PBS akan diperkenal dan dikeluarkan sempena ulang tahun ke 25 PBS (Jubli Perak) pada tahun hadapan iaitu 2010.

 

  1. Sayugia dinyatakan di sini bahawa selaras dengan usaha-usaha penambahan ahli 1PBS 2010 ini, perakuan dan hadiah akan diberi kepada bahagian-bahagian yang cemerlang dalam misi. Maka itu marilah kita terus bergerak dan berusaha demi kesinambungan perjuangan PBS seperti kata pepatah Melayu yang ‘tak lapok dek hujan dan tak lekang dek panas’.

 

Sidang perwakilan yang dihormati; 

PEMILIHAN DALAM PARTI 

  1. Kestabilan dalam kepimpinan PBS selama 24 tahun adalah satu sejarah yang boleh kita banggakan. Berbanding dengan parti-parti lain, PBS sebenarnya tidak pernah mengalami masalah perebutan kuasa yang akhirnya mengakibatkan perpecahan dalam parti. Antara beberapa sebab mengapa PBS tidak menghadapi masalah ini adalah kerana pucuk kepimpinan PBS mengamalkan budaya musyawarah dalam membuat sebarang keputusan.

 

  1. Dalam proses ini, segala input, cadangan dan pandangan ahli-ahli yang berbilang kaum sentiasa diambil kira. Budaya musyawarah ini akan kita terus amalkan demi kelangsungan kestabilan parti di masa akan datang.

 

  1. Meski pun demikian, ini tidak bermakna PBS tidak peka terhadap tranformasi.  Kita perlu perubahan-perubahan dalaman parti selaras dengan kehendak-kehendak ahli dan para penyokong parti. Pergolakan dalaman hendaklah dielakkan dengan memanfaatkan hikmah sebaik mungkin untuk merancang kesinambungan kepimpinan di semua peringkat baik di peringkat Majlis Tertinggi; Pergerakan Pemuda dan Wanita; peringkat bahagian dan cawangan supaya perjuangan parti dapat diteruskan.

 

  1. Untuk memenuhi kehendak perlembagaan, maka tahun ini (2009) adalah tahun pemilihan bagi PBS. Berlandaskan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, PBS sudah tentunya menggalakkan pertandingan dalam proses pembentukan barisan kepimpinan parti. Dalam keghairahan menawarkan diri untuk mengisi jawatan-jawatan parti baik di peringkat Majlis Tertinggi, Pergerakan Pemuda dan Wanita kita harus patuh dan sentiasa berpegang kepada prinsip asas perjuangan parti.

 

  1. Kita harus sedar bahawa tujuan kita mengadakan pemilihan ialah untuk memberi ruang kepada para ahli supaya dapat menawarkan diri untuk memegang dan melaksanakan tanggungjawab terhadap parti dan bukan semata-mata mendapatkan jawatan-jawatan tertentu sahaja. Kita juga perlu akur bahawa pertandingan ini adalah sesama ahli-ahli keluarga parti kita sendiri. Oleh kerana itu kita perlu berusaha untuk mengelakkkan pergeseran di kalangan ahli-ahli.

 

  1. Apa yang penting hasil dari pemilihan ini adalah untuk kita mendapatkan satu gabungan pemimpin yang berkaliber, berpengetahuan, mempunyai pengalaman luas, berjiwa rakyat dan komited terhadap perjuangan parti. Pada kesempatan kali ini, saya bersandarkan kepada kebijaksanaan para perwakilan sekalian untuk menentukan barisan tersebut.

 

Tuan-tuan dan puan-puan, para perwakilan yang saya hormati; 

PENUTUP 

80. Untuk mengakhiri ucapan dasar ini, sekali lagi saya dengan bangga dan berbesar hati mengucapkan syabas dan tahniah kepada kita semua. Kita telah mampu sampai ke tahap ini kerana ketahanan dan ketabahan kita terhadap perjuangan yang telah kita garap selama ini. Pencapaian usia 24 tahun ini adalah pencapaian kita semua. Saya menyeru kepada kita semua meneruskan perjuangan ini dengan lebih gigih agar penglibatan kita dalam pentadbiran di peringkat negeri dan negara terus kukuh dan menyerlah. Akhir kata hayatilah pantun-pantun berikut:- 

      Kalau tidak kerana padi

      Tidak saya bertani lagi

      Kalau tidak kerana saudara saudari

      Tidak saya memimpin lagi 

      Masuk hutan pakai sepatu

      Takut kena gigitan pacat

      Kalau kita sentiasa bersatu

   Semua kerja mudah dibuat 

      Memang pedas si buah lada

      Makanan orang pergi menebas

      Ucapan Dasar sempurna sudah

      Bersamalah kita tegakan PBS 
 

Sekian, terima kasih dan selamat bersidang. 

BERSATU ! BERSATU ! BERSATU !